Idealis Mahasiswa
 
 

Pemahaman konsep hegemoni dan peranannya dalam imbangan kuasa dunia


Hit = [ ]

oleh Muhammad Nuruddin Bashah melalui Borang Penulis Tamu

Pendahuluan

Persoalan kuasa dunia yang bersifat kekutuban (polarization) merupakan perbahasan yang sering diketengahkan bukan sahaja oleh para ekonomis, ahli politik mahupun saintis sosiologi, tetapi pemahaman secara jelas perlu dipaparkan kepada mahasiswa Islam mengenai imbangan kuasa dunia kerana pencorakan masa depan Islam bergantung kepada persediaan daripada mahasiswa Islam yang berkesedaran tinggi.

Kuasa tunggal yang mempunyai ciri khas sering disebut sebagai kuasa hegemoni yang menawarkan imbangan politik, ketenteraan, ekonomi dan pengaruh keputusan kepada seluruh negara-negara bangsa yang lain. Adakah Islam menggagaskan agar umatnya berjuang supaya Islam dinobatkan menjadi kuasa hegemoni yang mempunyai ciri tersebut? Adakah ianya memberi penjelasan kepada konsep Imam “Iqamah Ad Din Wa Siasah Ad Dunya Bih” yang digagaskan oleg Imam Al Mawardi? Sewajarnya kita sedar bahawa tujuan Islam dipakejkan untuk kita agar ianya diperakui sebagai kuasa terbesar di dunia lebih daripada kuasa hegemoni yang sekadar mewar-warkan sistem ekonomi secara globalisasi, kempen, pengaruh serta melakonkan watak polis dunia.

Dunia memahami bahawa semenjak berakhirnya Perang Dunia kedua, Amerika Syarikat mula mengorak menyebarkan pengaruh kepada negara-negara yang kehilangan naungan Britain dan Perancis. Sikap Amerika sebenarnya lebih kepada imbangan pengaruh komunis Soviet Union pada ketika itu yang mengumpul kuasa daripada beberapa negara yang bertelingkah menjadi wilayah pengaruh komunis seterusnya menghasilkan pakatan Warsaw Pact. Usaha tersebut seolah-olah mendapat restu daripada Britain lantaran keupayaan Britain dan Perancis yang berkurangan akibat kerugian besar peperangan dunia kedua. Kemunculan hegemoni baru ini cukup terasa apabila Amerika Syarikat enggan memberi kerjasama semasa kemelesetan ekonomi dunia sekitar 1930an. Disini penulis menyediakan pendapat berkenanan hegemoni melalui 2 kelompok utama.

Non school of Decline

Golongan ini berpendapat belum ada bukti di mana Amerika Syarikat boleh dinafikan daripada berperanan sebagai hegemoni dunia. Hal ini kerana menurut Susan Strange, (beliau selalu membentangkan kertas kerja serta menghasilkan karya di dalam jurnal Hubungan Antarabangsa), kuasa sebenar hegemoni bukan sekadar pada ekonomi ataupun kuasa ketenteraan semata-mata sebaliknya lebih berbentuk struktur kuasa.

Maksud struktur kuasa ialah Negara yang mempunyai kemampuan yang tidak terbatas untuk mempengaruhi dan membentuk polar dan kepimpinan dunia dengan pendekatan pelbagai. Kita sebagai mahasiswa tidak dapat menafikan pengaruh besar industri Amerka Syarikat, makanan serta pakaian malahan percakapan, pergaulan serta budaya muzik yang telah lama berakar umbi. Menurut Susan, terdapat empat ciri utama sesebuah kuasa hegemoni khususnya Amerika Syarikat sendiri.

  • Kemampuan melaksanakan pengaruh secara jelas atau secara tidak langsung dengan mana-mana negara lain.

  • Berupaya mengawal keselamatan serta menjadi tentera penentu dalam setiap pertikaian dunia.

  • Berkuasa untuk menawarkan segala teknologi dan produk kepada seluruh dunia.

  • Berupaya menghasilkan kajian sains yang ‘advance’ daripada negara lain.

School Of Decline

Bagi pihak ini pula, mereka menyatakan kuasa hegemoni Amerika Syarikat Pasca perang dingin telah lenyap walaupun selepas pembubaran Warsaw Pact 1991 serta Amerika menjadi kuasa unipolar. Paul Kennedy dalam bukunya yang terkenal iaitu The Rise and Fall of The Great Powers 1988 menyatakan kejatuhan kuasa hegemoni Soviet adalah akibat berlebihan menggunakan sumber dalam membangunkan persenjataan. Menurut golongan ini juga, kegagalan pengaruh Amerika ketara apabila dasar ekonomi liberal serta kebebasan pasaran tidak lagi teratur. Dasar Amerika Syarikat sekitar 1930an yang mengasingkan diri daripada perjanjian dunia memberi impak drastik kepada pertumbuhan ekonomi antarabangsa dan inilah ‘symptom’ kegagalan sebuah kuasa hegemoni.

Jadi disini kita dapat melihat bagaimana ruang sebenar untuk Islam mendominasi dunia sekiranya ruang dan ciri sebenar kuasa perantara dunia tidak dimiliki oleh kuasa Islam. Perbahasan tanpa penamat berkenaan Dinar Islam, keseragaman matawang serta tindakan OIC yang terlalu rendah berbanding usaha EU (Kesatuan Eropah) dalam memeperkenalkan kesatuan politik, matawang serta ketenteraan untuk mengimbangi kuasa unipolar Amerika Syarikat yang semakin jauh tersasar daripada disiplin hegemoni sebenar. Disinilah sebenarnya kunci untuk memahami erti khilafah Islamiyyah yang sering digagaskan secara teoretikal. Selagi permasalahan sesama negara-negara Islam belum terlangsai, maka terlalu jauhlah perjuanagn untuk menyatukan kuasa Islam.

Penulis juga berhasrat untuk mendedahkan pembaca berkenaan perspektif hegemoni dan takrifan yang pelbagai daripada blok pemikiran yang berlainan.

Secara literalnya, hegemoni bermaksud ketua bagi segala kumpulan iaiatu daripada perkataaan Greek, Hegemon.

  1. Definasi oleh Gramsci: Hegemoni lebih bermaksud dominasi dan pengaruh kelas-kelas yang lebih dominant kepada kelas masyarakat lain dari segi ekonomi, budaya dan moral. Ia lebih bersifat monopoli dan dominasi tanpa bantahan kelas lain. (Gramsci adalah pejuang doktrin Marx di Itali serta telah dipenjarakan oleh Mussolini selama 10 tahun.

      
  1. Definasi daripada golongan Liberalisme: Bagi golongan ini mereka beanggapan bahawa hegemoni terhasil apabila kesan kehadiran dan pengaruh kuasa tersebut masih terasa dan akan terasa sehingga jangkamasa panjang. Sebagai contoh Negara jajahan Great Britain masih berada di bawah naungan Komanwel. Manakala doktrin Monroe oleh Amerika Syarikat pula masih dirasai di Amerika Latin. Selain itu perjanjian San Francisco antara Amerika dengan Jepun masih berlarutan sehingga kini.

  2. Definasi daripada kaca mata Marxisme: seorang penganut komunis terkenal Immanuel Wallerstein memberi pengertian bahawa Negara hegemoni adalah Negara yang terunggul di kalangan Negara–negara yang tidak stabil. Ia mengelakkan persaingan yang menjejaskan keamanan. Negara ini perlulah mempunyai suatu kuasa veto untuk merealisasikan hasrat tersebut.

  3. Pandangan golongan realisme: Stephen Gill (berdasarkan teori realist yang diasaskan oleh Thucydides, iaitu teori paling terkenal serta mudah dinilai) berpendapat bahawa negara hegemoni adalah negara yang mempunyai kemampuan persenjataan serta perekonomian yang tidak tertanding. Mereka berpendapat bahawa nilai kekuasaan adalah nilai yang bersifat empirical atau mempunyai nilai ukur. Ianya tidak menilai daripada segi pengaruh kebudayaan mahupun nilai sosiobudaya yang disebar oleh kuasa hegemoni.

Penulis tertarik dengan perspektif Gramsci berkenaan pelaksanaan hegemoni di mana beliau berpendapat bahawa kuasa dominasi hegemoni berupaya memujuk serta mempengaruhi persetujuan ijmak. Ianya bukan sekadar pengaruh fizikal (ketenteraan atau penjajahan tanah) sebaliknya berupaya menggunakan segenap runag seperti sekatan ekonomi, tekanan psikologi dan pemulauan antarabangsa. Atas sebab inilah Susan Strange berpendapat Amerika Syarikat ialah suatu kuasa ‘empayar tanpa tanah jajahan’.

Sebagai mahasiswa yang peka, tentunya kita berasa hairan melihat kesungguhan Amerika menghapuskan hutang piutang Iraq selepas peperangan memerangi Saddam. Kita melihat bagaimana saranan Amerika kepada Jepun dan Perancis untuk membantu melangsaikan hutang Iraq disambut. Ianya jelas sepertimana berlangsungnya Program Marshall dibawah pentadbiran Presiden Henry Truman selepas peperangan dunia kedua demi membantu bebanan hutang negara-negara terbabit seperti Jepun, Korea Selatan serta Taiwan. Hal ini sekaligus mengelakkan mereka terpengaruh dengan ideologi komunis (sekiranya Soviet mengambil peranan membantu). Projek ini dibuat selepas melihat kemunculan kuasa Nazi selapas perang duni pertama akibat sekatan ekonomi berterusan sehingga menguja kekuatan rakyat Jermen pada waktu tersebut. Dalam kes-kes ini kita melihat peripentingnya kuasa hegemoni menstabilkan keamanan dengan mengelakkan sekatan berterusan serta pengaruhnya untuk menstabilkan dunia. Persoalannya sampai bilakah kuasa hegemoni terletak pada tangan kaum bukan Islam? Umat Islam yang hanya melihat adalah umat yang kehilangan visi serta kehilangan keyakinan kekuasaan Islam muncul untuk membawa keamanan.

Contoh-contoh kekuasaan hegemoni dunia

Pernahkah kita terfikir bahawa kekuasaan Uthamaniah (Ottoman) telah diiktiraf oleh pemikir barat sebagai salah sebuah kuasa hegemoni pada suatu ketika dahulu? Kekuasaan Turki dalam perluasan wilayah, sistem pentadbiran yang unggul serta influensi kebudayaaan Islam dan bahawa Arab telah membawa kepada kegemilangan Turki. Ketenteraan kuasa Turki juga telah mengheret empayar ini untuk terlibat dalam peperangan dunia pertama demi menjaga masa depan tanah jajahan Islam. Kita melihat bagaimana kuasa globalisasi Islam lebih awal mempengaruhi bahasa Qibti di Mesir, bahasa Suryani di Syiria(Sham), bahasa spain di Sepanyol, bahasa Afrika serta banyak negara lain yang menggunakan bahasa Arab sebagai sumber pertuturan mahupun sumber perbendaharaan perkataan. Senibina Islam, penulisan khat serta pengurusan Islam juga telah lama berakar umbi dalam setiap jajahannya. Namun atas kelalaian pemerintah Islam , kezaliman sultan serta wakil sultan di Mesir, Sham dan sebagainya telah mendorong tercetusnya semangat nasionalis, kemasukan sistem demokrasi barat serta kemunculan negara baru seperti Jordan, Palestin dan Israel (wilayah Sham) serta terhasilnya wilayah ala Kristian iaitu Lubnan (pengaruh Perancis). Kejatuhan empayar hegemoni ini adalah bersebab dan ianya setimpal dengan kelalaian umat Islam mempertahankan empayar kita.

Kuasa hegemoni lain yang telah membawa order moden (tatacara baru dunia) ialah empayar Great Britain. Kehadiran syarikat perdagangan Britain mempengaruhi kesultanan serta kerajaaan negara-negara lain sedunia menyaksikan juga peralihan kuasa tersebut kepada pentadbiran berpusat dibawah Permaisuri Britain. Malahan hegemoni Britain lah lebih berjaya jika dilihat melalui perspektif Liberalisme. Kesemua pemikiran, kehidupan, teknologi, pengurusan dan pendidikan barat beralih ke negara lain melalui penjajahan tanah oleh Britain. Namun kuasa ini kelihatan tersekat apabila muncul kuasa baru iaitu Amerika Syarikat yang menawarkan sistem demokrasi yang lebih liberal, sains serta teknologi yang lebih maju serta kehidupan yang bebas daripada adat istiadat ortodoks seperti negara eropah yang lain.

Peranan kita

Kesedaran mengenai teori hegemoni mendorong ilmuan Islam untuk mengisi kejayaan sebenar Islam pada masa hadapan. Umat Islam yang masih terbelenggu dengan konseptual khilafah Islam serta masih terawang-awang mengenai method sebenar kemenangan Islam perlu meneliti hakikat sebenar bagaimana negara-negara umat Islam disediakan untuk bekerja kearah itu. Kesedaran demi kesedaran perlu dipertingkatkan terutama di kalangan mahasiswa Islam yang bakal memacu kegemilangan ummah.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved