|
Saya tahu idea untuk meletakkan Husam Musa sebagai presiden PAS adalah sangat drastik dan pasti gagal, serta sudah tentunya tidak akan mendapat sambutan hangat. Ia bukanlah idea yang popular, lebih-lebih lagi dalam konteks PAS yang akhir-akhir ini semakin tersudut ke pinggir ummah. Namun idea ini penting untuk direalisasikan demi survival PAS. Jadi segala-galanya bergantung kepada perwakilan PAS untuk menentukan arah haluan gerakan oposisi ini.
Pada saya Ustaz Hadi adalah pemimpin yang tidak berwawasan, gagal untuk bersikap pragmatik, liberal, toleran dan dinamik seumpama Ustaz Fadzil Noor. Corak kepimpinan Ustaz Hadi jelas terpengaruh dengan aliran Taimiyyah, Qayyim hinggalah pada fahaman wahabi yang muktakhir ini dilihat sebagai penaja keganasan yang akhirnya menatijahkan gerakan seperti al-Qaeda, Taleban. Malah pengganas Usama Bin Laden adalah salah seorang penganut fahaman ‘keras’ wahabi ini!
Dan, maaf jika saya katakan bahawa Ustaz Hadi lebih berimejkan ortodox dengan keyakinan dogmatiknya seperti teori darul Islam dan Darul Harb, hudud, negara Islam dan priority fiqh! Walhal ummah kini memerlukan pemimpin gerakan yang liberal, tetapi berprinsip seperti Yusof Qardawi, Hassan Nasrallah, Hidayat Nurwahid dan lain-lain.
| |
Justeru sempena muktamar PAS Jun nanti, saya menyeru kepada semua ahli PAS agar berani untuk membuat perubahan dengan segera menyingkirkan semua kuda-kuda lama seperti Ustaz Hadi, Azizan Razak, Hassan Shukri dan Harun Taib dengan menaikkan pemimpin muda yang progresif seperti Husam Musa, Zulkifli Ahmad, Ahmad Awang dan Mohammad Sabu.
Walaupun mereka ini muda, tetapi mereka jauh lebih ikhlas dan berani dalam perjuangan berbanding kuda-kuda tua sebelum ini. Malah secara peribadi saya menyifatkan Husam Musa jauh lebih baik dari Anwar Ibrahim - yang sentiasa mengkhiat perjuangan Islam. Tetapi sebaliknya Husam lebih konsisten dengan wadah Islami! Letakkan Husam Musa sebagai Presiden jika mahu selamatkan PAS.
Hidup Islam, hancur Hizbiyyah!
|