|
KUALA LUMPUR: Pihak tidak bertanggungjawab di luar negara dikesan meminta pelayar internet tempatan mengirim 20 e-mel khurafat kepada pengguna lain berhubung seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang diawet mayatnya sejak 80 tahun lalu, untuk mendapatkan pelbagai ‘mukjizat’ dalam hidup.
Individu terbabit mengatakan pengguna internet yang membaca dan mengirim semula e-mel terbabit akan terlepas daripada pelbagai penyakit serta bencana kerana mukjizat yang dibawa e-mel itu.
Penghantar e-mel terbabit mengatakan pengguna yang mengikut arahan itu akan sembuh daripada penyakit seperti buah pinggang serta boleh menyembuhkan pesakit lumpuh seluruh badan selain membolehkan seseorang naik pangkat dan gaji serta-merta dan lulus cemerlang dalam peperiksaan.
Dia turut menyertakan contoh mereka yang berjaya mendapat mukjizat selepas yakin dengan e-mel terbabit dan menuruti langkah diberikan.
Menurut penghantar e-mel, mukjizat terbabit bagaimanapun hanya berkesan selepas seminggu diterima dan perlu dihantar secepat mungkin untuk mengelakkan ia tidak mujarab.
Dalam masa sama, dia mengatakan keputusan mukjizat hanya boleh diketahui selepas lima hari 20 e-mel dihantar kepada sesiapa saja.
Dia mendakwa gambar kanak-kanak perempuan yang diawet itu kini diletakkan di sebuah tempat ibadat di Itali dan mukjizat berkenaan hasil kasih sayang ibunya yang terlalu rindu serta sayang kepada kanak-kanak terbabit.
Melalui e-mel berkenaan, penghantarnya mendakwa ibu kanak-kanak terbabit tidak dapat menerima kematian anaknya yang sangat cantik itu lalu mengawetnya sebagai tanda kasih sayang.
Oleh itu, berdasarkan kasih sayang berkenaan, penghantar emel mendakwa gambar kanak-kanak awet yang dikirimnya mampu memenuhi pelbagai keperluan penerima e-mel terbabit.
| |
Penghantar e-mel itu menggunakan laman web satu forum komunikasi antara pekerja am di negara jiran berkenaan untuk mempengaruhi pengguna internet lain supaya mengikut jejaknya mengirim cerita karut terbabit sebanyak mungkin.
Laman web berkenaan dikatakan menjadi tempat perhimpunan ramai pekerja am kerajaan serta swasta selain pelajar bertukar maklumat, mencari kerja dan kenalan baru serta mendapatkan pelbagai maklumat lain.
Bagaimanapun, laman web itu dikatakan tidak membataskan untuk perbincangan perkara biasa sebaliknya ia bebas bergantung kepada kecenderungan seseorang ahli.
Sementara itu, profesor di Jabatan Usuluddin dan Falsafah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Mohammed Yusoff Hussain, berkata perkara itu khurafat, tahyul dan tidak boleh dipercayai umat Islam.
“Mukjizat diberikan kepada nabi dan rasul saja. Tidak ada dalam hadis ataupun ayat al-Quran mengatakan orang biasa juga boleh mendapat mukjizat dengan hanya menghantar gambar kepada pengguna internet lain,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, di sini, semalam.
Menurut beliau, penyebar e-mel berantai terbabit mahu memesongkan akidah umat Islam dengan mendakwa pelbagai kebaikan bakal diterima jika menghantar gambar anak gadis diawetkan itu.
Katanya, umat Islam diminta tidak mengendahkan e-mel itu untuk mengelakkan terkeluar akidah.
“Jangan terpedaya dengan e-mel sedemikian. Jika manusia boleh memberi mukjizat kepada manusia lain, ia seperti menentang Tuhan,” katanya.
“Tuhan hanya memberikan mukjizat kepada orang pilihannya dan bukan manusia biasa seperti kita,” katanya.
|