|
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah kesal dengan kenyataan Y.B Saudara Salahuddin Ayub tentang cadangan beliau supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS tidak dipertandingkan dan menyeru supaya diadakan pertandingan jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat bagi mengekalkan status Dewan Pemuda PAS Pusat sebagai ‘pressure group’ dalam PAS.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Y.B. saudara Salahuddin Ayub mengumumkan pada hari Sabtu 19 Mac 2005 yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia 20 Mac 2005 bahawa beliau mencadangkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS tidak dicabar oleh mana-mana pemimpin PAS amat dikesali oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah. Kami berpandangan kenyataan beliau itu melambangkan beliau mengamalkan politik tak matang dan mengamalkan politik kebudak-budakan yang menurut sahaja apa-apa arahan atasan walaupun ianya mungkin mengakibatkan PAS terus berada dalam keadaan politik 80-an di mana ini dapat melemahkan kedudukan PAS dalam mengharungi arus globalisasi yang amat mencabar seluruh gerakanIslam di dunia.
Dewan Pemuda PAS sebagai sayap kanan parti dalam menggerakkan arus perubahan rakyat perlu mempunyai jati dirinya yang tersendiri yangmempunyai sifat berani sebagai mewakili anak muda.
Walau bagaimanapun, Y.B. Salahuddin tidak berperanan dengan sebaiknya sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat terutamanya melalui kenyataan terbarunya itu. Beliau dengan imej 'lembek' yang ditonjolkannya itu mengurangkan keyakinan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah tentang kewibaannya untuk terus menerajui Dewan Pemuda PAS Pusat bagi menghadapi Y.B. Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein Onn selaku Ketua Pemuda Umno Malaysia.
| |
Seterusnya, menjadi satu ketidak puasan di hati kami apabila beliau yang sekarang sudah berjaya memenuhi impiannya sebagai Ahli Parlimen (Kawasan Kubang Kerian Kelantan) sebagai kouta yang diperolehi oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat menunjukkan mutu kepimpinan yang merudum di atas alasan tugas-tugas berat sejak menjadi Ahli Parlimen.
Justeru, kami ingin mencadangkan secara terbuka agar jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dipertandingkan pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat pada 1 Jun 2005 yang akan datang bagi memberi laluan kepada muka baru yang lebih berkaliber menerajui Dewan Pemuda PAS Pusat pada penggal yang baru nanti.
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah akan memulakan usaha perubahan ke arah memantapkan Dewan Pemuda PAS Pusat dengan mencalonkan Exco Dewan Pemuda PAS Pusat Ustaz Mujahid Haji Yusuf Rawa sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang baru.
Pencalonan Ustaz Mujahid di atas kapasiti beliau yang merupakan seorang yang berstatus ulama profesional, mempunyai kelayakan akademik yang tinggi, berani bersuara sebagai mewakili Dewan Pemuda PAS Pusat dalam Muktamar Tahunan PAS tahun lalu, matang berpolitik, dan terbuka menerima pandangan yang berbeza serta mampu menjadi tali penghubung PAS dengan parti-parti politik yang lain dan NGO-NGO.
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah menyeru agar Dewan Pemuda PAS Negeri yang lain dapat menyokong usaha Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah dalam menjana arus perubahan rakyat bermula dengan perubahan kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat.
(10 Safar 1426 bersamaan dengan 21/3/2005)
|