|
AUCKLAND: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Kementerian Pengajian Tinggi memastikan semua penuntut universiti mengambil jurusan dua pengkhususan supaya mudah mendapat pekerjaan pada masa depan.
“Kalau satu subjek yang dia pilih, sukar untuk dapat pekerjaan... mungkin dengan ada dua pengkhususan peluangnya lebih baik lagi,” katanya pada sesi dialog dalam perjumpaan dengan kira-kira 250 pelajar dan masyarakat Malaysia di sini, semalam.
Setakat ini, hanya beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sudah menawarkan program dua pengkhususan, tetapi tidak membabitkan semua fakulti atau pelajar.
Kolej Universiti Islam Malaysia, misalnya, menawarkan program Sarjana Muda Pengajian al-Quran dengan Multimedia (Kepujian) dan Sarjana Muda Pengajian Sunnah dengan Pengurusan Maklumat (Kepujian).
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) pula menawarkan dua pengkhususan dalam satu program berteraskan sains, iaitu Pembangunan Manusia dan Pengurusan serta Pembangunan Manusia dan Teknologi Maklumat.
Perdana Menteri yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke New Zealand yang berakhir semalam, berkata usaha itu dilakukan bagi membuat penyesuaian terhadap keperluan tenaga kerja dalam sektor swasta.
Beliau berkata, kerajaan juga mahu membenarkan penuntut yang mengambil kursus khusus, seperti Sains mengambil satu atau dua mata pelajaran yang berhubung kait dengan kemanusiaan seperti Sains Sosial.
Pada masa sama, pelajar yang mengambil jurusan Sastera, seperti Sains Sosial, juga akan dibenarkan mengambil mata pelajaran berkaitan sains dan teknologi.
“Dengan itu ijazah yang mereka peroleh nanti akan menjadi lebih mudah untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.
Abdullah berkata, ketika ini kira-kira 18,000 graduan masih menganggur kerana majikan tidak menemui pekerja yang dikehendaki, manakala pencari kerja gagal mendapat pekerjaan sesuai dengan kelulusan mereka.
Sambil menegaskan pentingnya keadaan itu diperbaiki, Perdana Menteri meminta pihak swasta memberi pandangan berkaitan aliran dalam alam pekerjaan, perindustrian, teknologi baru dan sebarang perkara yang diperlukan untuk memenuhi keperluan mereka.
| |
Beliau berkata, input daripada sektor swasta kepada universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk membentuk dan mengubah suai kurikulum, mampu membantu kerajaan menyediakan tenaga kerja yang diperlukan.
Menjawab soalan lain, Abdullah berkata, beliau berbesar hati kerana Kerajaan New Zealand, universiti dan sektor swastanya bersedia pada bila-bila masa untuk bekerjasama dalam bidang seperti bioteknologi dan perubatan.
“Kerajaan juga memberi tumpuan kepada pertanian yang kini menjadi sektor pertumbuhan ketiga yang bakal memacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Kita kini menggalakkan pelajar menjalani pelbagai kursus dalam sektor pertanian yang kita inginkan dan saya percaya kita akan berjaya,” katanya.
Bercakap kepada wartawan Malaysia, Abdullah berkata, sekurang-kurangnya 80 peratus lepasan universiti yang mengikuti kursus intensif khas bahasa Inggeris, mudah mendapat pekerjaan.
“Sudah tentu sektor swasta memberi keutamaan kepada bahasa Inggeris kerana ia bahasa perdagangan. Negara kita adalah ekonomi terbuka dan kita pula sangat aktif dalam perdagangan antarabangsa,” katanya.
Terdahulu, pada sesi dialog bersama peserta Forum Perniagaan Malaysia-New Zealand di sini, Abdullah berkata, Malaysia mahu melihat perbincangan mengenai penubuhan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan New Zealand diselesaikan akhir tahun ini, iaitu enam bulan lebih awal daripada tempoh dijangkakan.
“FTA ini menjadi petanda betapa pentingnya hubungan dua hala di antara kedua-dua negara dan Perdana Menteri New Zealand, Helen Clark. Saya mahu melihat perbincangan ini diselesaikan cepat bagi membolehkan masyarakat perniagaan menikmati faedah.
“Dalam hal ini, saya mahu melihat pembabitan serius Majlis Perniagaan Malaysia-New Zealand untuk mengumpul maklum balas daripada kedua-dua kerajaan bagi menjayakan FTA ini,” katanya.
Turut hadir dan mengambil bahagian pada sesi dialog itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
|