Idealis Mahasiswa
 
 

Ketua Pemuda PAS: Mujahid sedia dicalonkan


Hit = [ ]

oleh Muda Mohd Noor
sumber - Malaysiakini.com Mar 23, 05 5:12pm

Anak bekas Presiden PAS, Mujahid Yusof Rawa berkata beliau akan bertanding jawatan Ketua Pemuda PAS pusat jika ia memberi kekuatan dan membawa kebaikan kepada parti itu.

“Saya akan menentang Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub bagi merebut jawatan Ketua Pemuda PAS Pusat jika ia memberi keuntungan kepada pergerakan Pemuda PAS,” katanya ketika dihubungi.

“Jika ahli mencalonkan saya dengan jumlah yang besar, ia bermakna mereka mahukan saya bertanding jawatan Ketua Pemuda PAS dalam muktamar tahun ini,” kata beliau yang juga Exco Pemuda PAS pusat.

Bagaimanapun, katanya, pertandingan dalam parti, termasuk bagi jawatan tersebut merupakan salah satu proses yang diamalkan oleh PAS sejak sekian lama.

PAS akan mengadakan muktamarnya di Kota Bharu mulai 1 hingga 6 Jun ini bagi memilih pucuk pimpinan baru parti bagi penggal 2005-2007.

“Kalau ahli melihat pertandingan tersebut memberi kebaikan kepada parti, tidak ada sebab untuk saya menarik diri,” katanya anak bekas Presiden PAS, Datuk Yusof Rawa itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak boleh menilai sama ada beliau layak bertanding atau tidak kerana perkara itu perlu ditentukan oleh ahli-ahli Pemuda PAS sendiri.

Kedah sokong Salahuddin

“Jika saya mendapat pencalonan yang melayakkan saya untuk bertanding Ketua Pemuda PAS, saya mahu mengkaji dahulu adakah pertandingan itu akan menambahkan kekuatan kepada parti,” katanya

      

Mujahid menegaskan demikian ketika diminta mengulas desas-desus bahawa Pemuda PAS Kedah akan mencalonkan beliau untuk menentang Salahuddin bagi jawatan Ketua Pemuda dalam muktamar parti tahun ini.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda PAS Kedah, Adnan Saad, ketika dihubungi, menafikan yang pihaknya akan mencalonkan Mujahid untuk menentang Salahuddin bagi jawatan Ketua Pemuda PAS Pusat.

“Pemuda Kedah mahu Salahuddin kekal dengan jawatan tersebut dan beliau mempunyai kelebihan selaku Ahli Parlimen Kubang Kerian untuk menyalurkan pelbagai isu di Parlimen,” katanya lagi.

Adnan berkata, Pemuda PAS Kedah juga akan mencalonkan semula Idris Ahmad untuk kekal sebagai Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat berikutan kesesuaian gandingannya dengan Salahuddin dalam menegakkan imej pemuda.

Mengikut perlembagaan PAS, hanya Ketua Pemuda dan timbalannya yang boleh berusia lebih 40 tahun manakala pemegang jawatan-jawatan lain mesti berumur 40 tahun ke bawah.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka tidak ditentang dalam pemilihan kali sejak mengambilalih pucuk pimpinan parti dari Allahyarham Datuk Fadzil Noor pada 2001.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved