|
PERMAISURI: Seorang bapa, Hamzah Harun, 35, dari Putera Jaya, dekat sini terkejut apabila mendapati kalimah Allah dan Muhammad tertera pada gelang permainan anak yang dibeli di sebuah kedai di pekan ini, beberapa hari lalu.
Hamzah mendakwa, gelang yang diperoleh apabila membeli permainan yang terdapat di dalam kotak sebesar kotak rokok itu tertera kalimah Allah dan Muhammad di beberapa tempat pada gelang itu dan ia menjadi pilihan kanak-kanak.
“Anak saya, Norain Solehah, 6, menunjukkan gelang itu pada saya selepas dia membaca kalimah itu selepas membelinya di sebuah kedai di pekan Permaisuri beberapa hari lalu.
“Kalimah itu seolah-olah mempersendakan agama Islam kerana ia akan dibuang merata-rata oleh kanak-kanak yang membelinya. Pemakainya akan membawa kalimah itu di mana-mana termasuklah ke tandas,” katanya.
| |
Menurutnya, selain kalimah Allah dan Muhammad, ada juga permainan yang berbentuk salib yang turut diisi dalam kotak itu tertera pada risalah yang ada di luar kotak.
“Saya difahamkan, kotak permainan dibeli dengan harga 20 sen itu dibekalkan oleh sebuah syarikat milik bukan Islam yang dikeluarkan di Ipoh dan ia dibekalkan di beberapa kedai sekitar daerah ini,” katanya.
Hamzah berkata, dia berharap pihak berkuasa menangani masalah ini kerana ia bukan sahaja menghina Islam tetapi boleh mencemarkan kalimah yang mulia itu.
|