Idealis Mahasiswa
 
 

Selepas setahun kecundang, pembangkang masih merintih ? - Ahmad Lutfi Othman


Hit = [ ]

Oleh Ahmad Lutfi Othman
sumber - Harakahdaily.net Saturday, March 26 @ 07:00:04 MYT

BENAR SEKALI sekali kenyataan Presiden PAS, Ustaz Abdul Hadi Awang, zaman berduka sudah beredar. Kini bukan lagi era untuk merintih mengenang kekalahan yang memeritkan itu, tepat setahun lalu, 21 Mac 2004. Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi pun mengingatkan ahli-ahli Parlimen BN bahawa musim berbulan madu telah berakhir.

Di pihak pembangkang, ada yang cuba menenangkan kegelisahan sendiri dengan menunjukkan peratusan undi popular PAS yang menunjukkan peningkatan berbanding prestasi 1999, walaupun akhirnya mereka terpaksa mengakui, yang lebih penting ialah jumlah penguasaan kerusi. Untuk rekod, pada 2004 PAS memperolehi hanya enam kerusi Parlimen dan 36 kerusi DUN, serta menguasai sebuah negeri, sedangkan pada 1999, PAS menang 27 kerusi Parlimen dan 98 DUN, serta menerajui dua kerajaan negeri.

Sebagai rujukan, pada 1995, ketika pembangkang “terduduk jatuh”, PAS masih mampu menguasai tujuh kerusi Parlimen. Paling memilukan, PAS hilang kuasa di Terengganu – sesuatu yang tidak dapat dibandingkan dengan kemerosotan lain termasuk “disifarkan” di Perak, Pahang dan Selangor -- malah penguasaan kerusi DUN di sana merupakan rekod terburuk semenjak parti itu di bawah era kepimpinan ulamak.

Secara peribadi, saya lebih terkejut dengan keputusan pilihanraya 1999 (dan masih tercari-cari faktor sebenar majoriti pengundi Melayu bertindak sebegitu nekad menolak Umno, dan kemudiannya dengan mudah sekali menyokong kembali Umno walaupun suasana politik tidak banyak berubah!) berbanding 2004.

Menanti saat untuk disembelih

Tulisan saya dalam keluaran Harakah terakhir menjelang hari pengundian Mac 2004 membayangkan “detik yang dibimbangi dan digeruni itu”. Bagi saya, pembangkang seolah-olah hanya menunggu tarikh untuk “disembelih” tanpa mampu dan berupaya melakukan sesuatu bagi mengelak bertembung dengan “saat yang ditakuti itu.”

Justeru, agak pelik juga memikirkan kenapa pada tahun 2000 Barisan Alternatif (ketika DAP masih bersama) tidak menjalankan satu post-mortem menyeluruh terhadap keputusan yang dikira memihak kepada pakatan baru itu?

Mengapa hanya selepas ditimpa kekalahan teruk (dulu-dulu pun kalah juga) baru PAS terdorong untuk mencari jawapan – seperti juga pada 1995 -- sedangkan, bagi saya, adalah lebih penting untuk memahami kecenderungan pengundi yang “tiba-tiba saja menyokong kita”? Misalnya, mampukah sokongan itu bertahan, apatah lagi untuk dikembangkan, jika senario politik berubah, atau teraju negara bertukar.

Ingat, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan akan meletak jawatan 20 bulan sebelum pilihanraya ke-11, sehari sebelum Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor meninggal dunia, dua peristiwa besar yang membayangkan pergolakan politik selepas itu pastinya amat berbeza.

Malang sekali jika aktivis politik terleka (lebih buruk “syok sendiri”) dari membaca percaturan sebenar di peringkat akar umbi, sehingga proses peralihan kepimpinan dalam PAS nampak sedikit goncang dan menimbulkan kegusaran ahli.

Namun, selepas dikejutkan pada 21 Mac 2004, tanpa menunggu lama, PAS segera melakukan bedah siasat secara menyeluruh, termasuk bertemu pelbagai pihak di luar parti. Rumusan post-mortem itu dibentangkan kepada pemimpin parti dari seluruh negara tiga bulan lalu, serentak dengan kertas cadangan untuk memperkasakan parti. Harapnya dalam kadar segera, ada tindakan susulan yang efektif dan tidak tertangguh hanya kerana terpaksa berdepan dengan pemilihan kepemimpinan parti, Jun ini.

Memilih keutamaan dalam keadaan sumber terbatas

Saya masih ingat, empat tahun lalu, cadangan seorang pensyarah sejarah Universiti Malaya agar PAS membataskan tumpuannya kepada masyarakat Melayu-Islam dibantah keras penyokong BA. Ideanya itu disiarkan dalam sebuah akhbar tidak berkala Penerbitan Pemuda ketika ramai pihak membincangkan tentang keperluan PAS bertindak proaktif mendekati masyarakat Cina. Keputusan 1999 merumuskan BN sebenarnya diselamatkan oleh sokongan setia pengundi bukan Melayu ketika orang Melayu “menderhaka”.

Pensyarah itu mengingatkan agar PAS memantapkan dulu kubu tradisinya di kalangan masyarakat Melayu, khususnya di kalangan kelas menengah dan pengundi Melayu di negeri-negeri yang dulunya “terasing” dari parti Islam itu. Hujahnya, dari segi logistik adalah tidak munasabah untuk kita “berhabis-habisan” cuba memenangi sokongan segelintir pengundi bukan Melayu sedangkan hasilnya tidak seberapa, tetapi dalam masa sama jika sumber terbatas itu dimanfaatkan untuk “menjaga” pengundi Melayu, hasilnya lebih berbaloi.

Saya tidak bermaksud untuk bersetuju dengan idea bahawa PAS harus kembali dikurung di bawah tempurung, namun sekadar mahu berkongsi pandangan yang menekankan kepentingan mengatur strategi yang bersesuaian dengan kemampuan dan keperluan, di samping mengekalkan idealisme jangka panjang, tanpa mencalarkan imej sehingga dituduh sanggup menggadai prinsip demi meraih keuntungan segera (yang belum pasti!).

Antara penyakit yang membawa kekalahan pada 2004 adalah sikap “terlalu yakin” untuk mengulangi kemenangan, malah mahu menguasai beberapa negeri baru, selain Kelantan dan Terengganu. Pastinya ia tidak mewabak lagi kerana masing-masing sedar pilihanraya akan datang cukup perit dan mencabar. (Apa yang nak diyakinkan lagi sekarang?)

Tak puas hati prestasi Kerajaan PAS Kelantan

Namun ada yang terus meluahkan rasa tidak puas hati dengan pemerintahan PAS di Kelantan (juga di Terengganu dulu), dalam konteks menonjolkan model pentadbiran Islam, tanpa melupakan negeri itu terpaksa berdepan dengan pelbagai sekatan, terutama peruntukan kewangan. (Tapi, wang bukan segalanya untuk memenangi hati khalayak).

Ketangkasan melintasi halangan secara berhemah dan bijak memanfaatkan ruang kecil yang dibenarkan di Kelantan merupakan keindahan seni berpolitik yang bakal menggilap potensi PAS sebagai sebuah “kerajaan menanti” di negeri-negeri lain nanti. Agak lama juga penyokong PAS ketandusan “cerita menakjubkan” dari Kelantan untuk dipasarkan di kawasan masing-masing.

Harus disedari, teropong rakyat mungkin lebih tajam memerhatikan gelagat pemimpin PAS yang berkuasa berbanding tingkah laku pemimpin Umno, manakala media sentiasa mencari salah-silap untuk dibesar-besarkan. Perubahan gaya hidup mereka juga diperhatikan selain kenyataan yang ada kalanya tersasar akan ditonjolkan bagi membentuk imej negatif pada mata rakyat.

Jangan menganggap jika pemerintahan PAS “bebas dari rasuah” dan “berpegang dengan prinsip Islam”, maka kita pasti akan terus disokong kerana persepsi rakyat mungkin berbeza. Sesuatu tindakan buruk yang dilakukan wakil rakyat Umno mungkin dianggap biasa dan lazim, tetapi jika perkara sama dibuat anggota Exco Kerajaan PAS, ia boleh mengundang kontroversi, misalnya pembelian kereta Mercedes baru.

      

Setahun lalu, tentu ramai masih ingat, malam menunggu keputusan pilihanraya seluruh Kelantan cukup mendebarkan. Ada siaran televisyen menyiarkan Umno sudah menawan semula negeri itu, malah Tok Guru Nik Aziz diberitakan turut kecundang. Hanya beberapa undi menyelamatkan kerajaan PAS. Baru lega sebentar, petisyen pilihanraya mencungapkan kembali nafas kerajaan PAS Kelantan. Saya tidak pasti apakah detik-detik cemas telur di hujung tanduk itu sudah berlalu, atau pelanduk terus alpa dengan perangkap yang makin kejap dipasang.

Ada pihak melihat “saat terburuk atau pusingan roda paling bawah” bagi PAS Kelantan sudah berakhir. Malah wartawan Mingguan Malaysia, 20 Mac 2004 ikut merakamkan pendapat seorang pemimpin kanan BN Kelantan dalam nada sama. PAS hampir tumbang setahun lalu disebabkan “rakyat ingin memberi peluang kepada Abdullah sebagai PM yang baru dilantik …” Maknanya, mood seumpama itu pastinya tidak akan berulang lagi.

Saya mengambil sikap berbeza, sebaliknya suka mengandaikan “apa yang terburuk” masih mengintai di mana-mana, supaya kita lebih berhati-hati membaca rentak seteru dan berusaha keras memintas ke depan. Jangan diremehkan atau memandang rendah keupayaan BN Kelantan merampas semula negeri itu dalam pilihanraya akan datang.Hendaknya pemimpin kerajaan Kelantan, terutama yang baru dan muda, terus mencari idea dan pendekatan baru yang lebih menyegarkan, apatah lagi dalam era pasca Tok Guru -- kalaupun tidak segera, ia akan datang juga – barangkali lebih sukar dihadapi.

Dari satu segi, Kelantan harus dijana sebaiknya bagi menyuntik semangat pendokong PAS di seluruh negara (yang sebahagiannya masih lesu dan terkedu), terutama apabila ia terpilih sebagai tuan rumah muktamar dua tahun berturut-turut. Pada tahun lepas, entah mengapa, kemeriahan majlis seperti tidak terasa pula. Saya kira kehadiran rakyat Kelantan sendiri begitu mengecewakan. Sepatutnya muktamar yang sarat dengan muhasabah dan koreksi diri itu tidak sewajarnya memalapkan persidangan sebuah parti Islam yang sentiasa memberikan saingan sengit buat Umno-BN sejak pilihanraya pertama lagi.

Angan-angan menawan kembali Terengganu ?

Saya lebih tertarik jika ada usaha sistematik buat PAS menawan semula Terengganu, dengan mengambil sepenuhnya iktibar kekalahan 2004. Ada teman-teman meluahkan pendapat: “Perubahan PAS di Terengganu, sebuah negeri yang kita pernah perintah, dan kemudiannya kalah, perlu dilakukan secara lebih jelas dan nampak pada kacamata rakyat, berbanding negeri-negeri yang sejak dulu kita terus kalah dan kalah. Tidaklah sampai meniru Umno Terengganu yang bertukar hampir seratus peratus, tetapi harus menunjukkan kepada rakyat kita sudah berubah.”

Mereka menambah, lihat saja percubaan Umno Kelantan pada Mac 2004 selepas mereka kehilangan negeri itu pada 1990. Ramai ketua bahagian dan pemimpin kanannya, yang dulu selesa bertanding di peringkat Parlimen, nekad bertarung merebut kerusi DUN. Impaknya besar sekali, PAS hampir tewas. Dari satu segi PAS Kelantan juga mengambil pendekatan proaktif dengan memperkemaskan lagi keanggotaan Dewan Hariannya.

“Pilihanraya akan datang, tiga tahun lagi, adalah masa terbaik untuk PAS Terengganu merebut kembali, dengan syarat mereka menampilkan imej baru yang menarik. Sepertimana pilihanraya 2004 merupakan peluang terbaik buat Umno menebus kekecewaan, sebelum PAS bertapak kukuh. Tapi kalau semangat masih longlai, untuk kita bangkit semula dalam pilihanraya seterusnya adalah lebih sukar lagi,” tambah seorang dari kawan-kawan saya itu, yang jelas masih tidak berpuas hati dengan perubahan yang ditunjukkan PAS Terengganu.

Oleh kerana konspirasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara dikenal pasti sebagai, antara lain, punca kegagalan teruk di Terengganu, tidak dapat tidak, senarai daftar pemilih mesti dibersihkan. Kepada umum, isu ini seperti lenyap begitu saja dan tidak diendahkan lagi, serta tiada tindakan serius ditunjukkan PAS dan Parti Keadilan Rakyat untuk menanganinya, selepas terlepas peluang membuktikan penyelewengan itu melalui mahkamah.

Saya agak keliru dengan cadangan penubuhan Srikandi, sayap baru buat anak-anak gadis yang dikira tidak wajar didedahkan terus dengan Dewan Muslimat. (Sepertimana saya keliru dengan pendirian PAS terhadap hiburan). Ia dicetuskan dalam muktamar tahun lalu tetapi sehingga kini belum disahkan kehadirannya. Kadang-kadang terfikir, mengapa untuk melaksanakan hal-hal yang perlu disegerakan, ia sentiasa tertangguh?

Seorang kenalan, editor sebuah akhbar berpengaruh, hampir 17 tahun dulu, mengesyorkan agar PAS menaja satu wadah bebas untuk wanita di bawah 30 tahun: “Berbanding Umno, sebenarnya PAS lebih memerlukan badan seumpama itu kerana anak-anak perempuan kita, yang muda belia itu, tidak bijaksana untuk bergelumang secara langsung dengan organisasi politik. Mereka juga tentunya kekok berbincang isu-isu yang kadangnya tidak pun dihadam oleh wanita berumur.”

Menanti Srikandi PAS, tapi yang muncul Putera Umno !

Apabila mendengar cadangan Srikandi, beliau terus mengucapkan tahniah: “Jangan kerana Umno memulakannya kita jadi segan pula. Saya tidak setuju usaha menyamakan Amal Nisa’ wal Banat dengan Puteri. Nisa’ bagai Unit Amal, lagaknya seperti pertubuhan pakaian seragam. Srikandi harus berbeza, jangan ditekankan sangat soal politik kepembangkangan ini, biar mereka mengenali dan menghayati politik Islam, dengan cara yang lembut dan mesra, tetapi tidak pula terlalu naif dengan manipulasi Umno.”

Sementara kita menunggu penuh minat penubuhan Srikandi, di tengah-tengah kemeriahan aktiviti saingannya, Puteri Umno, tiba-tiba yang muncul adalah Putera Umno, yang mensasarkan keahlian golongan muda berumur antara 18 hingga 25 tahun. Dilaporkan sudah 107,035 ahli Pemuda Umno berdaftar secara automatik sebagai Putera Umno. Teringin juga saya mengetahui reaksi Ketua Pemuda Umno, Salahuddin Ayub dengan perkembangan baru itu memandangkan beliau yang mula mencetuskan idea penubuhan Srikandi!

Apabila saya menghantar SMS kepada seorang sahabat lama, yang pernah memegang jawatan penting dalam PAS Wilayah Persekutuan tetapi kini “berehat panjang”, bertanyakan pandangannya terhadap senario politik masakini, beliau memberi respons: “Umno makin laju, PAS + BA makin layu!”

Maafkan jika selepas setahun saya masih dilihat melagukan kisah sedih dan bernada “pesimis”. -- um





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved