|
LAPORAN KHAS
Ini merupakan tahun pemilihan bagi PAS dan bahangnya semakin dirasai sekitar siapa yang akan menjadi orang nombor 2 Datuk Seri Hadi Awang. Nombor 2 yang kini tidak berapa popular sehingga ahli-ahli parti sanggup menerima seorang yang bukan ulama’ sebagai timbalan presiden. Jocelin Tan cuba mencari jawapan.
Bekas wartawan Ahmad Subky Latiff ialah salah seorang yang dikenali dalam PAS dengan janggut dan cermin mata John Lennonnya.
Beliau terus menjadi penulis yang prolifik dan masih suka melawak. Tetapi umur mengejarnya dan dia mengalami serangan gout yang menyakitkan.
“Semuanya menyakitkan, dari lutut ke bawah. Tetapi jangan bimbang, semua masih ok dari lutut ke atas,” beritahunya.
Subky merupakan antara golongan muda yang telah memasukkan polisi kepimpinan ulama’ ke dalam parti pada tahun 1980an tetapi hari ini beliau dilihat dari kalangan kepimpinan lama.
Salah seorang daripada rakan karibnya dalam parti ialah timbalan presiden Hassan Shukri, seorang ulama’ yang dikenali dengan pandangan konservatifnya. Mereka merupakan rakan keluarga dan jiran di Taman Melawati di mana letaknya markas PAS.
“Rumah saya sebelum ini hanya tiga minit jaraknya dari rumah beliau. Kini kami tinggal kira-kira tiga minit dengan kereta,” kata Subky.
Oleh kerana mereka berdua rakan baik, adakah Hassan berbincang dengan Subky sama ada beliau ingin mempertahankan jawatan timbalan presiden di pemilihan parti tahun ini?
“Saya ada bertanya tetapi dia tidak mengatakan ya atau tidak,” kata Subky, seorang penyokong kuat Hassan.
Hadi dilihat akan kekal sebagai presiden PAS dalam pemilihan parti. Beliau tidak gemar spekulasi bahawa timbalan presiden akan melepaskan jawatannya. Baginya, tiada persoalan tentang Hassan kononnya tidak efektif.
“PAS mengamalkan kepimpinan sekelompok. Jika terdapat kelemahan, yang lain juga bertanggungjawab. Tetapi saya tidak fikir ahli dalam parti ingin mengeluarkan beliau, oleh itu saya rasa Hassan wajar pertahan jawatannya,” tambah Subky.
Tahun ini merupakan tahun pemilihan bagi PAS dan perwakilan ke muktamar atau konvensyen tahunan pada Jun ini akan memilih kepimpinan baru.
Datuk Seri Hadi Awang dilihat akan terus menjadi presiden walaupun terdapat rungutan di akar umbi tentang gaya kepimpinannya yang tidak begitu cemerlang.
Tetapi Hassan berada dalam kedudukan yang agak goyang.
Dengan itu, tumpuan pemilihan tahun ini akan pergi kepada pemilihan bagi jawatan kedua tertinggi, siapakah yang paling layak menjadi timbalan Hadi.
Dakwaan salah urus koperasi yang berkait dengan PAS, Kohilal, di mana Hassan menjadi pengerusinya telah menjejaskan kewibawaannya. Tetapi setengah berpendapat prestasi atau kekurangannya telah benar-benar mengecewakan ahli-ahli.
“Beliau seorang ahli parti yang baik dan setia tetapi kita perlu seorang timbalan yang lain kerana ada cabaran baru,” kata speaker Undang-undang Kelantan Datuk Wan Rahim Wan Abdullah.
Bahagian Wan Rahim, Kota Baru akan menyokong pencalonan dari kalangan bukan ulama’ untuk calon timbalan presiden, suatu yang baru dan mungkin tidak berlaku beberapa tahun sebelum ini.
Nombor 2 dari kalangan bukan ulama’ yang difikirkan ialah Datuk Mustafa Ali, ahli strategis tertinggi di Terengganu.
“PAS perlukan timbalan baru yang mampu membantu Ustaz Hadi,” kata Wan Rahim.
Bahagian Kota Baru akan mencalonkan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, seorang yang pendiam dan disegani, seorang bekas timbalan menteri besar Kelantan bagi jawatan naib presiden.
Mustafa, pilihan Kota Baru amat wajar – Mustafa akan menjadi nombor 2 interim sehingga calon ulama’ yang sesuai muncul dalam beberapa tahun akan datang.
Kelayakan Mustafa cemerlang. Naib presiden ini seorang peguam dari segi latihan, pada suatu masa seorang pemimpin Pemuda dan bekas ahli Parlimen dan ahli DUN.
Lebih penting, Mustafa dan Hadi adalah rakan dari zaman muda lagi. Mereka sangat rapat dan pada suatu masa, anak lelaki Hadi pernah melamar anak perempuan Mustafa.
Mustafa seorang ahli politik yang boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dan ini membolehkannya mencapai peringkat nasional dan antarabangsa, yang mana Hadi dan yang lain-lain tidak mampu.
“Kami lebih suka seorang ulama’ tetapi sehingga kami berjumpa dengan seorang yang mampu, kami akan sokong Mustafa untuk jawatan tersebut sementara itu,” kata Wan Rahim.
Walaupun begitu, tidak semestinya Mustafa akan menerima pencalonan tersebut.
Apabila dihubungi, Mustafa berkata: “Tidak, tidak, bukan jawatan timbalan. Tetapi saya akan pertahankan jawatan naib presiden saya.”
| |
Ahli-ahli PAS di tempat lain juga telah menunjukkan Hadi sebagai timbalan kepada al marhum Datuk Fadzil Mohd Noor.
“Ustaz Hadi telah menjadi orang nombor 2 yang kuat kepada Ustaz Fadzil. Dia tidak bercanggah dengan usaha yang dilakukan oleh presiden dan telah memikul beban berat daripada bahu presiden. Timbalan yang baru mesti lakukan yang sama.”
“Jawatan Timbalan Presiden bukan suatu habuan kerana telah lama berkhidmat tetapi ia datang dengan tugas dan objektif. Individu tersebut perlu mampu laksanakan tugas,” kata ketua bahagian Shah Alam Khalid Samad.
Mengapakah jawatan nombor 2 begitu penting dalam politik PAS sedangkan dalam parti-parti lain timbalan hanya diharapkan memainkan peranan kedua?
Alasannya ialah sementara Hadi seorang yang berlatarbelakangkan agama dan lemah sebagai ahli politik dan strategi. Ahli-ahli PAS tahu bahawa Hadi perlukan seorang timbalan yang mengimbangi kekurangan itu – lebih terkini dalam isu-isu semasa dan trend.
Ini perlu jika parti mahu mendapatkan kembali apa yang telah hilang dalam pilihan raya umum lalu.
Ahli politik PAS jarang akan menceritakan kekurangan kalangan mereka. Kini mereka bersedia membincangkan keperluan kepada timbalan preiden baru memberi gambaran bahawa Hassan telah begitu tidak memenuhi hasrat mereka.
Ramai dalam parti agak terperanjat apabila sejurus selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan oleh mahkamah, Hassan mengatakan dia percaya Anwar bersalah.
Pendiriannya sungguh memalukan Hadi dan seolah-olah mengatakan bahawa presiden tidak mendapat sokongan daripada pegawai-pegawainya.
Sesetengah dalam PAS juga tidak dapat maafkan Hassan kerana bertanding untuk jawatan nombor 2 pada tahun 2003.
Pada masa itu, ada tiga calon - Hassan, Mustafa dan ahli perubatan tradisional Datuk Haron Din.
Pihak kepimpinan ingin memilih calon dengan cara syura atau pungutan suara. Tetapi Hassan menolak dan ingin terus bertanding untuk jawatan tersebut. Dr Haron menark diri dan Hassan teruskan untuk menewaskan Mustafa bagi jawatan tersebut.
Sikap Hassan yang degil tidak diterima oleh ramai perwakilan, kerana rendah diri – tulen dan sebaliknya – adalah saham besar dalam politik PAS.
Tetapi bagi kebanyakan ahli-ahli PAS, calon yang paling layak bagi jawatan tersebut, tanpa dipertikaikan lagi ialah Dr Haron.
Selain dari kedudukannya sebagai ahli perubatan tradisional, beliau juga dihormati kerana ilmu agamanya.
Beliau juga seorang yang karismatik tetapi malangnya kemahiran berpolitiknya hanya sedikit lebih baik daripada Hadi. Kedua-duanya amat akademik, kadangkala naif, dalam pendekatan politik mereka dan lain-lain isu-isu keduniaan.
Ia mungkin munasabah bahawa bahagian-bahagian PAS dari seluruh negara akan akhirnya memberikan Dr Haron pencalonan paling banyak bagi jawatan nombor 2.
Tetapi Dr Haron memberitahu The Star: “Pada waktu ini, saya tidak berniat untuk bertanding. Saya berada di Johor baru-baru ini di mana sesetengah ahli berkata mereka mahu mencalonkan saya tetapi saya beritahu mereka untuk berikannya kepada orang lain.”
Beliau juga memberitahu bahawa dia dilantik sebagai timbalan Mursyidul Am pada tahun lalu dan ia akan nampak tidak molek untuk bertanding bagi jawatan lain.
“Orang tidak akan suka itu. Malah, saya bukan gila kuasa,” tambahnya.
Ahli parti perlahan-lahan mengikut ‘prinsip’yang dipegang oleh Dr Haron mengenai tidak bertanding untuk jawatan dalam parti. Beliau hanya akan terima jawatan melalui proses syura.
Adakah beliau akan terima jawatan timbalan jika syura memutuskan dan bukan cara bertanding?
“Saya tidak mahukan jawatan tersebut tetapi jika ada suara ramai kalangan kepimpinan yang saya mesti terimanya, saya akan terimanya,” katanya.
Tetapi senario di atas hanya boleh berlaku jika faktor-faktor lain tetap dan tidak berubah.
Faktor utama yang mungkin akan mengganggu senario ialah kedudukan Datuk Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am dan Menteri Besar.
Pemimpin lama yang kini 73 tahun belum betul-betul pulih dari serangan sakit jantungnya pada tahun lepas dan telah banyak mengurangkan jadual tugasannya.
Terdapat dalam beberapa keadaan apabila dia begitu tidak sihat, beliau terpaksa membatalkan temujanjinya menyebabkan spekulasi yang beliau tenat. Dua Jumaat yang lalu, beliau menyuruh orang kepercayaannya dan ahli exco negeri Husam Musa untuk mengambil alih taklimat pagi setiap Jumaat.
Nik Aziz dikatakan ingin melepaskan tugas Mursyidul Am kepada Dr Haron.
Kepimpinan tertinggi parti telah menghalangnya berbuat demikian tetapi jika beliau boleh pilih, pertandingan untuk jawatan timbalan presiden akan mengikut corak yang amat berbeza.
|