|
"Kalau kerajaan tak peduli, kita bawa Karam Singh, siarkan kat TV3. Ini saja yang saya akan buat. Mana-mana kementerian tak boleh selesaikan masalah, saya bawa TV3."
Kata-kata ini bergema dalam Dewan Rakyat Khamis ketika ahli parlimen Barisan Nasional kawasan Kalabakan,Sabah Datuk Abdul Ghapur Salleh membangkitkan isu pencemaran udara oleh kuari di kawasannya dalam perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.
Ghafur bertanya sama ada perlu beliau membawa Karam Singh ke kawasannya dan dihebahkan menerusi TV3 untuk menarik perhatian pihak yang berkenaan.
Kenyataannya itu mendapat sokongan dari ahli parlimen lain termasuk pembangkang yang mempertikaikan keprihatinan kerajaan terhadap masalah rakyat sehingga mereka terpaksa merujuk kepada wartawan itu bagi memastikan masalah yang dihadapi diselesaikan.
Ghapur berkata beliau sudah banyak kali membangkitkan perkara itu sama ada di Parlimen mahupun kepada pihak yang berkenaan di kawasannya tetapi sehingga sekarang belum diambil sebarang tindakan.
Kata-kata beliau disokong oleh Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang) yang bangun meminta laluan dan membangkitkan masalah pencemaran sekam padi di kawasannya tetapi tidak ada tindakan diambil sekalipun telah diaju kepada pihak berkuasa.
| |
Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) bangun meminta penjelasan dan seterusnya mencadangkan supaya kerajaan membubarkan kementerian yang hanya bertindak apabila masalah telah disiarkan di televisyen.
"Kalau kementerian hanya bertindak bila bawa Karam Singh Walia, tutup saja kementerian. Ini bermakna Parlimen tidak ada kuasa, Karam Singh lagi berkuasa sebab boleh suruh kementerian bertindak. Yang kita berbincang di Parlimen ini tidak diendah.
"Saya minta kerajaan buang saja menteri, buang saja timbalan menteri, buang saja setiausaha parlimen, tutup kementerian," katanya.
Dr James Dawos Mamit (BN-Mambong) yang tidak ketinggalan mencelah agar Abdul Ghapur membawanya ke Kalabakan bagi meninjau masalah yang dihadapi oleh masyarakat akibat pencemaran udara itu.
"Jangan bimbang Yang Berhormat, saya akan beri tiket (untuk pergi ke Kalabakan). Sepatutnya Yang Berhormat Mambong ni jadi menteri sebab beliau lebih prihatin," kata Ghapur.
|