|
Beberapa orang yang mengaku penasihat rapat Anwar Ibrahim telah menelefon ketua pengarang Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin. Kata mereka, ruangan ini harus dilembutkan, kurang kritikal dan lebih cenderung ke arah mewar-warkan mantera reformasi. Mereka mahukan ayat-ayat yang menekankan "harapan" Anwar Ibrahim seperti yang dicanangkan kepada rakyat.
Mungkin pada mereka, santapan seperti berikut lebih menepati cita rasa:
"Anwar Ibrahim yang sekian lama merengkok dalam penjara, kini bebas dan tangkas mengepalai aspirasi rakyat yang mahukan media yang bebas dan terbuka. Dalam ucapan-ucapan pertamanya, terutama kepada media asing, Anwar Ibrahim menggariskan perlunya media Malaysia menempuh zaman baru di mana mereka berani menegur salah dan silap pemimpin atasan".
Namun tidak kurang juga yang meminta agar ruang ini terus mengkritik. Mereka menuntut agar ruang ini kekal bebas dan terbuka sambil menegur tanpa takut mahu pun gentar. Pada mereka tulisan seperti berikut bertepatan:
"Sejarah membuktikan bahawa Anwar Ibrahim sewaktu berada dalam kerajaan turut menyokong banyak undang-undang yang membelenggu media, termasuk membantu meluluskan Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang memandulkan peranan pengkritik bebas.
Anwar Ibrahim turut mendukung tindakan rejim Mahathir membatalkan lesen The Star dan Watan dalam tahun 1987. Para penyokong Anwar termasuk Johan Jaafar (Utusan Malaysia), Nazri Abdullah (Berita Harian), Yunus Said dan Khalid Ahmad (TV3) turut diletakkan di jawatan-jawatan media yang penting bagi mempastikan bahawa berita yang tersiar miring kepada kepentingan politik Anwar Ibrahim."
Bayangkan, jika penulisan tersebut dicantumkan:
"Anwar Ibrahim yang sekian lama merengkok dalam penjara, kini bebas dan tangkas mengepalai aspirasi rakyat yang mahukan media yang bebas dan terbuka. Dalam ucapan-ucapan pertamanya, terutama kepada media asing, Anwar Ibrahim menggariskan perlunya media Malaysia menempuh zaman baru di mana mereka berani menegur salah dan silap pemimpin atasan.
NAMUN, sejarah membuktikan bahawa Anwar Ibrahim sewaktu berada dalam kerajaan turut menyokong banyak undang-undang yang membelenggu media, termasuk membantu meluluskan Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang memandulkan peranan pengkritik bebas.
Anwar Ibrahim turut mendukung tindakan rejim Mahathir membatalkan lesen The Star dan Watan dalam tahun 1987. Para penyokong Anwar termasuk Johan Jaafar (Utusan Malaysia), Nazri Abdullah (Berita Harian), Yunus Said dan Khalid Ahmad (TV3) turut diletakkan di jawatan-jawatan media yang penting bagi mempastikan bahawa berita yang tersiar miring kepada kepentingan politik Anwar Ibrahim."
Hanya satu perkataan mengikat dua komen di atas, namun konteks penulisan berubah dengan serta-merta. Tulisan pertama bolehlah dianggap tulisan pro-reformasi yang sedikit-sebanyak mencanangkan apa yang Anwar Ibrahim mahu rakyat percaya - bahawa dia merupakan seorang tokoh yang cintakan kebebasan dan pembaharuan.
Tulisan kedua mungkin lebih digemari penyokong kerajaan, kerana ianya melabel Anwar Ibrahim sebagai talam dua muka yang cakap tak serupa bikin.
Kedua-dua tulisan tersebut, bila dicantum menjadi satu, membuka ruang kepada pembaca untuk menilai sendiri. Melihat kepada komen-komen sepanjang minggu lepas, mungkin itulah yang paling dikehendaki. Rakyat boleh membuat keputusan sendiri, siapakah yang berkata benar dan siapa pula yang berdusta? Propaganda yang saban hari diudarakan oleh pemerintah mahupun pembangkang sudah jelek didengar.
Tetapi tidak keterlaluan jika dikatakan komentar sebegitulah yang ditakutkan oleh pemimpin-pemimpin kita, baik daripada kumpulan pemerintah mahupun daripada pembangkang. Sebabnya sangat mudah, pemimpin berkuasa kerana mereka mewarnai diri mereka sebagai lebih baik daripada kita.
Teguran, kritikan dan fakta-fakta yang lahir daripada jiwa-jiwa yang bebas mampu untuk menelanjangkan pemimpin, hinggakan rakyat sedar bahawa mereka juga manusia biasa, yang punya kurap, panau dan kudis seperti kita semua.
Ruang media di Malaysia adalah amat terhad. Kerapkali udara untuk bernafas menjadi terlalu nipis kerana penulis-penulis terpaksa mencoret tulisan yang berat sebelah demi menjaga periuk nasi masing-masing. Suasana sangat melemaskan dan menyesakkan.
Namun Malaysia Today (buat seketika barangkali?) tidak begitu. Ruang ini dijanjikan oleh editornya sebagai suatu media bebas. Pembaca boleh memberi sebarang komen, begitu juga pengkritik boleh mencetuskan pandangan (ya, malah imaginasi!) mereka secara terbuka. Seperti dalam kebanyakan masyarakat yang matang, ruang juga disediakan untuk orang yang dikritik memberi jawapan dan maklum balas.
Malah, sesetengah pemimpin seperti Anwar Ibrahim mempunyai kolum sendiri untuk menangkis sebarang teguran mahupun mewar-warkan ideanya kepada masyarakat. Ruang itu tidak tertakluk sebarang had dan batasan (adakah orang yang berani membatasi Anwar Ibrahim?) oleh itu beliau sebenarnya tidak perlu menunggu belaan orang lain, kerana beliau seharusnya menggunakan media bebas ini untuk berkomunikasi dengan rakyat.
Sayangnya, Anwar Ibrahim lebih gemar menulis untuk majalah antarabangsa seperti Time, Newsweek dan Far Eastern Economic Review. Anwar Ibrahim lebih suka mencetuskan idea kepada wartawan asing seperti Lorraine Hahn, S.Jayasankaran dan Zainuddin Affendy. Siaran-siaran asing ini memang gah lagi megah, tetapi berapa kerat rakyat yang dapat menyaksikannya? Acapkali, mesej yang disampaikan menjurus kepada memikat hati penonton luar negara sedangkan rakyat di tanah air tercinta ini masih tergapai-gapai mencari jawapan di awang-awangan.
| |
Maka ruang di Malaysia-Today ini kekal hanya sebuah gramafon buruk yang mengulang buat keseribuan kalinya tulisan-tulisan lapuk yang dicoret oleh Anwar Ibrahim lebih setengah dekad yang lalu.
Untuk apa pendokong reformasi berbangga dengan komen-komen hambar Lorraine Hahn, misalnya, yang hanya menanya dua tiga potong soalan generik yang sasar? Bukankah lebih baik dicari jalan untuk mengetengahkan agenda pembaharuan kepada rakyat dalam negara?
Untuk apa, menjenguk menara-menara gading di Johannesburg, Oxford, Jakarta dan Washington DC berbulan-bulan, sedangkan rakyat di pondok pelupuh buruk masih laparkan perubahan? Apakah pengorbanan mereka selama ini sia-sia?
Jangan lupa, pondok-pondok buruk itulah yang menghasilkan 60% sokongan pengundi Melayu (dan ramai juga pengundi bukan Melayu) kepada BA dalam tahun 1999, memberi ruang kepada tiga puluh dua manusia yang bersekutu di bawah payung Anwar Ibrahim dan gerakan reformasinya untuk menjadi Yang Berhormat Ahli Parlimen dan lebih lima puluh lagi menjadi Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri.
Polemik Anwar Ibrahim semakin rancak kerana rakyat (dan juga pimpinan) dahagakan jawapan yang jelas dan lurus daripada Anwar Ibrahim. Sikap syak wasangka dan sinis mereka sangat wajar kerana Anwar Ibrahim menghabiskan lebih sepertiga usianya dalam Umno, sebuah parti yang terkenal kerana mainan politik wayang tingginya.
Anwar Ibrahim mempunyai hutang terhadap rakyat Malaysia, khususnya para pengundi yang menyokong parti-parti sekutu beliau dalam pilihan raya umum 1999. Hutang itu masih belum terbayar. Belum ada bukti kukuh bahawa Anwar Ibrahim akan mengepalai perubahan besar dalam sistem politik negara, seperti yang dijanjikannya dalam deklarasi Permatang Pauh dahulu.
Kenapa kritik Anwar Ibrahim, sedangkan ramai pemimpin lain, BN mahupun BA, dalam dan luar negara yang wajar ditegur?
Sebenarnya mereka juga turut menjadi sasaran teguran, namun tidak menghairankan Anwar Ibrahim menjadi tumpuan utama ruangan ini. Pemimpin lain seperti Abdullah Badawi, Lim Kit Siang mahupun Hadi Awang, malah Wan Azizah Ismail, adalah wakil rakyat yang terpilih. Tindak-tanduk mereka dikawal dalam ruang parlimen dan mereka kerap berhadapan dengan lawan dan seteru politik masing-masing yang tidak segan silu mendedahkan kesilapan mereka kepada rakyat kebanyak.
Anwar Ibrahim tidak begitu. Umpama seorang begawan, dia dikawal oleh suatu kelilingan juak-juak yang sangat cemburu terhadap sebarang rakyat yang cuba mendekati beliau. Malah, mereka menghalang sesiapa pun daripada menyoal Anwar Ibrahim tentang sebarang perkara yang mungkin menunjukkan kesilapan beliau.
Malaysiakini.com semalam melaporkan bagaimana Anwar Ibrahim gagal memberi jawapan yang jurus dan lurus terhadap para reformis yang "dijemput khas" (disaring?) untuk ber"dialog" dengan beliau. Komen itu diberikan seorang reformis, yang sudah enam tahun membanting tulang, menggadai maruah dan keselesaan demi Anwar Ibrahim. Apakah si-polan yang enggan memberi namanya itu juga akan dicap "SB", "penderhaka", "pemfitnah" atau "pemecah-belah"?
Mengkritik pemimpin, terutama yang mendakwa dirinya pemuka gerakan islah seperti Anwar Ibrahim dan Abdullah Badawi, adalah suatu kewajipan bagi setiap rakyat yang cintakan kebenaran. Begitu juga, membuka diri kepada kritikan adalah tanda kejujuran seorang pemimpin yang mengotakan kata-katanya dan bukan sekadar menanam tebu di bibir mulut.
Melihat komen-komen sepanjang minggu lepas, jelaslah pembaca ruangan ini mempunyai kemampuan akal fikiran yang cukup bernas untuk menilai sendiri lakonan politik pemimpin kerajaan mahupun pembangkang. Kematangan itu membanggakan, malah kerap kali fikiran saya sendiri berubah bila membaca respon dan maklum balas pembaca.
Sayangnya, pemimpin-pemimpin kita masih belum bersedia untuk menerima teguran. Atau mungkin orang-orang di keliling mereka terlalu takut imej pemimpin itu luntur sedikit dengan telahan bahawa dia tidak serba betul. Pokoknya, "arahan" telah keluar kepada pengarang situs ini untuk menghentikan ruangan ini.
Sudirman pernah menyanyi, salam terakhir adalah salam teristimewa. Apatah lagi, pemergian "tidak dirancang". Mungkin betul, mungkin tidak. Nampaknya, perjalanan ruang ini sudah sampai ke penghujungnya, kerana BATU GILING telah mengadun ramuan yang menghasilkan gulai yang sedap kepada sesetengah orang, tetapi terlalu pedas buat sesetengah pemimpin. Hidangan ini percuma kerana tukang masaknya tidak dibayar. Kadangkala tentulah terlebih garam atau pun lada.
"Berkatalah benar walaupun pahit,"
suatu dendangan yang kerap dijulang oleh sesetengah pemimpin sebagai halwa telinga kita. Rupa-rupanya, kata-kata itu cuma jampi serapah politik dan bukan kenyataan. Mungkinkah reformasi cuma imaginasi? Siapakah antara kita yang sebenarnya sedang bermimpi?
Minggu hadapan, tulisan terakhir Kirdatun Borhan akan mendedahkan siapa "mengarahkan" penutupan ruang ini
Penulis merupakan kolumnis dalam laman web Malaysia-today.net milik Raja Petra.
|