|
BEHRANG: “Saya laungkan azan tiga kali sambil memeluk isteri, Rabeeah Saad dan anak seorang pensyarah yang kami jaga selepas terdengar bunyi seperti sebuah 'helikopter' di atas bumbung rumah kami.
“Malah, kebanyakan bumbung rumah penduduk diterbangkan angin sejauh 200 meter dan terdapat juga yang menghempap rumah jiran dalam kejadian ribut yang berlaku di sini, petang semalam (kelmarin),” kata seorang penduduk, Hashim Hamid, 55, ketika ditemui di taman perumahan Bandar Behrang 2020, di sini semalam.
Beliau berkata, sebelum itu cuaca agak panas tetapi bertukar menjadi redup dan tiba-tiba hujan lebat.
Katanya, selepas itu mereka nampak pusaran angin berkumpul dari arah tiga penjuru berpusing seperti gelombang lautan sehingga menggegarkan rumah mereka.
“Ketika meluru masuk ke dalam rumah, saya melihat almari tumbang dan air hujan masuk apabila bumbung rumah saya diterbangkan satu demi satu,” katanya.
Seorang suri rumah, Salni Idarwati Abd Ghani, 28, berkata ketika hujan lebat beliau juga terdengar bunyi angin yang kuat sebelum pintu rumahnya bergegar.
Beliau berkata, dia terus berlari masuk ke bilik mendapatkan anaknya, Mohd Nor Hilmi Rosdan, 7, Nur Atikah, 5, dan Mohd Nor Ezrin, 2, yang sedang tidur.
“Kami benar-benar takut dan pada masa sama saya terdengar bunyi benda jatuh di atas bumbung rumah jiran saya.
“Sebaik disiasat saya dapati bumbung rumah dan garaj diterbangkan angin sebelum menghempap bumbung rumah jiran,” katanya.
| |
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu menyebabkan sekurang-kurangnya 36 rumah di taman perumahan Bandar Behrang 2020, di sini rosak teruk dengan sebahagian bumbung diterbangkan angin dalam kejadian ribut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, KRA Naidu ketika ditemui selepas melawat mangsa di taman perumahan itu berkata, kebanyakan rumah yang mengalami kerosakan teruk terutama di bahagian bumbung ialah di Jalan WM3/10, WM3/11, WM3/13, WM3/19 dan WM3/21 11.
Bagaimanapun, katanya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku selama kira-kira 20 minit itu.
Beliau berkata, pihaknya sudah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah dan Pejabat Daerah Batang Padang supaya menghulurkan bantuan kepada mangsa.
“Kami belum dapat menilai jumlah kerosakan yang dialami penduduk dan berharap penduduk bersabar.
“Mereka juga diminta berjaga-jaga kerana bimbang jika kejadian sama berulang di kawasan perumahan itu kerana kemungkinan itu ada,” katanya.
Naidu berkata, antara bangunan awam yang rosak ialah Tadika Bandar Behrang 2020 di Jalan WM3/13 manakala kawasan lapang di Jalan WM3/21, WM3/19 dan WM3/10 pula dipenuhi bumbung dan besi yang diterbangkan angin.
Beliau berkata, pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah memulihkan bekalan elektrik di 40 rumah di Jalan WM3/10 dan WM3/11 yang terputus selain memotong bekalan elektrik di kawasan tertentu bagi mengelak kejadian tidak diingini.
|