|
Saya turut berkongsi rasa kecewa dengan Sdr Ahmad Lutfi apabila mendapati cadangan penubuhan sayap baru PAS, Srikandi, belum pun menjadi kenyataan. Sedangkan ia dicadangkan dalam muktamar PAS di Kota Bharu tahun lalu. Dan dua bulan lagi kita akan bermuktamar sekali lagi.
Yang peliknya kita ini, kalau mendengar berita atau aktiviti Puteri Umno, macam-macam kritik kita lemparkan. Selepas Putera, satu lagi sayap Umno untuk pemuda berumur 25 tahun ke bawah, ditubuhkan, kita tidak kurang idea untuk mengecam tindakan Umno itu. Tapi, sedarkah kita, untuk perkembangan parti kita apa yang kita lakukan ?
Saya bukan mahu minta kita hentikan kritikan terhadap Umno kerana memang parti itu banyak melakukan kesalahan dan kesilapan, serta mengkhinati bangsa Melayu dan rakyat Malaysia, tetapi sesekalilah renunglah ke dalam diri, perkemaslah parti sendiri, lakukanlah islah dan perubahan.
Jangan hanya pandai mencadangkan sesuatu yang nampak bagus tetapi ia terbiar begitu saja. Usahakan agar idea yang baik dapat dilaksanakan dan dinikmati kebaikannya.
| |
Bagi saya, parti kita sebenarnya kekurangan tenaga kerja (pengurus) yang boleh merealisasikan idea bernas kepada tahap perlaksanaan yang berjejak di bumi nyata. Duit mungkin dijadikan alasan atas kegagalan itu tetapi saya percaya jika keazaman politik kita kuat, pelbagai masalah boleh diatasi. Benar nasihat orang, “jangan hanya pandai beretorik saja!”
Kita kata orang muda semakin menjauhi kita, tapi apa yang kita lakukan untuk menarik mereka, secara terancang, sistematik dan jujur. Kalau sekadar buat satu konsert di Taman Melewar, kemudian berhenti, minta maafllah, ia tidak akan ke mana.
Isu seperti itu (mendekati orang muda) tidak harus diletakkan kepada Dewan Pemuda PAS untuk menanganinya. Pemimpin kanan parti harus turun padang, cambahkan idea, buka kepada sudut fikiran baru, dan bincang sampai lumat, sampai khatam, jangan separuh masak. Okeylah dulu leteran saya kali ini, nanti ada yang marah pula. - um
|