Idealis Mahasiswa
 
 

Anwar Ibrahim dan serigala dalam bank dunia


Hit = [ ]

oleh Azizi Aziz
sumber - Malaysiakini.com Apr 1, 05 3:03pm

Saya merasa sangat hairan apabila tiada seorang pun aktivis mahupun penulis dari perkumpulan Parti Keadilan Rakyat, lebih-lebih lagi PAS, yang memberikan respons kepada artikel yang dikira paling penting dalam titik perjuangan reformasi di negara ini.

Pastinya saya merujuk kepada artikel Hishamuddin Rais, dalam kolumnya di malaysiakini. di bawah tajuk Siapakah Si Mamat Ini?

Sekiranya artikel itu dibaca dengan akal sihat, sepatutnya ia mengubah arah tuju dan matlamat perjuangan pakatan PKR-PAS, kerana satu garis sempadan penting telah dibuat – iaitu sejauh manakah campurtangan dan penglibatan asing perlu dibenarkan dalam memperjuangkan demokrasi dan keadilan, bukan sahaja dalam skop nasional, malahan ruang lingkup antarabangsa.

Dengan ‘pendedahan’ sedemikian, sangat sukar, khususnya bagi PKR, menafikan sudah berlaku campurtangan asing dalam arah gerakan parti itu. Paling menyedihkan pastinya bagi penggerak dan pejuang Islam, kerana ‘bersahabat dengan ejen Zionis’ dan penaja kapitalis ulung tidak mungkin boleh diterima atas apa alasan sekalipun.

Isham menulis: ‘Nenek saya menasihatkan jangan selalu mandi dalam kubang kerbau, kamu akan berlumpur dan satu hari nanti kamu akan ditindik hidung untuk menjadi kerbau. Oops ... maaf. Nenek saya kata kerbau atau ‘wolf’. ‘Wolf’ bukan kerbau. ‘Wolf’ ialah serigala.’

Siapakah kerbau yang dicucuk hidung dalam rumusan itu? Malah Paul Wolfowitz disindir beliau sebagai ‘Wolf bukan kerbau, Wolf ialah serigala’. Apa yang menjadikan artikel beliau kali ini begitu menarik adalah bagaimana beliau berjaya mendedahkan satu perhubungan yang songsang dan penuh paradoks berhubung dengan persahabatan dan sokongan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) atas cadangan Presiden AS George W Bush untuk melantik Wolfowitz sebagai presiden Bank Dunia.

      

Semua orang tahu betapa baiknya perhubungan ‘persahabatan’ antara DSAI dengan Wolfowitz ini. Malah, tanpa berselindung, DSAI sendiri sangat berbangga dengan perhubungan tersebut. Selepas pembebasannya, telah tiga kali pertemuan diatur antara DSAI dan Wolfowitz.

Lebih menarik apabila Hishamudin mendedahkan bahawa di sebalik tentangan ramai ahli parlimen serta para cerdik pandai Eropah terhadap cadangan Bush (melantik Paul sebagai presiden Bank Dunia), DSAI menjadi orang pertama yang menyokong pencalonan tersebut.

Dengan sokongan DSAI, yang dianggap Bloomberg sebagai seorang pemimpin Islam berpengaruh di rantau Asia, hampir dapat dipastikan bahawa Wolfowitz akan dilantik menerajui bank paling berpengaruh di dunia itu.

Pelantikan ini akan turut memastikan agenda Bush untuk meneruskan penjajahan ke atas negara Syria dan Iran akan menjadi kenyataan sedikit masa lagi kerana Amerika pastinya akan mempunyai sokongan dana yang terjamin dalam misi ketenteraan seterusnya.

Dengan itu, dakwaan DSAI bahawa beliau menyampaikan mesej penentangan terhadap serangan Amerika ke atas Iraq adalah satu yang hipokrit.

Apakah implikasinya kepada politik tanahair? Kenyataan sepatutnya sudah terpampang di depan mata. Sudah terang tanpa perlu bersuluh lagi. Kepada mereka yang sungguh meminati perjuangan Islamnya DSAI - termasuklah Abim dan PAS - berfikirlah sejenak.

Saya adalah pemerhati politik tak berparti. Tetapi, sekiranya saya salah seorang ahli parti PAS atau ahli Abim, saya sejujurnya akan menasihati ‘ikon’ Islam ini. Nasihat saya pun tidak akan jauh berbeza daripada peringatan Hishamuddin:

‘Jauhilah Wolf (serigala) ini, kerana ia bukan lagi sekadar mencucuk hidung dan membawa kita kepada kemusnahan dan kehancuran Islam, sebaliknya akan membaham kita dan seluruh bangsa hidup-hidup’.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved