|
Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menentukan dasar-dasar dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana beliau hanyalah merupakan penasihat parti, kata Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali hari ini.
“Beliau adalah penasihat kita. Beliau boleh memberi kita nasihat, tetapi tidak boleh menentukan dasar-dasar parti,” katanya ketika diminta mengulas sokongan Anwar terhadap perlantikan Paul Worlfowitz sebagai Presiden Bank Dunia yang baru.
Syed Husin menganggapnya sebagai pandangan peribadi Anwar sendiri.
Beliau menjelaskan, hanya ulasan isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden PKR, boleh mencerminkan pendirian parti itu dalam isu-isu tertentu.
Ditanya mengenai pendirian PKR berhubung perlantikan Wolfowitz itu, Syed Husin berkata, parti itu belum membincangkannya.
“Saya tidak tahu mengapa Anwar menyuarakan sokongan kepada Wolfowitz..mungkin kerana beliau sudah lama mengenalinya. Tetapi pihak parti belum membuat sebarang pendirian. Kami akan membincangkannya kemudian jika isu itu timbul,” katanya ketika dihubungi.
Wolfowitz dianggap sebagai orang penting dan gemar menggunakan 'kekerasan' dalam pentadbiran Presiden George W Bush.
Dikenali sebagai arkitek pencerobohan Amerika ke atas Iraq, Wolfowitz adalah penyokong kuat penggunaan ketenteraan dan berikrar akan memerangi 'habis-habisan' negara yang melindungi militan keganasan.
Kenyataan penting tidak dilaporkan
Sementara itu, Syed Husin berkata, Anwar telah memberitahu parti itu yang pihak media tidak melaporkan kecamannya terhadap pencerobohan Amerika atau tuntutannya supaya bala tenteranya (Amerika) dikeluar, tetapi mereka (media) lebih menekankan kepada sokongannya kepada Wolfowitz, yang juga Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika.
| |
“Kenyataan penting Anwar yang membantah perang di Iraq tidak disebut dalam laporan-laporan media,” tambahnya.
Laporan berita Bloomberg baru-baru ini, memetik Anwar sebagai berkata: “Beliau (Wolfowitz) amat mempercayai kepada kebebasan dan memahami isu-isu mengenai kemiskinan, keadaan kehidupan dan isu-isu kesihatan yang merupakan agenda utama Bank Dunia.”
Walaupun dibantah hebat, Wolfowitz, 61, dipilih sebulat suara oleh lembaga pengarah eksekutif Bank Dunia sebagai presiden baru bank itu minggu lalu.
Apabila Anwar dipecat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudiannya dihukum penjara atas kesalahan rasuah dan liwat, Wolfowitz merupakan orang yang kuat membelanya.
Selepas dibebaskan dari penjara September tahun lalu apabila Mahkamah Persekutuan membatalkan hukuman dan sabitan ke atasnya, Wolfowitz pergi menemui Anwar yang sedang menjalani rawatan penyakit tulang belakang di sana.
Februari lalu, kedua-dua mereka bertemu lagi di Pentagon di Amerika Syarikat.
|