|
KUALA LUMPUR 16 Mac - Lebih 1,000 daripada 6,000 pelajar Malaysia di Mesir yang sebelum ini dikuasai minda dan cara hidup oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) berjaya dibebaskan daripada belenggu itu dan kini menjalani kehidupan seperti sedia kala.
Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin berkata, kejayaan tersebut adalah hasil usaha Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Mesir dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JHEK), Kementerian Penerangan menjalankan aktiviti membuka minda pelajar tersebut untuk menerima keadaan sebenar.
Beliau berkata, sebelum ini, kehidupan pelajar tersebut dikongkong oleh peraturan PMRAM yang menekankan kepada cara hidup bersendiri dan terasing daripada dunia luar termasuk masyarakat Arab setempat.
"Pelajar tidak dibenarkan membaca bahan bacaan lain seperti surat khabar kecuali buku agama berkaitan syariah dan usuluddin serta buku keluaran PMRAM sahaja.
"Pelajar lelaki dan perempuan tidak dibenarkan berinteraksi sesama mereka, tidak boleh bergaul dengan masyarakat tempatan dan pelajar perempuan tidak dibenarkan keluar selepas pukul 6 petang.
"Cara berpakaian turut ditentukan oleh PMRAM," katanya pada sidang akhbar berhubung hasil lawatannya ke Mesir baru-baru ini di sini hari ini.
Beliau menambah, pelajar yang mengingkari peraturan tersebut bakal menerima hukuman diboikot oleh pelajar-pelajar Malaysia yang kebanyakannya menganggotai persatuan itu.
PMRAM ditubuhkan sejak 1930-an hasil gabungan persatuan anak Melayu nusantara iaitu Brunei, Malaysia, Indonesia dan Singapura yang melanjutkan pelajaran di Mesir.
| |
Bagaimanapun, apabila negara-negara tersebut membuka kedutaan di Kaherah, persatuan pelajar Brunei, Indonesia dan Singapura keluar dan berdaftar dengan kedutaan masing-masing.
PMRAM yang mendapat kelulusan penubuhan daripada Kementerian Kemasyarakatan Mesir terus bergerak sebagai persatuan pelajar sehingga hari ini.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, fungsi persatuan tersebut mula dipertikaikan setelah memperkenalkan beberapa pendekatan yang keterlaluan dan mencurigakan kepada pelajar termasuk menolak untuk berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Mesir.
Zainuddin berkata, dalam menegakkan fahaman sempit dan menguasai pelajar itu, PMRAM sanggup melakukan apa sahaja.
Beliau berkata, dalam satu kejadian PMRAM sanggup meletakkan wanita yang dibekalkan dengan video kamera bagi mengambil gambar dan menyekat mana-mana pelajar yang hendak menyertai majlis korban anjuran Kedutaan Malaysia kerana mendakwa daging sembelihan majlis korban itu tidak sah kerana dilakukan oleh pihak kedutaan.
Zainuddin menambah, selain fahaman agama yang sempit, beliau tidak menolak kemungkinan, keadaan itu berlaku kerana pengaruh politik parti pembangkang.
"Daripada laporan yang diterima wakil-wakil parti pembangkang akan hadir dari masa ke masa berjumpa dengan pemimpin persatuan itu," katanya.
Beliau menambah, keadaan tersebut amat berbahaya kepada negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum.
Oleh itu beliau berkata, MSD dan JHEK akan mengadakan usaha berterusan bagi mengeluarkan lebih ramai pelajar daripada belenggu PMRAM.
|