|
KUALA TERENGGANU: “Dalam ketakutan saya sempat melaungkan azan dua kali,” kata Philip Hamzah, 46, menceritakan pengalamannya ketika helikopter Sikorsky S61 yang dinaikinya bersama enam penumpang lain secara tiba-tiba berpusing.
Kata Philip, dia juga tidak sempat menghabiskan ayat Kursi sebelum menyedari helikopter berkenaan berada di tanah selepas melakukan pendaratan cemas.
Ketika kejadian kira-kira jam 10.55 pagi semalam, helikopter milik syarikat Malaysia Helikopter Services (MHS) itu yang dikendalikan seorang juruterbang dan pembantunya dikatakan baru berlepas dari Lapangan Terbang Kertih, Kemaman, dekat sini.
Philip yang bertugas sebagai operator wireline syarikat minyak Exxon-Mobil, berkata helikopter yang dinaikinya itu sepatutnya membawanya ke pelantar carigali minyak Alpa.
Bagaimanapun, katanya, helikopter yang mereka naiki bergegar ketika berada di ketinggian kira-kira 500 meter sebelum berpusing beberapa kali.
“Saya ingatkan dah nak mati, tapi saya sempat melaungkan azan dua kali dan membaca ayat Kursi yang tak sempat dihabiskan kerana helikopter sudah mendarat.
“Saya bersyukur kerana terselamat walaupun kaki terseliuh sebelum mengarahkan rakan memecahkan cermin kerana menjangka helikopter akan meletup pada bila-bila masa,” katanya yang mengagumi ketenangan juruterbang melakukan pendaratan sehingga semua penumpang terselamat.
Antara penumpang lain dalam penerbangan itu, Wan Mahadi Wan Jaafar, 30-an; Abdul Latif Abdullah, 32; Mohd Azli Ibrahim, 35; Henry Jumino, 32, dan Saufi Hamzah, 66.
Juruterbang helikopter itu ialah Wan Kamil Wan Muda, 39, dan pembantu Abdul Malik Masduki, 35.
Rakan Philip, Anuar Mokhtar, 33, dari Batu Buruk, di sini, berkata kursus keselamatan yang diberikan Petronas kepada kakitangan pelantar memang baik apabila ia dapat digunakan dalam keadaan kecemasan yang dihadapi seperti itu.
“Saya ingatkan dah mati, tetapi bersyukur kerana selamat walaupun pada satu ketika helikopter berpusing secara tiba-tiba,” katanya yang bekerja sebagai penggerudi, Syarikat Tioman Training.
| |
Dia yang sepatutnya ke Pelantar Angsi A Petronas Carigali, berkata itulah pengalaman pertama selepas tujuh tahun bekerja dalam bidang berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Abdullah Arshad, berkata helikopter itu membawa tujuh penumpang yang bekerja di pelantar dua syarikat minyak Petronas dan Exxon-Mobil bersama juruterbang dan pembantu juruterbang.
Beliau berkata, mereka yang cedera dihantar ke Klinik Desa Rantau Petronas untuk rawatan lanjut, manakala tiga lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Dua daripada penumpang adalah kontraktor syarikat Petronas Carigali manakala lima kontraktor syarikat minyak Exxon-Mobil.
“Semua yang cedera mendapat rawatan sebagai pesakit luar di klinik berhampiran,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, semalam.
Bagaimanapun, katanya, polis masih menjalankan siasatan mengenai punca kejadian terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif MHS, Mahasom Mahadi, berkata juruterbang memaklumkan helikopter menghadapi masalah dan berpusing kepada bilik kawalan ketika di ketinggian kira-kira 500 kaki.
Menurutnnya, juruterbang kemudian membuat pendaratan cemas di lapangan terbang berkenaan.
“MHS akan bekerjasasama dengan Jabatan Penerbangan Awam dalam menjalankan siasatan bagi mencari punca kejadian itu.
“Syarikat yang memiliki tiga helikopter Sikorsky S61N turut menggantung penerbangan dua lagi helikopter sama, manakala perkhidmatan lain diteruskan.
“Walaupun usia helikopter itu kira-kira 35 tahun, tetapi tidak pernah berlaku kejadian seperti ini sejak 1983,” katanya.
Beliau berkata, perkhidmatan helikopter yang boleh memuatkan 19 penumpang itu akan diteruskan selepas siasatan selesai.
|