|
KUALA LUMPUR 3 Feb. - Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara hari ini mendedahkan wujud penyelewengan dalam pemberian bantuan zakat pendidikan kepada pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di negara-negara Arab.
Pengerusinya, Datuk Noh Omar berkata, keadaan itu berlaku kerana kebanyakan kerajaan negeri membayar wang zakat itu kepada Badan Kebajikan Anak Negeri (Bakan) yang kemudian akan mengagihkan kepada pelajar.
Bagaimanapun katanya, penyelewengan berlaku apabila pengagihan dilakukan bukan berdasarkan kepada prestasi akademik dan kemampuan ekonomi pelajar terlibat, tetapi berdasarkan sokongan politik pelajar terbabit.
Beliau berkata, mana-mana pelajar yang menyokong kerajaan tidak akan dicadangkan oleh Bakan untuk mendapat bantuan zakat pendidikan yang diperoleh daripada peruntukan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri.
"Malah kami juga mendapat laporan Bakan Negeri Kedah telah membuat satu resolusi dalam satu perhimpunan menyatakan mana-mana pelajar yang menyokong UMNO tidak akan mendapat sokongan daripada persatuan negeri untuk mendapatkan biasiswa daripada wang zakat itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, penyelewengan tersebut bukan hanya berlaku di Mesir tetapi turut berlaku di beberapa buah negara Arab lain.
Noh berkata demikian ketika diminta mengulas kegiatan Bakan di beberapa buah negara Arab yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia mendapatkan bantuan pendidikan.
| |
Utusan Malaysia hari ini mendedahkan kedegilan 11 Bakan di Mesir yang mengingkari arahan supaya mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Kaherah.
Sebaliknya, 11 Bakan tersebut bergabung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab-Mesir (PMRAM), sebuah pertubuhan yang dikatakan telah digunakan oleh parti pembangkang Pas untuk melahirkan 'kader-kader' mereka di negara itu.
Kader-kader itu yang terdiri daripada pelajar-pelajar senior akan menguasai pelajar-pelajar Malaysia yang baru datang ke Mesir dengan mengongkong pergaulan dan aktiviti mereka.
Noh berkata, bagi mengelak penyelewengan itu terus berlaku, kerajaan-kerajaan negeri disaran menempatkan pegawai khas bagi mengambilalih tugas Bakan mengurus pengagihan bantuan zakat pendidikan itu.
Katanya, setakat ini hanya Pahang dan Selangor telah menghantar pegawai bagi mengurus pengagihan biasiswa.
Beliau menambah, keadaan seperti itu juga telah menyebabkan ramai pelajar kini berasa tertekan dan takut memberi sokongan termasuk kepada aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Kedutaan Malaysia.
Mengulas mengenai PMRAM, beliau berkata, persatuan tersebut mempunyai pengaruh cukup kuat sehingga boleh menguasai tingkah laku pelajar Malaysia.
"Kita berharap penaja khususnya kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap pelajar yang mengingkari arahan pihak kedutaan," katanya.
|