|
Perang mulut berterusan di antara bekas pemimpin Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang kini menganggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas penggabungan PRM-Keadilan, dengan bekas pemimpin PRM yang mahu menghidupkan semula parti itu.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Syed Husin Ali menyifatkan percubaan untuk menganjurkan “Kongres Khas PRM” Ahad ini oleh mereka yang mahu menghidupkan semula parti itu sebagai tidak berfaedah sama sekali.
Beliau yang juga bekas presiden PRM berkata, ini kerana ia bertentangan dengan keputusan Kongres Nasional ke-34 PRM, dan tindakan tersebut boleh menguntungkan pihak musuh yang mahu parti pembangkang berpecah.
Beliau juga menganggap penganjuran kongres khas tersebut sebagai “cuba membantutkan usaha untuk meneruskan perjuangan rakyat melalui wadah lebih besar dan luas”.
Beberapa bekas pemimpin PRM telah memanggil satu sidang akhbar pada pada 31 Mac lalu untuk mengumumkan hasrat mereka untuk menghidupkan semula PRM. Mereka termasuk ahli-ahli jawatankuasa penyelaras PRM, Hassan Karim, Gary Nair, SK Song, Salleh Ahmad dan Koh Swe Yong.
Sehubungan itu, Dr Syed Husin berkata, dalam kongres nasional ke-34 pada 15 Julai 2001, resolusi yang menyeluruh diluluskan oleh perwakilan dari bahagian masing-masing, dengan undi majoriti yang tinggi.
“Pertama, resolusi menyetujui percantuman mendapat 80 peratus. Kedua, resolusi menerima syarat-syarat mendapat 74 peratus. Ketiga, undi membubar PRM mendapat 70 peratus. Keempat, undi memberi mandat kepada JKP menjayakan percantuman mendapat 79 peratus.
“Perlu ditegaskan kongres nasional PRM sendiri yang mengambil keputusan membubarkan PRM setelah Pendaftar Pertubuhan mengesahkan penubuhan parti baru dan parti tersebut berada dalam keadaan mantap.
“Parti Keadilan Rakyat sudah didaftar. Ia telah mengadakan kongres nasional pertama pada bulan Disember 2004. Keadilan sudah berjaya diintegrasikan pada peringkat pusat, negeri dan bahagian,” kata Dr Syed Husin dalam satu kenyataan.
Dalam resolusi kedua, tambahnya, syarat-syarat yang dipersetujui ialah mengenai nama parti, lambang/bendera parti, keanggotaan beramai-ramai dan dasar Perjuangan Parti (17 perkara).
Masuk beramai-ramai
“Yang sekarang dipertikaikan ialah tentang penerimaan keanggotaan ke dalam PKR secara beramai-ramai. Semasa perkara ini diluluskan, tiada seorangpun wakil, termasuk pemimpin ‘kongres khas’ sekarang, yang bangun menyatakan mereka tidak mahu menjadi ahli PKR,” tegasnya.
Dr Syed Husin berkata, ahli PRM dan Keadilan diterima masuk beramai-ramai menjadi ahli PKR tanpa mengisi borang dan menambah sehingga hari ini tidak seorangpun, termasuk pemimpin “kongres khas” ini, yang memaklumkan secara lisan atau tulisan kepada pihak PKR. Mereka tidak ingin menjadi ahli.
“Sebaliknya, Sdr Hassan Karim (gambar) telah menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, menerima jawatan sebagai salah seorang Timbalan Setiausaha Agung PKR, menghadiri beberapa mesyuarat MPT, Biro Politik dan Sekretariat PKR, dan bertanding dalam pilihanraya umum atas tiket PKR.
“Sdr SK Song, juga menganggotai MPT Peralihan, bertanding dalam pilihanraya lalu atas nama PKR, dan bertanding untuk jawatan dalam MPT PKR baru-baru ini, tetapi kalah teruk. Tidak perlu pergi kepada kes-kes lain,” katanya.
Menurutnya, walaupun pendaftaran PRM tamat, namun perjuangan rakyat untuk menegakkan keadilan, demokrasi, perpaduan dan ketelusan yang diwarisi oleh PRM dulu, sekarang ini diteruskan melalui PKR.
| |
“Seperti yang diulang berkali-kali oleh Dr Wan Azizah Ismail (Presiden PKR) dan Datuk Ser Anwar Ibrahim (penasihat PKR) dalam beberapa ucapan dan taklimat mereka, perjuangan PKR adalah kesinambungan daripada perjuangan Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Helmy dan Ishak Hj Muhammad,” katanya.
Oleh itu, katanya, tujuan kongres khas itu bercampur aduk di kalangan mereka yang menganjurkannya.
“Ada yang kecewa pembubaran PRM tidak dirasmikan secara besar-besaran. Ada yang hanya hendak simpan PRM tanpa buat apa-apa. Ada yang hanya hendak melihat apa berlaku. Yang nyata, sebilangan besar sudah tidak mahu aktif lagi. Hanya sebilangan kecil yang berangan-angan melanjutkan PRM,” katanya.
Sementara itu, Hassan Karim dalam reaksinya, mempertikaikan kenyataan Dr Syed Husin bahawa hanya 60 peratus, bukan 75 peratus sokongan ahli yang diperlukan untuk membubarkan parti itu.
Akta Pertubuhan
“Saya berharap Dr Syed Husin ataupun teman-teman lain dapat membantu saya mencari di bawah seksyen mana dalam Akta Pertubuhan yang menyatakan hanya 60 peratus sudah memadai untuk membubarkan sesebuah parti politik berdaftar. Saya mungkin terlepas pandang,” katanya.
Hassan berkata, beliau tidak berniat menjadi isu pembubaran PRM begitu legalistik, tetapi berpendapat proses pembubaran parti itu perlulah mengikut peraturan dan undang-undang yang diguna pakai kerana “tentu sekali tujuan politik tidak boleh menghalalkan cara dengan sewenang-wenang”.
Katanya, walaupun usul pembubaran PRM sewaktu kongres parti itu pada 2001 mendapat sokongan hampir 70 peratus (95 menyokong dan 41 menentang) – melebihi majoriti dua pertiga – tetapi ia masih tidak cukup dari segi peraturan di bawah Seksyen 36 (b) Akta Pertubuhan, yang memerlukan sokongan tiga perempat jumlah ahli.
“Saya benar-benar berharap, Dr Syed Husin atau teman-teman yang lain yang lebih teliti dan bijaksana dalam soal peraturan atau undang-undang pertubuhan berdaftar, dapat membantu dan menunjukkan kepada saya bahawa parti politik berdaftar secara sah seperti PRM boleh dibubarkan secara sah hanya sekadar 60 peratus undi sokongan.
“Saya benar-benar berharap dapat menerima jawapan dan penjelasan tentang perkara yang dibincangkan di atas sebelum hari Ahad 17 April ini kerana pada hari tersebut Kongres Nasional Khas PRM akan diadakan di Johor Bahru.
“Saya percaya usaha untuk mengadakan kongres tersebut bukan satu usaha sia-sia. Kami masih kenal siapa musuh dan siapa kawan dalam politik. Walaupun kita mungkin pada ketika ini berbeza pendapat dalam soal percantuman dan pembubaran PRM, tetapi kita tetap kawan dan bersahabat. Tiada niat untuk menabur perpecahan dan permusuhan.
“Bagimanapun, bagi saya, Dr Syed Husin adalah pemimpin saya, sahabat dan kawan saya untuk selamanya. Hanya dalam soal percantuman dan pembubaran PRM ini sahaja saya berbeza pendapat dengan Dr Syed Husin. Perkara lain-lain yang kami bangun berdiri bersama, tetap kami akan bersama untuk kebaikan masyarakat dan rakyat tercinta,” tambahnya.
|