Idealis Mahasiswa
 
 

Kenapa Bimbang Jika PRM Terus Hidup ? - Hassan Karim PRM


Hit = [ ]

Oleh Hassan Karim
sumber - Marhaen

Bekas-bekas pemimpin PRM yang kini berada di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) jangan berasa bimbang jika PRM terus hidup selepas Kongres Nasional Khas PRM di Johor Bahru pada 17 April 2005 ini.

Rakan-rakan saudara dalam PKR yang terdiri daripada bekas-bekas ahli Parti Keadilan Nasional (PKN) tidak akan menyalahkan saudara jika PRM terus wujud. Mereka telah dapat melihat dengan mata kepala mereka sendiri betapa saudara selaku bekas-bekas pemimpin PRM telah berusaha bermati-matian untuk membubarkan PRM. Mereka amat percaya kesetian saudara dan komitmen saudara terhadap PKR.

Mereka juga telah dapat membaca tulisan-tulisan saudara menghentam dan menyerang orang-orang yang mahu mempertahankan PRM. PRM selama ini melawan musuh. Musuh suka PRM mati. Tapi saudara berhujah songsang. Siapa yang hendak menghidupkan PRM dianggap menguntungkan musuh.

Jangan saudara bekas-bekas pemimpin PRM risau jika PRM masih tak mati hingga ke hari ini. Bekas ahli Parti Keadilan dalam PKR tak kisah sangat PRM ini wujud ataupun mati. Mereka sudah percaya dengan penjelasan-penjelasan saudara semua selama ini bahawa percantuman itu perlu kerana PRM parti kecil dan tidak lagi relevan.

Mereka rakan-rakan anda dalam PKR dapat nampak sendiri betapa hinanya pandangan sesetengah anda terhadap PRM. Mereka nampak dulu ada SUARA PRM iaitu surat khabar rasmi PRM yang ada permit KDN dipohon oleh PRM. Mula-mula tulisan huruf PRM duduk sebelah tulisan huruf SUARA lalu jadilah SUARA PRM. Selepas Kongres PKR di Ipoh, tulisan huruf PRM itu entah ke mana telah dibuang ke tepi. Begitulah yang saudara sekelian buat terhadap PRM walaupun itu surat khabarnya sendiri.

SUARA PRM yang sebelum ini meneruskan tradisi memperjuangkan isu-isu rakyat jelata, tiba-tiba sudah menjadi surat khabar yang memuja-muja tokoh tertentu begitu melulu sehingga anggota PRM pun berasa malu, akhbar parti mereka dah sampai jadi macam itu. Paul Wolfowitz pun dapat tempat di dalam akhbar Suara PRM.

      

Bekas-bekas pemimpin PRM yang kini sudah berada dalam PKR dan jadi orang-orang penting, jagalah diri anda baik-baik. Tiga tahun lagi menjelang tahun 2007 akan ada pemilihan lagi dalam parti anda. Pastikan kedudukan dan jawatan anda selamat. Kami tidak dapat lagi ke Ipoh seperti Kongres yang lalu untuk membantu anda dengan satu dua undi kami. Jagalah diri anda supaya tidak ditolak ke tepi.

Tetapi dengan kegigihan anda dan track record anda untuk membubarkan PRM dan berpegang janji demi PKR hatta PRM mati, anda akan lebih diyakini kini. Anda akan terus diberi undi dan menduduki kerusi-kerusi tinggi.

Bekas-bekas pemimpin PRM yang dahulu anti-kolonial dan anti-imperialis Amerika Syarikat berwaspadalah anda dalam parti anda sekarang ini. Tengok kiri kanan anda. Sesetengah mereka di sekeliling anda orang yang pro-Amerika. Mereka selesa duduk sembang-sembang dengan perancang perang ke atas Iraq yang telah menyembeleh ratusan ribu rakyat Iraq yang tak berdosa. Tokoh neo-konservatif itu kini dah dilantik jadi Gabenor Bank Dunia. Dengar khabarnya dia dulu Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat. Dialah tokoh perancang perang ke atas Iraq. Gambarnya pun dah keluar dalam Suara PRM sejak tulisan huruf PRM dibuang ke tepi.

Bekas-bekas pemimpin PRM dalam PKR kami ucapkan anda selamat dan berjaya dalam eksperimen politik anda. Jagalah PKR baik-baik sebab anda sudah buang PRM sama sekali. Berhati-hatilah anda supaya sejarah Parti Semangat 46 tidak berulang lagi apabila kabilah Umno kembali ke rumah lama mereka. Jika berlaku hal semacam itu, kami berharap anda tidak menggigit jari dengan satu eksperimen politik yang tak menjadi.

Yang benar,
Hassan Karim
Pengerusi Panitia Kongres Nasional Khas PRM





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved