Idealis Mahasiswa
 
 

Keadilan tandatangani memorandum tolak undang-undang moral: Naib Presiden Keadilan perlu beri penjelasan


Hit = [ ]

Oleh Zulkifli Mohamed
sumber - www.malaysia-today.net 24 April 2005

PULAU PINANG – 20 April: Mohon maaf atau beri penjelasan. Demikian kenyataan daripada ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat terhadap tindakan Naib Presiden parti itu, Sivarasa Rasiah yang bertindak bersama 50 NGO dan 200 individu yang menandatangani memorandum menolak penggunaan undang-undang dalam menjaga moral individu.

Menurut kumpulan itu, kesalahan moral adalah hak individu dan kewujudan undang-undang untuk mengawalnya dikira melanggar hak asasi manusia.

Bagi umat Islam, kenyataan itu bermaksud, undang-undang syariah tidak boleh digunakan untuk mengawal akhlak orang Islam atau dengan kata lain, orang Islam bebas melakukan apa sahaja atas tiket “hak asasi manusia” walaupun tindakan itu bercanggah dengan Al-Quran dan hadis.

Tindakan Sivarasa dianggap sebagai tidak memahami sensitiviti dan kehendak majoriti ahli-ahli akar umbi.

Abdul Rahman Kadir, Pengerusi Tetap Parti Keadilan Rakyat mahukan Sivarasa memberikan penjelasan kepada ahli-ahli parti tentang tindakan beliau itu.

“Siva perlu berikan penjelasan, sama ada tindakannya mewakili parti atau mewakili NGO yang lain. Dia tidak wajar mewakili parti jika tidak mendapat mandat atau restu barisan pimpinan yang lain. Majlis Mufti malah Perdana Menteri sendiri telah mengeluarkan kenyataan undang-undang sedia ada akan dikekalkan.”

Muhamad Rozi Abdul Hamid, Setiausaha Perhubungan Pulau Pinang melahirkan kekecewaan dengan tindak-tanduk pimpinan atasan yang membelakangkan hasrat suara majoriti.

“Kita kecewa dengan tindakan pemimpin yang membelakangkan hasrat majoriti ahli. Beliau perlu memohon maaf, jika sokongan itu berbentuk peribadi, beliau perlu beri penjelasan. Jangan babitkan parti dalam masalah ini.”

Badrul Hisham Saharin, Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda, “Kita menghormati sebarang percangahan pendapat sekiranya tidak melibatkan prinsip dan dasar parti. Dalam isu ini parti perlu mengambil sikap yang jelas. Sivarasa perlu jelaskan sama ada tindakannya itu sebagai individu atau mewakili parti.”

      

Tuan Haji Manab Othman, Timbalan Ketua Bahagian Permatang Pauh, “Beliau tidak sepatutnya menandatangani memorandum itu, kerana ia melibatkan imej parti. Beliau perlu mohon maaf dan beri penjelasan kepada ahli-ahli parti.”

Johari Zakaria, Naib Ketua 1 Permatang Pauh, “Beliau tidak wajar menandatanganinya atas nama parti. Beliau perlu membetulkan keadaan yang berlaku sekarang. ”

Ramli Bulat, Naib Ketua 2 Permatang Pauh, “Siva sepatutnya perlu merujuk kepada parti sebelum menandatangani sebarang memorandum. Beliau perlu menarik balik sokongannya dan berhati-hati pada masa akan datang.”

Anuar Che Mat, Setiausaha Briged Keselamatan Permatang Pauh, “Presiden sendiri tidak membuat kenyataan menyokong tindakan NGO itu. Beliau perlu menarik balik kenyataan sokongan, kerana tindakan itu mengecewakan ahli-ahli parti. Jika beliau bertindak sebagai individu, kita tiada halangan. Namun, ahli MPT perlu mengambil tindakan tegas. Presiden perlu ambil perhatian dalam hal ini.

Memorandum itu turut ditandatangani Democratic Action Party (DAP), Democratic Action Party Youth (DAPSY), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Sister In Islam.

Antara individu yang turut menandatangani, Pengerusi Jawatankuasa Kaukus Parlimen Berkenaan Hak Asasi Manusia, Dato’ Sri Mohamed Nazri Aziz yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim; Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Zaid Ibrahim; Ahli Parlimen Kota Bharu dan termasuk Marina Mahathir.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved