Idealis Mahasiswa
 
 

Begitulah Ceritanya...‘Siti terbuka terima kritikan’


Hit = [ ]

sumber: Berita Harian Online 23/4/2005

KEAZAMANNYA melakar nama di Royal Albert Hall pernah diperkecilkan. Malah, bukan sekali dua kemampuannya dipertikai. Namun, gadis bernama Siti Nurhaliza Taruddin, 26, ini tidak pernah menyerah kalah, sebaliknya terus melangkah. Dia membuktikan persembahan solonya pada 1 April lalu di London, bukan sia-sia. Melihat keterampilannya, ramai mengakui Siti punya semangat luar biasa. Cuma resam manusia, rumah siap pahat masih berbunyi. HANISAH SELAMAT mendapatkan komen Siti.

RIAK wajah Siti tetap tenang apabila diajukan persoalan mengenai aduan peminat yang mengatakan pakej yang disediakan ke London tidak seindah disangkakan. Malah, akhbar tempatan dipersalahkan apabila dilabel terlalu memuji konsert itu yang rata-rata hanya ditontoni orang Melayu, malah ramai juga yang datang dari Malaysia dan bercuti di sana mengambil kesempatan menonton konsertnya.

“Bukan baru sekarang Siti menerima ujian begini. Jadi, Siti tidak hairan jika ada cakap-cakap belakang. Tapi bagi Siti, kita tidak tahu apakah benar dia mengikut pakej yang dikelolakan kami. Kita boleh menulis apa saja,” ulasnya ringkas.

Menyingkap semula isi e-mel tanpa nama sebenar yang dihantar kepada Berita Harian, jelas pengirim yang mengaku peminat Siti itu agak marah kerana tidak mendapat layanan diharapkan. Seperti dijelaskan penyanyi itu, dia perlu mendapatkan maklum balas peminat lain.

“Semua aduan ini perlu kami selidiki. Kita perlu mendapatkan pandangan pihak lain yang mengikuti rombongan kami. Tidak adil jika hanya mengambil pandangan satu pihak sedangkan kami belum dengar lagi maklum balas peminat lain,” katanya lagi.

Seperti biasa, Siti tidak mudah melatah apabila ditanya soalan sebegini. Sambil tersenyum, Siti menambah: “Dalam tempoh 10 tahun, Siti sudah melalui bermacam perkara. Sama ada suka atau tidak, Siti perlu menerimanya dengan hati terbuka. Contohnya mengenai kekurangan konsert di London, setiap orang ada cita rasa sendiri. Siti sendiri sudah menjangka perkara macam ini akan berlaku. Jadi, Siti sudah bersedia. Jika ada kelemahan, sudah tentu pada waktu lain, kekurangan itu akan diperbetulkan,” jelasnya.

Siti tidak marah ?

Tawa kecil Siti kedengaran apabila diusik lagi. “Siapa Siti untuk melatah tak tentu hala...”

      

Baginya ia cuma perkara kecil. Siti mengakui dia menerima semua komen dan kritikan berkenaan dengan hati terbuka. Siti tetap dalam senyuman meskipun mengulas kritikan terhadap dirinya.

“Sebenarnya kritikan ada kebaikan. Ia menjadikan Siti lebih berfikiran waras menangani apa jua keadaan,” cukup dalam makna perkataan yang dirungkai gadis ini. Ternyata pengalaman suka duka yang dilalui hampir sedekad di arena seni cukup mendewasakannya.

Apakah Siti benar-benar puas dengan hasil konsert berkenaan ?

Katanya yakin dalam nada tegas: “Berbanding persembahan lalu, Siti rasa inilah yang terbaik. Siti sudah memberi sepenuhnya untuk konsert ini, bukan untuk kepuasan Siti sendiri tetapi semua penonton. Kalau bercakap soal penggunaan bahasa Inggeris di konsert itu, bagi Siti seperti juga persembahan lain, Siti cuba memuaskan hati semua pihak. Siti rasa apa yang Siti lakukan pada malam itu adalah paling maksimum.”

Siti mahu ikut arus

Melihat semula perjalanan yang perlu dilalui gadis kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu selama ini, memang tidak dinafikan bukan calang-calang orang mampu menghadapi dugaan besar yang datang bertimpa-timpa.

Namun, demi cinta mendalam terhadap seni suara serta sokongan keluarga serta peminat setia yang teguh berdiri di belakang, nama Siti tetap mengharum hingga tahun ini dinobatkan buat kali keenam gelaran Bintang Paling Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2004.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, akuinya dia hanya mengikut arus serta keadaan sekeliling. “Siti hanya melakukan sesuatu jika keadaan mengizinkan dan bersesuaian dengan masa. Kita perlu ikut arah aliran semasa,” katanya yang cuba menterjemah apa yang tersirat di sebalik kata-kata itu. Ulasnya lagi, setiap manusia ada cita-cita dan sudah pasti dari segi kerjaya dan kehidupan, dia mendambakan peningkatan tetapi segala-galanya hanya berlaku dengan izin Tuhan.

“Kalau diikutkan, sebagai artis dan usahawan, banyak perkara mahu Siti laksanakan. Apapun, Siti akan mendahulukan sebarang projek mengikut kepentingan dan melihat keperluannya. Jika diizinkan, Siti akan laksanakannya,” katanya yang tetap ceria dan ramah melayani pertanyaan dan sesekali dia mengurai gosok rambutnya.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved