|
MELAKA: Tindakan sekumpulan kanak-kanak membuka bekas makanan yang dijumpai terdampar di pantai Kampung Balik Bukit, Tanjung Kling, di sini, rupa-rupanya telah mengundang padah.
Ini kerana, bekas tersebut yang asalnya tertutup, diikat dan digam dikatakan adalah perangkap pontianak yang dipasung oleh seorang bomoh dan dibuang ke laut sebelum dijumpai kanak-kanak tersebut.
Setelah dibebaskan, pontianak itu dikatakan telah mengamuk sehingga menggemparkan seluruh penduduk kampung berkenaan hampir setiap malam.
Salah seorang kanak-kanak tersebut, Mohd Firdaus Mazlan, 13, berkata dia terjumpa bekas itu sewaktu bermain bersama-sama rakannya di pantai.
"Saya ambil bekas itu dan terus buka. Serentak dengan itu kami hidu bau kemenyan yang cukup kuat disusuli dengan bau wangi," katanya.
Firdaus yang sama sekali tidak menyangka, perbuatan itu telah menyebabkanseluruh kampung jadi kelam kabut.
Rakannya, Zaimirul Zainal, 11, berkata kain putih itu kemudiannya diambil dan dijemur.
"Yang peliknya, bila kami jemur kain itu di tengah panas, ia terbang melayang ke arah pohon jawi di tepi pantai. la seolah-olah cari tempat redup.
"Bila kami ambil dan jemur semula di tengah panas, kain itu sekali lagi melayang ke tempat redup," katanya.
Kejadian itu, kata Zaimirul berlaku berulang-ulang kali sehingga akhirnya, dia dan rakan-rakannya membuat keputusan untuk membakar sahaja kain itu.
Bagaimanapun bimbang kalau-kalau kain itu berpenunggu setelah berlaku pelbagai kejadian pelik membuat kanak-kanak itu tidak jadi meneruskan tindakan mereka.
Sebelum mereka, Fuzee Mat Shalit, 17, merupakan orang pertama yang menemui bekas berkenaan bersama seorang rakannya, Abdul Hafiz Abdul Halim.
Ketika itu kata Fuzee, mereka sedang dalam perjalanan untuk memancing ketam dan menemui bekas tersebut di gigi air tepi pantai yang dahulunya merupakan tempat perayaan 'mandi Safar'.
"Saya mengambilnya dan nampak ada selendang di dalamnya. Tudungnya pun dibaluti gam di sekelilingnya. Ketika itu, saya teringat berkemungkinan sengaja dibuang oleh orang tertentu ke tengah laut," kata Fuzee yang mengakui tidak berani membuka bekas berkenaan ketika itu.
| |
Menurut Fuzee, dia meletakkan kembali bekas itu dan meneruskan perjalanan. Ketika berjalan menuju ke lokasi memancing, dia terdengar sorakan kumpulan kanak-kanak berhampiran tempat bekas itu ditinggalkan.
Apabila berpaling kata Fuzee, dia nampak seorang budak lelaki cuba membuka bekas itu dan dia terus menjerit supaya jangan dibuka tetapi semuanya sudah terlambat. Kemudiannya dia nampak kumpulan budak lelaki itu bermain dengan sehelai kain putih. Dia cuba melarang mereka.
Selepas kejadian itulah kata Fuzee, orang kampung mulai nampak lembaga putih yang dimaksudkan di sekitar kampung berkenaan terutamanya berhampiran pokok jejawi. Sesetengah penduduk kampung itu pernah terserempak lembaga itu sedang menangis sambil memerhati ke arah laut.
"Sebelum ini, kampung ini tidak pernah diganggu seperti ini. Tetapi selepas kejadian itu, sehingga sekarang yang telah terserempak dengan lembaga itu. Namun lembaga itu tidak menganggu. Mungkin 'dia' sedang cari selendangnya," kata Fuzee lagi.
Selepas peristiwa penemuan bekas perangkap hantu itu, Kampung Balik Bukit di sini, menjadi kecoh dengan pelbagai dakwaan penduduk terserempak dengan lembaga putih di kawasan pantai kampung berkenaan.
Kejadian itu dikatakan berlaku hampir setiap tengah malam atau awal pagi, terutama membabitkan nelayan-nelayan yang baru pulang dari laut.
Dalam pada itu, seorang anak muda penduduk kampung yang meminta namanya tidak disiarkan, mendakwa pernah terserempak dengan lembaga yang dikatakan pontianak itu.
"Ketika itu, saya berada tidak jauh dari pokok jejawi itu, sedang berbual dengan seorang rakan menggunakan telefon bimbit. Tiba-tiba saya terpandang sosok lembaga serba putih tercegat berdiri di atas batang pokok jejawi yang tumbang sam- bil menghadap ke arah laut," katanya.
Bagaimanapun ujar pemuda itu lagi, kemunculan lembaga tersebut tidak lama. "Selang beberapa minit, ia ghaib begitu saja," katanya.
|