|
Pada hemat saya, ucapan wakil UMNO Terengganu, Ahmad Sabbery Cheek dalam Perhimpunan Agung UMNO 2005 yang mendakwa tiada peningkatan besar terhadap pemilikan ekuiti bumiputera selepas 1985 sehingga 2005 merupakan satu kenyataan yang kurang bertanggungjawab dan tampak ada udang sebalik batu.
Menurut beliau, hanya 16 peratus peningkatan ekuiti Bumiputera dalam sektor ekonmoi iaitu dari 2.4 peratus pada 1970 kepada 18.5 peratus pada 1985. Bagaimanapun antara 1985 sehingga 1990 kenaikan peratusan ekuiti Bumiputera sangat kecil kurang dari satu peratus dan dari tahun 1990-1995 kenaikan hanya 2 peratus.
Hakikatnya sungguhpun kenaikan sebanyak 1-2 peratus pemilikan ekuiti Melayu, namun Sabbery nyata sekali gagal menjelaskan bahawa jumlah modal Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) juga telah meningkat dengan begitu besar sekali. Misalnya, Sabbery gagal memberi satu penilaian jelas apakah jumlah ekuiti sebanyak 18% pada 1985 sama dengan 20% ekuiti bumiputera pada 1995 atau 19 peratus pada 2004?
Berapakah jumlah syarikat pada 1985 berbanding 2005 misalnya? Berapa pula jumlah modal bumiputera dalam ekonomi Malaysia pada 2004 berbanding 1985?
Pada tanggapan awam seperti saya, pastinya jumlah 18% ekuiti bumiputera pada 1985 dengan jumlah 19% ekuiti bumiputera pada 2005 mempunyai perbezaan yang cukup besar sama ada dari segi kuanti mahu pun kekuatan kewangan.
Kita ambil contoh statistik ini: Jumlah syarikat Melayu dan Bumiputera yang berdaftar dengan Pendaftar Syarikat pada tahun 1995 adalah 69,700 (19 peratus dari jumlah syarikat yang berdaftar dengan Pendaftar Syarikat). Pada 1999 terdapat 97, 500 syarikat bumiputera yang berdaftar. Namun peratusannya tidak berubah kerana syarikat milik bukan bumiputera juga turut bertambah.
Tapi apakah ini bermakna kedudukan orang Melayu sama sahaja pada 1985 dengan sekarang? Menggunakan ukuran apa pun, nyata sekali orang Melayu telah mengalami perubahan besar sejak 1985 sehingga 2005. Baik dari kekuatan modal, ekuiti saham, pendapatan per kapita, pendidikan dan kesihatan semuanya menunjukan satu perubahan yang cukup besar.
Ahmad Shabbery juga menggesa kerajaan mengulangi model pendekatan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak semasa enam tahun pemerintahannya yang berjaya membina satu struktur super orang Melayu di peringkat awal seperti mewujudkan tanah peneroka di luar bandar seperti Felda dan sebagainya. Satu lagi kenyataan yang penuh signifikan jika kita mahu membincangkan agenda bekas pemimpin Semangat 46 ini terhadap Dr. Mahathir.
Tanpa menafikan jasa Tun Razak yang membina asas ekonomi orang Melayu, jangan pula dinafikan hakikat bahawa Dr. Mahathir membawa orang Melayu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan korporat dalam dan luar negara. Hakikatnya jumlah ekuiti Melayu dalam bidang ekonomi tidak mungkin bertambah jika orang Melayu terus tinggal di Felcra, Felda dan tanah rancangan kerajaan.
| |
Memang benar hasrat DEB untuk mencapai 30 peratus ekuiti Malayu dalam ekonomi belum tercapai. Tapi ini bukan bermakna dari tahun 1985 – 2005 orang Melayu makin berundur ke belakang atau telah beku pencapaiannya. Jika Ahmad Sabbery mengambil sedikit masa menganalisis dan menyelidik dengan hati yang jernih dan penuh keimanan, seperti retorikal ucapannya, pasti beliau akan menemui perubahan besar orang Melayu dalam bidang ekonomi dan perniagaan.
Malahan berani saya katakan bahawa penyertaan bumiputera dan orang Melayu hari ini lebih baik berbanding pada 1985 di mana pemilikan ekuiti ketika itu banyak berlegar di kalangan syarikat milik kerajaan seperti Petronas dan Permodalan Nasional Berhad (PNB). Berapa banyak konglomerat Melayu pada 1985 berbanding hari ini? Sungguhpun tiada statistik rasmi pada saya, namun pandangan sebagai rakyat biasa saya percaya bahawa jumlah ahli perniagaan Melayu pada 2005 berbanding 1985 sudah meningkat lebih dari seratus peratus.
Malangnya, Ahmad Sabbery yang terkenal dengan Semangat 46 dahulu memilih untuk membentangkan fakta yang mengelirukan berdasarkan perangkaan peratusan tanpa melihat jumlah sebenar. Mungkin niat Ahmad Sabbery hanya untuk menaikan semangat untuk menjelmakan semula DEB. Namun yang tersiratnya, latar belakang perjalanan politik Ahmad Sabbery sukar dilihat bahawa beliau tidak mempunyai motif memperlekehkan kepimpinan sebelum ini.
Saya menulis dengan harapan, dalam keghairahan kita untuk melakukan perubahan jangan sampai dinafikan jasa pemimpin sebelum ini. Jangan kerana mahu dianggap sebagai penyokong kuat Pak Lah, maka kita menjadi penyokong yang membawa rebah. Sungguhpun saya menghargai usaha beliau untuk menarik perhatian Perhimpunan Agung UMNO mengenai kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, namun secara tersirat tampak beliau cuba merendah-rendahkan segala dasar ekonomi selepas 1985. Ucapan beliau seolah-olah memberi gambaran bahawa pasca pemilihan UMNO 1987, kerajaan telah mengabaikan kedudukan orang Melayu.
Kalau kita mahu laksanakan semula DEB, laksanakanlah, mengapa perlu takut kepada kaum bukan Bumiputera? Selama ini pun mereka tidak pernah merusuh atau mengamuk kerana kita mahu mengekalkan usaha mencapai 30 peratus ekuiti bumiputera dalam ekonomi.
Apakah kerana kita begitu nostalgia dengan DEB dan ingin mengembalikannya maka kita sanggup mengkambinghitamkan seorang negarawan? Adakah Ahmad Sabbery keseorangan?
Melihat ucapan usul ekonomi oleh Pemuda UMNO di Perhimpunan Agung UMNO, nyata ada usaha tersusun untuk memburuk-burukkan kepimpinan Dr. Mahathir. Malah yang terbaru terdapat usaha untuk melenyapkan terus beliau daripada menjadi penasihat Proton dan Petronas.
Nota: Tunggu Bahagian Kedua akan menyusul sedikit masa lagi. Terus Layari KMU.net.my
|