|
GOMBAK: Melacur hukumnya haram walau dalam apa jua keadaan dan tiada istilah darurat dalam perkara itu, kata Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz.
Katanya, istilah darurat cuma membabitkan haram yang berkaitan dengan soal hidup atau mati, misalnya terpaksa makan babi ketika di satu tempat seperti padang pasir kerana tiada makanan lain dan perlu meneruskan hidup.
“Pelacuran haram dan hukumnya tidak perlu dipertikaikan. Sebagai contoh, pelajar hendak sambung belajar, tetapi bapanya tiada duit. Jadi, dia melacur untuk mendapatkan duit.
“Tiada kompromi dalam soal ini kerana haram yang dimaafkan hanya membabitkan soal hidup atau mati. Apakah kalau tidak berzina dia akan mati?” tanyanya.
Abu Hassan berkata demikian ketika menjawab soalan peserta seminar mengenai Pelacuran Dari Kacamata Islam dan Pelacuran Sebagai Satu Jenayah Terancang anjuran Unit Kajian Wanita Untuk Pembangunan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, semalam.
Panel lain ialah Asisten Superintendan (ASP) Noraini Sa’at dari Bahagian Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dan Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang UIAM, Prof Madya Dr Najibah Mohd Zin.
Abu Hassan berkata, dalam al-Quran juga ada larangan supaya menjauhi zina kerana ia perkara buruk, keji dan menjijikkan, terutama bagi yang bersuami atau beristeri.
“Sebab itu remaja yang berkemampuan digalakkan berkahwin segera bagi mengelakkan perkara dilarang,” katanya.
Ditanya mengapa ulama berdiam diri apabila isu itu ditimbulkan, Abu Hassan berkata, ulama tiada ruang dan ramai orang yang tiada kepakaran mempunyai saluran untuk menyuarakan pendapat individu.
| |
“Inilah yang berlaku hingga ada individu berpendapat azab neraka tidak wujud, sedangkan perkara itu dijelaskan dalam al-Quran,” katanya.
Mengulas cadangan memberi kondom, jarum suntikan dan methadone untuk penagih dadah dan penghidap HIV/Aids sebagai langkah mengurangkan kadar jangkitan virus HIV menjelang 2015 yang dijangka dilaksanakan Kementerian Kesihatan mulai Oktober ini, Abu Hassan berkata, isu itu menimbulkan perdebatan hangat di kalangan ulama yang diminta memberi pendapat selepas ia diputuskan.
“Dalam mesyuarat untuk membincangkan cadangan itu, ulama bersepakat tidak bersetuju kerana tindakan itu seolah-olah menggalakkan mereka terbabit dalam kegiatan itu secara meluas.
“Mungkinkah penagih boleh mengikut arahan, menggunakan jarum suntikan untuk dirinya seorang saja. Malah, jika diberi kondom, mungkin mereka yang terbabit juga tidak menggunakannya, silap-silap ia dijual,” katanya.
Sementara itu, Noraini berkata, PDRM bersikap toleransi sifar terhadap kegiatan pelacuran dan bertindak tegas terhadap individu dan kumpulan yang terbabit secara langsung dalam kegiatan itu.
Katanya, polis kini giat membanteras kegiatan pelacuran membabitkan perempuan warga asing yang dibawa masuk ke negara ini melalui pelbagai cara.
Katanya, pelbagai tindakan diambil bagi membendung perkara itu, antaranya menjalankan risikan terhadap subjek yang menjalankan kegiatan pelacuran mengikut Undang-Undang Pencegahan, iaitu Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad dan menangkap orang yang terbabit dalam penganjuran pelacuran dan mengambil tindakan mengikut Kanun Keseksaan iaitu Seksyen 372 hingga 374, Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Keselamatan Dalam Negeri (pemalsuan pasport), Akta Imigresen dan Akta Pasport dan pemilik pusat hiburan mengikut Enakmen Hiburan Negeri-Negeri.
|