SHAH ALAM: Seorang lelaki yang mengaku dirinya 'Rasul Melayu', menghadapi lima tuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam, termasuk mempersendakan ajaran Islam dengan mendakwa ibadat haji adalah perkara yang sengaja diada-adakan kerajaan Arab Saudi untuk mengaut keuntungan.
Abdul Kahar Ahmad Jalal, 55, mengaku tidak bersalah melakukan semua tuduhan itu di rumah beralamat no 44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Hulu Klang, di sini antara jam 10.30 pagi hingga 11.45 pagi. Pendakwaan dilakukan Khairuddin Abdul Samad, Mohamad Kamal Ismail dan Maimon Mohd.
Terdahulu, Khairuddin memohon kepada mahkamah jaminan RM21,000 dengan dua penjamin daripada kalangan kakitangan awam kumpulan A dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan dilakukan berat dan bertentangan akidah.
"Pengakuan sebagai Rasul jelas menunjukkan tertuduh cuba melakukan propaganda dengan menyebarkan ajaran salah sedangkan diketahui Rasulullah adalah Rasul terakhir.
"Pihak pendakwa bimbang tertuduh akan cuba menyebarkan ajarannya kepada masyarakat lain sekiranya wang jaminan tidak ditambah," katanya.
Khairuddin juga memohon wang jaminan dicagarkan sebagai bon tunai melalui akaun bank dan disimpan mahkamah.
"Jaminan tinggi untuk memastikan tertuduh tidak cuba melarikan diri atau menyebarkan ajarannya kepada orang lain. lni kerana tertuduh pernah disaman kerana tidak hadir ketika dipanggil Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur untuk perbicaraan," katanya.
Pendakwa juga memberitahu mahkamah pihaknya akan mengemukakan sekurang-kurangnya 10 saksi dalam perbicaraan.
Dalam rayuan mengurangkan jaminannya, Abdul Kahar berkata, dia tidak mampu menyediakan wang jaminan sebanyak itu kerana tidak bekerja dan segala perbelanjaan ditanggung anaknya.
"Saya hanya mampu membayar wang jaminan RM1,000 hingga RM2,000 dan memohon dua penjamin daripada kakitangan awam kumpulan A dimansuhkan kerana menyusahkan.
"Saya juga akan mendapatkan peguam sesuai bagi mencabar undang-undang syariah di mahkamah," katanya.
| |
Hakim Syarie Shaarani Ismail memerintahkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua orang penjamin daripada kakitangan awam kumpulan A dan wang jaminan diletakkan dalam sebuah bank sebagai bon tunai.
Perbicaraan ditetapkan 21 September ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan Abdul Kahar yang juga bekas pekerja Zoo Negara didakwa cuba menyebarkan dakyah melalui risalahnya ke masjid di sekitar Hulu Klang.
Malah, dia turut menghantar surat kepada ahli politik, pembesar negeri dan menteri kabinet, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengaku dirinya sebagai rasul.
Berikutan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu dan menahan lelaki terbabit di rumahnya di Kampung Kemensah, Hulu Klang, selepas mengintip lima bulan dan mengumpul bukti selama dua bulan.
Dalam operasi kira-kira jam 10.15 pagi, 23 Jun lalu, Abdul Kahar ditahan dalam 'Ops Rasul' dianggotai 20 pegawai Jais di rumahnya di Kampung Kemensah, Hulu Klang.
Operasi berkenaan turut disertai Exco Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil.
Turut ditahan dua orang kanannya, Mazli Mansor, 46, dan Mat Razali Kasan, 41, yang bertindak sebagai penyebar risalah mengenai ajaran sesat terbabit.
Senarai Tuduhan Terhadap Abdul Kahar Ahmad Jalal:
Mendakwa dan mengisytiharkan diri sebagai rasul orang Melayu pada zaman ini.
Menyebarkan doktrin yang bertentangan dengan hukum syarak, antaranya solat hanya cukup sekadar mencegah daripada membuat perkara keji dan mungkar, manakala ibadah haji pula hanya sia-sia dan merugikan.
Ingkar dan melanggar arahan mufti dengan terus mengamal dan mengajar Ajaran Kahar Ahmad di hadapan tiga lelaki, iaitu Hanif Taslin, Nurhelmi Ikhsan dan Mohammad Nabil Abu Naim, sedangkan ia sudah difatwa menyeleweng daripada Islam.
Mempersenda amalan Islam dengan menyatakan ibadah haji perkara disengajakan dan diada-adakan kerajaan Arab Saudi untuk mengaut keuntungan serta haji adalah perbuatan 'toghut' dan bidaah. Juga mendakwa: "Buat apa sembahyang tunggang-tonggek dan membebel sendirian seperti orang mabuk dan berjudi."
Menyebarkan pendapat dan Ajaran Kahar Ahmad yang menyeleweng, antaranya mengenai solat, ibadah haji dan rasul yang bertentangan dengan hukum syarak serta fatwa Selagor.
|