Idealis Mahasiswa
 
 

Pensyarah bimbang 'Mencari Cinta' pengaruhi remaja


Hit = [ ]

oleh: Norhasliza Yusof
sumber: Bacaria Sabtu 13 Ogos 2005

Kuala Lumpur: Seorang pensyarah Universiti Malaya melahirkan rasa bimbang rancangan realiti TV, Mencari Cinta siaran TV3 akan mempengaruhi muda-mudi bercitarasa mewah dalam memilih jodoh sehingga mengabaikan unsur-unsur agama dan fitrah manusia.

Pensyarah Fakulti Pendidikan UM, Hushim Salleh yang juga seorang kaunselor remaja, berkata paparan rancangan itu yang menonjolkan budaya makan di hotel untuk menilai pasangan, memberi bungan dan sebagainya, boleh dianggap budaya yang kurang sesuai dengan masyarakat tempatan dalam memilih pasangan hidup.

"Pada saya, dalam rancangan realiti seperti ini, peserta bersaing sesama sendiri dan ini boleh mendorong untuk mereka bersikap pura-pura. Mencari jodoh melalui pertandingan bukan budaya kita. Ini cara orang membuat untung dan mempengaruhi orang bermewah-mewah," katanya.

Seolah terdesak cari pasangan

Apa yang lebih dari itu, kata Hushim, rancangan tersebut seolah-olah menonjolkan bahawa kedua-dua belah pihak, lelaki dan wanita seperti terdesak dalam mencari pasangan dan ini bukanlah "sesuatu yang manis untuk dipertontonkan."

"Saya bimbang jika hal yang seumpama ini berkembang biak dan mungkin lama-kelamaan mengorbankan adat tradisi bangsa kita dalam memilih jodoh yang cukup suci dan murni," katanya lagi.

Tambah Hushim, rancangan itu yang pada asasnya ditiru daripada program TV di Barat sekalipun cuba hendak disesuaikan dengan budaya masyarakat negara ini, tidak akan menjadi kerana asasnya sahaja didapati sudah tidak sesuai dengan cara hidup masyarakat tempatan.

"Bagaimana kita nak sesuaikan jika asasnya iaitu seorang wanita memilih seorang daripada sembilan lelaki yang menawarkan diri sebagai bakal suaminya dalam 13 episod rancangan itu. Saya percaya ini bukan kaedah yang sesuai kerana urusan memilih pasangan hidup bukan urusan dunia semata-mata mengikut hukum Islam," katanya.

Kata Hushim, orang Melayu sejak dulu dalam sesuatu urusan perkahwinan akan memulainya dengan istiadat merisik, kemudian setelah sama-sama bersetuju, barulah dilangsungkan istiadat bertunang dan setelah itu barulah diijab kabul.

      

"Dalam hal itu, semuanya seorang sama seorang, tidak ada seorang lawan berbilang-bilang. Bila dibuat lain dari adat budaya kita, memang tidak nampak apa 'manis'nya acara ini," katanya lagi.

Hushim kemudian menyuarakan pendapatnya bahawa cinta tidak perlu dikejar sebaliknya 'mencari cinta' boleh dilakukan dengan cara yang lebih manis dan bersopan serta banyak berdoa minta dikurniakan jodoh yang baik, beragama dan bertanggung jawab

"Kita tidak boleh terburu-buru dalam hal ini. Tambahan pula dengan orang luar memerhati di kaca TV," katanya lagi.

Ciri-ciri mewah yang ditampilkan, kata Hushim, bahkan boleh mendorong orang ramai untuk bertanggapan bahawa berkahwin adalah antara urusan hidup yang bersifat 'glamour'.

"Demikian juga kita melihat yang agak ditonjolkan selain glamour ialah rupa dan latar belakang peserta. Bagaimana pula dengan orang yang tidak ada semua itu ? Adakah perkahwinan hak orang-orang yang kacak lawa dan berpendapatan lumayan saja ? Bagaimana dengan yang tidak mampu nak makan di hotel atau beli bunga dianggap membazir kerana mereka tidak ada wang lebih, adakah mereka tidak ada peluang untuk bercinta ?

"Bagaimana kalau yang teman wanitanya, kerana terpengaruh dengan 'Mencari Cinta' memaksa teman lelakinya belikan dia bunga atau berbelanja mewah sedangkan si lelaki tidak mampu. Bagi saya, ini semua budaya yang kurang sihat untuk disuap kepada masyarakat kita yang sudah ada caranya yang tersendiri dalam 'mencari cinta'," kata Hushim.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegur stesen-stesen televisyen tempatan supaya tidak terlalu didorong oleh pertimbangan komersial dan pasaran semata-mata sehingga mengabaikan soal etika dan moral rakyat.

Kebimbangan Najib itu mempunyai asas memandangkan hampir kebanyakan idea dan konsep program hiburan realiti di negara ini dicedok dari luar negara.

Kata Hushim, tanyalah kepada ibu bapa yang mempunyai anak antara 13 hingga 17 tahun kebanyakan mereka kini gelisah kerana anak-anak mereka tidak lagi menghiraukan pelajaran sebaliknya lebih berminat kepada realiti tv.

"Kebanyakan ibu bapa datang mengadu kepada saya memberi tahu pelajaran anak merosot kerana anaknya tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran disebabkan realiti tv.

"Sekali gus, mengurangkan jati diri jika rancangan itu hanya berunsur hiburan sahaja. Perlunya seimbang dari sudut kerohanian, sosial dan agama bagi melahirkan program yang bermutu dan berkualiti," katanya lagi.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved