Idealis Mahasiswa
 
 

Krisis Pemikiran Dalam Pas


Hit = [ ]

oleh: Kunta Kinte Malaysia
sumber: www.selangordaily.com

Isu kemasukan bukan Islam ke dalam Pas sekali lagi menjadi wacana politik dalaman parti tersebut. Penerusan polemik ini sebenarnya hanya menyerlahkan kegagalan para pemimpin Pas mencari jawapan dan penyelesaian kepada permasalahan-permasalahan politik dalam negara yang berbilang kaum.

Lalu setiap kali menghadapi krisis sokongan Pas akan mula mencari jalan untuk menarik sokongan bukan Islam. Justeru inilah yang terjadi dalam Konvensyen Pas Wilayah Persekutuan yang baru berlalu. Ketika pemerhati politik dan rakyat yang ingin melihat proses demokrasi sihat berharap Pas dapat melakukan post mortem yang jelas, parti tersebut sekali lagi kehilangan punca.

Di sebalik mencari punca kekalahan teruk Pas dalam pilihan raya 2004, Pas Wilayah Persekutuan meluluskan usul mendesak parti tersebut mengubah perlembagaan bagi membolehkan bukan Islam menyertai Pas. Satu usul yang entah ke berapa kali dibincangkan sejak se awal 1962 lagi.

Sebenarnya ini bukan masalah Pas. Pas tidak seharusnya membuang masa mencari mekanisme untuk membolehkan bukan Islam menyertai parti tersebut. Ini kerana jika wujud mekanisme ini pun suatu ketika nanti adalah sukar untuk melihat bukan Islam menyertai Pas kecuali ditawarkan bayaran atau sesuatu kepentingan yang menguntungkan mereka.

Ini bukan bermakna penulis berpendapat bukan Islam pentingkan material semata. Namun untuk seorang beragama lain menyertai parti yang bukan agamanya adalah sesuatu yang hampir mustahil. Yang boleh mengubah faktor tersebut hanyalah ada sesuatu kepentingan tertentu kepada individu tersebut.

      

Jadi bayangkan, yang akan menyertai Pas mungkin sekitar tidak sampai seratus orang. Apa guna Pas berhempas pulas membuang masa membentuk mekanisme bagi membolehkan bukan Islam menyertai parti tersebut.

Pas melupakan segala kegagalan mereka meyakini pengundi untuk menjadi parti alternatif kepada UMNO. Pas tiada kekuatan kepimpinan untuk ditampilkan menggantikan UMNO. Pas juga gagal membawa satu manifesto yang boleh meyakinkan majoriti rakyat Malaysia.

Masalah pas sebenarnya bukan sama ada bukan Islam boleh menjadi ahli parti mereka atau bukan. Masalah Pas yang besar ialah bagaimana untuk meyakinkan rakyat mengundi mereka.

Daripada membuang masa mengutuk dan mencerca UMNO, lebih baik Pas mencari jalan memajukan Kelantan, seterusnya memberi impak yang kuat kepada kebolehan parti tersebut.

Selagi Pas kekal dengan parti ceramah, retorik dan pemikiran kolot, selagi itulah mereka akan terus pembangkang yang sekejap kuat, sekejap hilang taring.

Inilah tipikal pemikiran pemimpin Pas. Mereka melihat perkara kecil sebagai besar dan perkara besar sebagai kecil. Akhirnya mereka hanya menjadi sebuah parti yang berharap ombak merubah pantai.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved