Idealis Mahasiswa
 
 

Pemuda PAS 'terima' Mawi


Hit = [ ]

sumber: Berita Harian 19 Ogos 2005

KUALA LUMPUR: Pemuda Pas dapat menerima kehadiran artis baru Asmawi Ani atau Mawi sebagai idola dunia hiburan negara masa kini berikutan imej pemuda itu yang mengetengahkan unsur Islam dalam kelakuan dan kehidupan sehariannya.

Naib Ketua Pecmuda Pas Pusat, Mazlan Aliman, berkata seharusnya lebih ramai artis seperti Mawi ditampilkan kepada peminat hiburan kerana mereka secara tidak langsung dapat mengubah akhlak remaja kepada lebih baik.

"Imej yang dibawa Mawi setakat ini seperti mahukan wanita bertudung dan berhenti berucap ketika masuk waktu solat, boleh kita (Pas) terima.

"Dia mengajak peminat bersolat dan dia sendiri baca doa. Apa yang dibuat Mawi secara tidak langsung menyebabkan sudah ada remaja kita yang memakai tudung dan seharusnya penghibur seperti ini lebih banyak dilahirkan," katanya pada sidang media, di sini, semalam.

      

Beliau berkata, Pemuda Pas menerima Mawi kerana selain imej positif yang ditunjukkan, lagu yang dibawanya juga berunsur ketuhanan.

Bagaimanapun, pihaknya khuatir Mawi tidak dapat mengekalkan peribadi berkenaan dan turut hanyut dalam cabaran dunia hiburan.

"Kita harap ibu bapa Mawi dapat memberi nasihat kepadanya kerana cabaran dunia glamor terlalu besar dan sebagai manusia biasa, tanpa bimbingan dan keluarga paling hampir bersama, saya bimbang kemungkinan dia hanyut," katanya.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved