|
Kuala Lumpur: Cakera padat video (VCD) kumpulan ajaran sesat Ayah Pin yang dijual secara berleluasa dan mendapat sambutan hangat boleh merosakkan akidah umat Islam.
VCD itu memaparkan kegiatan ketuanya, Ariffin Mohamad, 65, atau Ayah Pin bersama pengikut menyelitkan beberapa lagu memujanya berirama balada, pop, slow rock selain elemen nasyid.
Lagu itu dipercayai dinyanyikan artis tempatan yang menjadi pengikutnya bagi menarik perbatian orang ramai, terutama golongan muda menyertai mereka.
Antara lirik sebuah daripada lagu itu berbunyi 'bertapak kukuh di Nusantara, rahsia ilmunya terpelihara untuk manusia berbilangan bangsa, tidak memilih pangkat dan warna'.
Lirik lagu lain pula 'dialah perutusan dicari-cari, pemimpin unggul berilmu hakiki, terlantiklah sudah pemimpin terpuji, menjadi tumpuan sekelian insani'.
Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata umat Islam tidak perlu membeli dan menonton VCD itu bukan saja kerana berunsur syirik tetapi tidak mendatangkan manfaat.
Katanya, VCD itu turut memuatkan lagu memuja Ayah Pin yang kononnya memiliki kuasa sakti.
"Perbuatan itu salah kerana pemujaan manusia hukumnya syirik. Malah, mereka yang menganggap Ayah Pin tuhan dikategorikan syirik besar kerana memuja manusia melebihi batasan.
"Hukumnya berdosa besar dan boleh mengakibatkan seseorang itu murtad jika tidak segera insaf dan bertaubat," katanya.
Menurutnya, umat Islam yang lemah imannya sudah tentu mudah terpengaruh dengan ajaran Ayah Pin selepas mendengar lagu itu.
| |
"Mereka yang mendengar lagu itu pun boleh syirik selepas terpengaruh dengan maksudnya disebabkan menggunakan lirik serta irama mengasyikkan.
"Oleh itu, orang ramai dinasihatkan usah membeli VCD Ayah Pin. Mereka yang menjualnya juga boleh jadi syirik, yang menyimpannya juga sama kerana memiliki barangan syirik," katanya.
Harussani berkata, perbuatan menjual VCD itu mungkin dibuat pihak tertentu berniat memesongkan kepercayaan umat Islam.
"Tanpa disedari VCD itu kononnya dijual untuk tatapan, sebenarnya alat propaganda menyebarkan ajaran Ayah Pin, bertujuan menarik pengikut baru," katanya.
Justeru, beliau mahu pihak berkuasa perlu bertindak segera menyekat penjualan VCD itu sebelum gejala ajaran sesat Ayah Pin bertambah buruk.
Sementara itu, pensyarah psikologi daripada Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Prof Dr Suradi Salim, berkata VCD Ayah Pin menggunakan muzik bagi mempengaruhi pemikiran manusia dan kesannya mendorong mereka melakukan sesuatu perbuatan selepas emosinya dikuasai lagu.
Menurutnya, perkataan dan irama dalam lagu, terutama yang berentak sentimental serta menusuk hati berupaya menarik seseorang mendengarnya.
Katanya, lagu berunsur cinta dan kasih sayang mudah memikat pendengar kerana mempunyai nilai kenangan atau peristiwa menyentuh hati dan perasaan.
"Sesuatu lagu mudah masuk dalam ingatan jika ia menyebabkan kita rasa hiba, tersentuh emosi dan teringat kisah lalu menyedihkan atau menyeronokkan.
"Contohnya lagu patriotik yang berentak laju menyebabkan darah seseorang gemuruh dan naik semangatnya. Begitu juga jika lagu itu negatif," katanya.
|