Idealis Mahasiswa
 
 

ForumNet II: Gerakan mahasiswa: Cabaran & Harapan (Siri 5)


Hit = [ ]

sumber - UmmahOnline Team 04:30pm 08 Jun 2005

Berasaskan dari semangat jamak perspektif, ForumNet ini dicetuskan untuk menghimpunkan ragam cerapan dalam melihat sesuatu perkara bagi dinilai sendiri oleh para pembaca. ForumNet kedua yang bertema Gerakan Mahasiswa: Cabaran dan Harapan ini telah menghadirkan banyak pertanyaan menarik dari para pembaca, dan kami akan menyiarkannya secara bersiri.

Selain daripada itu, bagi memeriahkan lagi usaha ini, para pembaca sangat-sangatlah digalakkan menulis artikel atau surat kepada pihak Ummahonline.com sekiranya mereka tidak bersetuju atau tidak berpuas hati dengan idea-idea yang disuarakan oleh para panelis di sini dengan mengemukakan hujah-hujah yang ilmiah, rasional dan kritis berdasarkan teori-teori agama dan sains sosial Barat.

Akhir, Ummahonline.com ingin merakamkan setinggi-tinggi perhargaan buat para panelis yang sedia berkorban masa dan idea, serta tidak dilupakan kepada mereka yang mengirimkan pertanyaan dan para pembaca Ummahonline.com yang setia menanti jawapan panelis. Moga-moga program ini dapat diteruskan dengan lebih sempurna lagi pada masa akan datang dalam mengungkapkan tema-tema yang berbeza dan pastinya menarik!

Para panelis:

• Noor Amin Ahmad
Naib Yang Dipertua MPPUPM (menang atas tiket Aspirasi) tetapi berbicara dalam ForumNet II ini atas nama peribadi.

• Nik Nazmi Nik Ahmad
Penuntut King's College, London. Pernah terlibat di National Union of Students UK, dan bekas editor & pengasas SuaraAnum.com

• Azwiralbukhairi Ab Aziz
Kini sebagai Setiausaha Agung PKPIM. Tulisannya banyak mengupas isu-isu keislaman, kemahasiswaan dan kesejagatan.

• Helman Sanuddin
Mantan Setiausaha Agung MPPUiTM 1999/2000. Salah seorang daripada mangsa ISA7.

• Ali Bukhari Amir
Aktivis gerakan mahasiswa USM. Sebelum ini pernah menjadi editor majalah Kampus.


SOALAN KESEMBILAN: Mengapakah gerakan mahasiswa seperti BBMN dan MPMI (dulu GAMIS) tidak mengkritik kepimpinan gerakan pembangkang? Apakah benar mereka di dalangi oleh pembangkang? Hal yang sama turut berlaku kepada Kelab Aspirasi yang kelihatan menjadi ‘Tukang Angguk’ kerajaan/Umno? - Ahmad Mikhail, Skudai


AMIN: Apakah kritik itu boleh jadi satu kayu ukur mutlak? Apakah dengan kritik itu maka saya dapat menyucikan diri sebagai tidak pro kepada mana-mana parti?

Saya rasa kritik perlu objektif dan rasional. ‘Looking for faults’ semata bukan satu pilihan yang baik. Paling baik ialah kita memberi alternatif penyelesaian.

Saya perlu sebut di sini bahawa kritik parti dan kritik kerajaan tidak sama! Parti itu paling berhak mengkritik ialah ahli-ahlinya. Kerajaan adalah milik semua. Tapi parti juga boleh membuka ruang untuk orang awam mengkritik mereka agar dapat lebih berperanan.

Orang mungkin menganggap gila bila sebuah kerajaan dan parti pemerintah beri nafas kepada pembangkang tetapi kita perlu menghayati tujuan demokrasi dengan sebaiknya. Lainlah kita percaya apa yang Saddam Hussein buat di Iraq itu betul.Jangan pelik kerana saya ada seorang rakan yang cukup kagum dengan Saddam dengan alasan berani lawan Amerika. Soal dia menentang Amerika kerana zalim atau kerana semangat perkauman? Jika zalim, apakah Saddam tidak zalim?

Ada cara kritik untuk belajar dan kritik untuk menghentam. Pokoknya kita guna pada waktunya. Jika zalim kita mesti berani katakan zalim atau kita tidak bersama Rasulullah s.a.w. lagi...


NIK NAZMI: [Tiada komen]


AZWIRAL BUKHARI: Boleh dijawab oleh rakan-rakan dari BBMN atau MPMI atau mana-mana kelab aspirasi.


HELMAN: Kenyataan ini tidak benar sama sekali. BBMN dan MPMI berdiri atas nama mahasiswa. Cuma cara dan corak gerakan mereka dilihat mirip kepada parti politik tertentu. Ini tidak dapat dielakkan kerana pemimpin Mahasiswa juga punyai idola tersendiri, sama ada mereka mencontohi pemimpin Kerajaan atau Pembangkang terpulang pada penerimaan masing – masing.

Kalau disudut hiburan masing – masing punyai citarasa muzik yang berbeza, begitu jugalah dengan pentas politik. BBMN dan MPMI yang kononnya dilihat tidak mengkritik kepimpinan gerakkan pembangkang sebenar adalah satu tuduhan yang sempit. Teguran yang dilahirkan oleh BBMN dan MPMI sebenarnya tidak menempelak kerajaan UMNO semata, ianya harus dilihat dari pelbagai perspektif yang luas yang mana Parti PAS juga adalah kerajaan di kelantan dan menjadi sasaran teguran BBMN dan MPMI..

BBMN dan MPMI juga pernah menegur pimpinan pembangkang dalam isu mencerca dan menghina peribadi pimpinan UMNO dalam ceramah mereka, saranan ini disambut baik oleh pimpinan pembangkang. Pimpinan BBMN dan MPMI suatu ketika dahulu juga pernah duduk bersemuka dengan pimpinan kerajaan termasuk Perdana Menteri dan Tun. Dr. Mahathir bagi menyatakan idea mereka untuk kebaikkan Negara termasuklah dalam urusan perlaksanaan Pilihanraya Umum yang didesak supaya lebih telus.

Jadi tidak timbul soal bahawa pimpinan BBMN dan MPMI hanya memihak kepada kumpulan pembangkang sahaja. Keadaan ini berbeza dengan Kelab Aspirasi yang sememangnya ditubuhkan untuk menyokong dan melaksanakan dasar – dasar kerajaan semata. Walaubagaimana pun mereka tidak bersalah selagi apa yang dibawa itu baik untuk Mahasiswa.


ALI BUKHAIRI: Wallahu A’lam. Saya tidaklah menganggotai kedua-dua aliran pertubuhan MPMI, BBMN dan Aspirasi. Saya fikir, biarlah mereka sendiri yang menjawabnya. Saya tidaklah boleh mewakili mereka selaku orang luar. Lagi pula, saya sendiri tidak mengetahui apa yang berlaku di dalam persatuan-persatuan di atas.

Kalau ditanya adakah benar mereka itu di dalangi oleh parti politik luar, maka kita harus menyelidiki pengkalan data parti politik tersebut. Mungkin ada di kalangan mereka yang mendaftar diri sebagai ahli parti politik berkenaan. Demikianlah, apa-apa dakwaan memerlukan pembuktian juga. Tapi, jika kita mahu serkap jarang seperti biasa, boleh juga kita lihat cara ucapan, percakapan, pemikiran dan tindakan mereka itu.

Tapi, sekali lagi, apa salahnya kalau mereka didalangi pun? Apa salahnya jikalau tindakan, ucapan serta pemikiran mereka kelihatan sama dengan pemimpin di luar. Paling penting, siapakah pula yang dengan tiba-tiba menganggap adalah salah untuk menyokong dan mengkritik polisi parti politik. Auku? Kenapa begitu? Tiadalah yang mempersoalkan. Akhirnya, “Dah Auku kata begitu, apa nak buat? Hormatlah! Daulatlah perundangan!”.

Secara logik dan berterus-terang. Majoriti mahasiswa sudah menyedari bahawa di dalam kampus setidak-tidaknya sudah ada berpuak-puak dan kebanyakan mereka ini akan membuat gabungan menjelang pilihan raya menjadikan dua pakatan; pro-pembangkang dan pro-kerajaan. Cuma, di kampus masing-masing berbeza istilahnya.

Secara ringkasnya, sikap ‘malu alah’ dan ‘segan’ sehingga tidak mampu menegur pimpinan ini boleh hadir dalam mana-mana pertubuhan pun. Di Malaysia, bukan menjadi satu budaya untuk memprotes pemimpin sendiri terutamanya dalam parti politik. Seorang ahli parti misalnya berasa ‘segan’ jika tidak ikut mengundi usul yang dibangkitkan ketua parti, walaupun usul itu bertentangan dengan jalan fikirannya sendiri.

Khuatir dengan sikap ahli-ahli parti lain yang mungkin menuduhnya sebagai tidak setia kepada parti, maka dia pun terpaksa mengundi. Jarang-jarang berlaku hal luar biasa ini, apatah lagi dalam Parlimen.Untuk mendapatkan suara majoriti 2/3 di dalam Parlimen, maka mereka terpaksa mengundi, jika mahu ketua parti mahu terus menamakan mereka sebagai calon Parlimen atau Adun dalam pilihan raya akan datang.

Cuma baru-baru ini ada sedikit ribut di Parlimen. Seorang timbalan menteri telah menyatakan pandangannya sendiri yang kebetulan bercanggah dengan pendirian kerajaan dan seperti biasa, beliau digantung selama tiga bulan. Maka, jika hal demikian pun boleh berlaku di peringkat atasan dan akibatnya teruk, maka bagaimana pula pelajar mengkritik dasar parti yang ingin dianutinya. Sudah tentu kedua-duanya, pro-pembangkang juga pro-kerajaan akan berasa ada risiko yang menanti di depan mereka.

Sebelum itu, saya tertarik menghuraikan istilah ‘didalangi’. Soalan seperti apakah mereka; MPMI, BBMN, Aspirasi didalangi oleh parti luar, Umno, Pas dan lain-lain mesti dibahaskan secara terperinci.Ini kerana, ada yang memasuki pertubuhan ini kerana faham dan ada pula ikut-ikutan. Saya fikir, adalah lebih tepat kalau dikatakan bahawa seseorang yang ‘didalangi’ oleh seseorang itu adalah pekerja, ikut-ikutan (taqlid), serta diupah.

Ketika saya disiasat oleh Jawatankuasa Siasatan, Hep, antara soalan-soalan yang diajukan lebih kurang begini, “Adakah anda menulis ‘Demokrasi Universiti Sudah Mati’ dengan penuh sedar serta menanggung sendiri akibatnya?”. Selanjutnya, “Adakah anda menulis kerana disuruh orang lain?”. Lalu, saya menjawab lebih kurang begini,

“Ya, saya menulis dengan sedar dan saya bertanggungjawab, saya bukan diupah dan dipaksa oleh orang lain untuk menulisnya”. Apa yang ingin disampaikan di sini ialah sikap dan pandangan pihak atasan ini kadangkala menimbulkan kekeliruan pula di pihak kita. Dan atas kekeliruan itulah kita terikut-ikut dengan pandangan mereka. Mereka kata, kita didalangi dalam setiap tindakan, padahal, dalam kes saya, ia adalah naluri sendiri.

Semuanya tertakluk kepada diri sendiri. Orang yang bertanggungjawab ialah orang yang melihat kebatilan depan mata dan cuba mencegahnya sedaya upaya, tidak kira dalam partinya sendiri atau parti yang tidak didokonginya. Tetapi, boleh jadi juga ada yang cuba mengkritik secara tersirat atau tertutup apabila isu itu berhubung isu dalaman. Kemudian, terbuka pula sehingga ke media apabila berdepan dengan parti yang lainnya.

Oleh itu, tanggapan orang luar menjadi berbeza. Mungkin, kerana hal inilah yang kekadang, mahasiswa pro-pembangkang kelihatan tidak mengkritik parti mereka dan juga mahasiswa pro-kerajaan kelihatan tak pernah mengkritik dasar-dasar kerajaan yang tidak betul. Ada juga mengkritik dengan tindakan keluar parti sebagai tanda protes. Jadi, tidak sama cara mengkritik sesetengah orang. Memang mudah untuk melemparkan pandangan, tetapi harus juga diperhatikan isu ini dengan lebih mendalam.

Wallahu ‘Alam. Selebihnya saya tidak saya tahu. Saya orang luar. Hal-hal ini pun, saya tahu sedikit-sedikit daripada kedua-dua orang dalam parti; sama ada mahasiswa pro-pembangkang atau pro-kerajaan.


SOALAN KESEPULUH: Apa reaksi anda mengenai budaya label-melebel di kalangan gerakan mahasiswa? Umpamanya, BBMN (PAS), Dema (DAP), Karisma (JIM), PKPIM (ABIM), Aspirasi (Umno) dll. Sejauh manakah kesan budaya ini terhadap masa depan gerakan mahasiswa itu sendiri? - Ahmad Mikhail, Skudai


AMIN: Jika tanya pada saya budaya melabel ini, saya katakan ia bertujuan politik semata-mata. Adakah pendokong UMNO benar-benar mahu kampus bebas? Tidak juga. Adakah pendokong PAS benar-benar mahu kampus bebas? Tidak juga. UMNO melabel ‘budak-budak PAS’ kerana ‘budak-budak PAS’ ini lebih ke depan dalam pengorganisasian, semangat dan kemampuan berhujah. PAS melabel ‘budak-budak UMNO’ kerana ‘budak-budak UMNO’ guna kuasa untuk bergerak. Sama saja keduanya pada saya.

Tapi saya percaya memang ada kelompok mahasiswa yang berani memilih aliran bebas dan meraikan kepelbagaian pandangan sama ada dari parti politik atau bukan (saya mungkin contohnya...haha).

Kesan memang ada. Pemimpin mahasiswa mesti berani mengambil sikap yang jelas berdepan perkara ini. Kalau jadi MPP mungkin susah sikit sebab surat dan apa juga kenyataan kena melalui penasihat. Dia tak setuju dia tak tandatangan. Sebenarnya suara MPP di kampus secara tak langsung suara penasihat MPPsebenarnya.

Seperti yang saya cuba nyatakan dalam jawapan-jawapan sebelum ini. Asas kita menggerakkan sistem sangat tidak jelas. Ia sama tidak jelas dengan ‘membangun mengikut acuan sendiri’...acuan apa, yang mana pun saya tidak pasti.

      

NIK NAZMI: [Tiada komen]


AZWIRAL BUKHAIRI: Budaya label melabel ini sangat tidak sihat. Begitu juga budaya meruntuhkan antara satu sama lain perlu dijauh. Dalam gerakan dakwah pelajar sebagai contoh, kita tidak boleh melihat organisasi lain sebagai pesaing dan musuh. Sewajarnya dari kacamata pemimpin pelajar terutamanya perlu melihat kumpulan lain sebagai peluang untuk belajar antara satu sama lain. Komunikasi antara organisasi perlu berlaku untuk mengelakkan prejudis dan sikap sangsi. Walaupun setiap orang atau kumpulan memiliki pendirian yang berbeza dalam banyak hal, tetapi hubungan kemanusiaan akan melangkaui batas agama, bangsa dan apatah lagi sikap kepada sesuatu isu. Apatah lagi hubungan sesama organisasi perlu mengatasi faham politik atau ideology kerana kita berkongsi sumber dan Negara yang sama. Sifat hormat menghormati amat penting. Jika tidak bersetuju, perlulah mengambil tindakan berdiam diri dan tidak perlu melabel dan menghentam sesama sendiri dan ianya sangat merugikan kita. Sebagai orang muda banyak ruang dan masa hadapan dan akan menemukan protagonis ini dalam “acara” yang akan tiba kelak.

Alangkah rugi kita membesar dan terbina dengan perasaan benci dan dendam kerana tidak isu yang kukuh untuk memberi justifikasi melahirkan rasa benci dan label terhadap orang lain. Melainkan jika isu kezaliman dan diluar batas kemanusiaan. Dan ada ketikanya isu melabel dan membunuh kredibiliti organisasi pelajar bukanlah dilakukan anatara organisasi tetapi dimainkan oleh pihak tertentu yang tidak mahu melihat adan inisiatif bersama dan kesepakatan dan isu yang perlu disepakati. Saya fikir mungkin Sdr. Mikhail setuju dengan saya tentang hal ini.

Walaubagaimanapun, didalam isu pelabelan sesuatu kumpulan memiliki hubungan dengan organisasi lain, sebagai persatuan seperti PKPIM yang saya sertai, kami tidak perlu apolegetik dan tidak menjadi masalah serta tidak ada yang perlu disorokkan mengenai hubungan PKPIM dengan ABIM. Kami tidak perlu menipu atau menyembunyikan hubungan PKPIM dan ABIM dan sememangnya semuanya telah maklum. Adalah tidak adil jika saya menidakkan hubungan PKPIM dan ABIM yang memang telah berlangsung sejak sekian lama. PKPIM telah menubuhkan ABIM pada mesyuarat agungnya yang ke 10 pada tahun 1971 berserta dengan resolusi Konvensyen Universiti Islam.

Didalam urusan pentadbiran ataupun mesyuarat sekalipun PKPIM bukan entiti atau unit yang diletakkan sebagai salah satu biro didalam ABIM. PKPIM adalah satu pertubuhan lain yang memiliki perlembagaan sendiri dan diurus tadbir atas inisiatif wang sendiri. Berlainan dengan Parti PAS dengan Pemuda PAS atau UMNO dengan Pemuda UMNO. Tetapi hubungan adik beradik dan bersedia untuk boleh tidak bersetuju dengan ABIM dalam banyak hal boleh berlaku. Namun untuk menafikan hubungan langsung antara PKPIM dan ABIM adalah tidak perlu.

Namun begitu adalah menjadi hak kepada mana-mana ahli PKPIM untuk menyertai mana-mana organisasi untuk menyumbang dan tidak semestinya ABIM. Sebagaimana contoh antara senior awal PKPIM tahun 60an seperti Dr. Sulaiman Nordin (UKM), Datuk Ismail Ibrahim, Dato Seri (Dr) Harussani Zakaria, Dato Hamid Othman, Wan Ismail Wan Ibrahim (bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan zaman Dato’ Asri Muda)dan zaman pertengahan seperti Tuan Ramli Ibrahim, Dato’ Dr. Siddiq Fadhil, Datuk Fuad Hassan, Datuk Paduka Ibrahim Ali, Datuk Kamaruddin Md. Nor, Prof. Dr. Aziz Bari, Sdr. Khalid Jaafar, Nizal Mohammad, Prof. Madya Dr. Redzuan Othman, Mustafa Kamil Ayub dan ramai lagi nama yang mengambarkan kepelbagaian dan pembawaan yang dibawa selepas bersama dengan PKPIM. Bagi saya persatuan seperti PKPIM tidak lebih sebagai tempat pendedahan dan latihan sebelum terjun di dalam arena yang pelbagai.

Pelabelan seringkali berlaku apabila berlaku pertembungan seperti pilihanraya kampus. Bagi saya, kumpulan pelajar perlu mengurangkan elemen pelabelan ini. Pada pengamatan saya yang yang sebegini sudah berkurang. Namun begitu, kita perlu melihat semua kumpulan baik yang mendukungi parti pembangkang atau pemerintah adalah rakan dan tidak perlu berlaku pelabelan yang tidak menguntungkan. Ianya akan menimbulkan perpecahan yang tidak perlu (unnecessary conflict) yang merugikan kita. Peluang mewakili dan memimpin mana-mana kumpulan sewajarnya digunakan untuk menimba pengalaman memimpin, mengurus dan membuat keputusan yang pada hemat saya sangat asas dalam kamus gerakan mahasiswa.


HELMAN: Inilah masalah gerakan mahasiswa sekarang. Mahasiswa telah berpecah mengikut juzuk tertentu dan gagal mewujudkan kebersamaan dalam memperjuangkan isu mahasiswa dan masyarakat. Kumpulan Aspirasi dilihat lebih cenderung kepada menyokong dasar – dasar kerajaan BN walaupun ianya tidak menepati citarasa mahasiswa secara keseluruhannya.

Kita tidak pernah mendengar kumpulan aspirasi ini berjuang untuk memansuhkan AUKU dan Akta 174 yang hakikatnya turut menyekat kebebasan mereka juga. Mereka juga dilihat lebih pasif terhadap isu masyarakat tetapi lebih gemar memainkan isu kecil yang melingkari warga kampus seperti isu bas, isu bilik kuliah, isu kantin, kolej dan banyak lagi. Tapi itu adalah satu usaha yang baik dan harus diteruskan.

BBMN, DEMA, Karisma, PKPIM pula dilihat lebih terkehadapan dalam menguasai isu masyarakat. Pertubuhan – pertubuhan mahasiswa ini lebih bersifat nasional dan telah diwujudkan melalui gabungan beberapa persatuan kecil dari beberapa kampus diseluruh Negara. Mengapa begitu? Sebenarnya kebanyakan pertubuhan ini meletakkan tugas menjaga kebajikan kampus melalui persatuan kecil yang bernaung dibawah mereka dan suara yang lebih kuat diperingkat nasional digerakan melalui kesatuan yang lebih besar.

Sikap label melabel ini merupakan penyumbang kepada perpecahan ini dan menyebabkan budaya politik dari luar dibawa masuk secara tidak sihat. Keadaan menjadi lebih teruk bila mana pihak Universiti turut berperanan mempengaruhi aktiviti politik kampus ini. Universiti yang gagal menunjukan sikap toleransi dan neutralisme seperti UiTM, UUM, UKM, UNIPUTRA, UM, UTM dan sebagainya telah menyebabkan mahasiswa berpecah dengan teruk.

Pihak universiti dilihat sebagai entiti yang pro-BN, maka secara tidak langsung mereka lebih menyokong kumpulan Aspirasi dan menganaktirikan persatuan lain yang tidak sehaluan dengan mereka.

Melihat kepada keadaan yang sebegini, pastilah masa depan gerakan mahasiswa yang sebelum ini lantang, telus dan matang akan malap. Pihak universiti dan parti – parti politik seharusnya tidak mengongkong para mahasiswa dengan perundangan dan idelogi mereka. Gerakkan mahasiswa tulen, sebenarnya lahir dari isi perut dan fikiran mahasiswa sendiri. Mereka bangkit bukan atas mana – mana bendera parti, namun tidak salah jika mereka menyokong atau membantah ideologi mana – mana parti seandainya bertembung dengan apa yang mereka bawakan. Kebebasan dan hak bersuara mahasiswa harus diiktiraf dan tidak dibelenggu oleh akta – akta yang tidak pragmatik dan kuno seperti AUKU, AKTA 174, ISA dan beberapa lagi akta drakonian lainnya.


ALI BUKHARI: Saya fikir majoriti mahasiswa dan masyarakat luar secara ijmak menolak budaya label-melabel ini. Mengapa mereka menolak? Ini kerana, lazimnya label-label itu dicipta dengan niat menghina dan merendah-rendahkan martabat dan kedudukan orang lain. Lalu, mereka pula mengangkat diri mereka sebagai golongan yang terbaik dan terpuji.

Dalam surah al-Hujurat, ayat 11, Tuhan merakamkan firmanNya sebagai berikut:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain (kerana) mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik dari mereka; dan jangan pula suatu puak kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan lain, (kerana) mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik dari mereka. Jangan sesetengah kamu mendedah aib sesetengah yang lain dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu dengan lain dengan gelaran buruk.”

Dalam sejarah, Iblis adalah watak pertama yang melabelkan Adam sebagai watak yang ‘hina’, dan dirinya (Iblis) adalah lebih mulia. Dialog label-melabel serta penghinaan ini mendapat perhatian istimewa Tuhan sebagai peringatan kepada manusia, lalu dirakam di dalam surah al-A’raaf, ayat 12 – 13:-

Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau jadikan daku dari api, sedang dia (Adam) Engkau jadikan dari tanah.”

Allah berfirman: “Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina”.

Sebenarnya, penghinaan melalui label-melabel ini akan mendatangkan kehinaan pula kepada orang yang menghina tadi seperti Allah s.w.t menghina Iblis. Dia menyangka bahawa label ‘tanah’ itu merendahkan Adam serta menganggap label ‘api’ sebagai suatu kemuliaan kepadanya. Namun, Iblis kecewa lantaran jawatan Khalifah itu tidak diberikan kepadanya sebagai satu kemuliaan setelah Tuhan menjadikannya dari api.

Bagaimanapun, ada label-label yang dicipta bukan dengan tujuan serta niat yang merendah-rendahkan, tetapi mengangkat darjat yang hina kepada mulia. Contohnya Allah s.w.t menggelar, menamakan dan melabel manusia sejak dahulu lagi sebagai ‘Muslimin’.

“Ia menamakan kamu: ‘orang-orang Islam’ sejak dahulu dan dalam (Al-Quran) ini, agar Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan agar kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah).” [al-Hajj : 78]

Dalam hal ini, Hamka pernah di dalam berkomentar dalam satu tulisannya, “Apa gunanya menggelar ‘Kaum Muda’ dan ‘Kaum Tua’? Kaum Muslimin kan lebih baik?”. Oleh itu, istilah Muslim inilah yang lebih sesuai diguna pakai.Dalam konteks mahasiswa, label mendatangkan kekeliruan. Sook Hwa pernah bertanya saya, “Apa bezanya Pkpim, Karisma, dan Gamis? Al-Qur’an berbezakah kerana pakaian mereka berbeza?”

Itu baru salah satu kesan ke atas mahasiswa non-Muslim. Dialog-dialog mengenai pertubuhan pelajar Islam tidak banyak dibangkitkan ke atas pelajar non-Muslim. Jadi, jika hal ini masih wujud, sulit untuk kita kembangkan Islam kepada khalayak di masa depan dengan sebab label-melabel ini. Namun, semua itu telah pun berlaku dan tidak harus kita menyesalinya lagi. Demikian antara kesannya kepada gerakan pelajar Islam itu sendiri.

Berbalik kepada masalah perlabelan, saya katakan tadi, ada juga lebel yang tidak membawa makna negatif. Semasa disiasat kali kedua, di antara soalan yang dibangkitkan ialah, “Adakah anda sedar bahawa di sana, ada perundangan yang mencegah penulisan berbentuk label-melabel?”.Mereka merujuk kepada berita yang saya tulis di dalam Berita Kampus; “Idealisme Mahasiswa Menang Tipis Kepada Aspirasi; 19 – 18.”

Namun begitu, permainan istilah di sini tidaklah bertujuan menyemarakkan rasa sentimen pernghinaan kepada mana-mana pihak. Laporan berita itu hanya melapor fakta; bahawa pro-pembangkang menang satu kerusi. Maka, saya juga berpendapat bahawa isu label-melabel ini kesannya boleh digunakan untuk mengelirukan pelajar. Misalnya,dalam kes di atas, saya menjelaskan bahawa label di sini bukannya dengan niat penghinaan.

Semasa saya menjadi wartawan pelatih Bernama, saya melihat ada juga wartawan yang prihatin dengan penggunaan istilah ‘militan Islam’ yang dilabelkan kepada pejuang Pulo di Selatan Thai. Dalam sidang media itu saya melihat mereka asyik bertanya kepada Ketua Pengarah IKIM mengenai penggunaan istilah yang tepat agar imej Islam tidak lagi tercalar pada pandangan khalayak.

Akhirnya, tiada satu keputusan yang benar-benar jelas dan muktamad. Pun begitu, saya menghargai sikap dan kesungguhan wartawan ini yang cuba mencari ikhtiar supaya imej Islam dan Muslim itu dapat dibezakan dengan pengganas atau terrorism yang dilabel oleh Amerika Syarikat. Apa yang boleh kita lakukan sekarang? Segalanya telah berlaku. Label-melabel kepada mahasiswa; BBMN (PAS), Dema (DAP), Karisma (JIM), PKPIM (ABIM), Aspirasi (Umno) sudah wujud dan kita mestilah bersama-sama melihat kebaikan masing-masing untuk dijadikan ikutan. Sementara, buruk yang dilihat itu sama-samalah diperbaiki semampu mungkin dan bekerjasamalah jika ada ruang-ruang yang membolehkan kita bekerjasama





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved