|
Dalam kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur, ramai orang yang mempunyai kecenderungan untuk menilai seseorang dengan melihat kepada kereta mewah di sebelah kenderaan mereka.
Sama ada ia adalah Benz yang terbesar atau Lexus yang terkini, yang pasti adalah: pemiliknya tentulah orang Melayu atau pun orang Cina.
Apabila memasuki restoran mewah, meja-mejanya pasti dipenuhi oleh Datuk Melayu atau pun Tan Sri Cina.
Rakan yang tinggal di kawasan kediaman mewah mengakui bahawa keharmonian terjalin di antara dua kaum yang sama-sama mendiami kawasan tersebut.
Inilah sebab mengapa Pemuda Umno menyeru supaya Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan semula – dengan alasan bahawa orang Melayu masih ketinggalan dari segi ekonomi serta tidak dapat bersaing dengan orang bandar bukan Melayu.
Pemimpin-pemimpin Pemuda Umno telah menghamburkan pelbagai angka untuk membuktikan bahawa orang Melayu masih lagi belum mencapai sasaran yang ditetapkan pada 1970, ketika dasar itu diperkenalkan: 18 peratus daripada pecahan ekonomi kini, tidak sampai 30 peratus yang menjadi sasaran dasar itu.
Mereka juga berkata lebih ramai orang Melayu diperlukan dalam bidang profesional.
Pengkritik mereka, diketuai oleh Malaysian Chinese Association, memberikan data yang menunjukkan sebaliknya – sasaran ekonomi tersebut sudah tercapai.
Dan, mereka mempersoalkan jika terdapat ramai orang Melayu yang miskin, jumlahnya adalah lebih kurang sama dengan orang Cina dan India yang miskin yang memerlukan bantuan kerajaan.
Apa yang tidak disentuh, adalah mengenai realiti ramai orang Melayu kelas pertengahan dan atas yang tidak lagi memerlukan hak istimewa.
Seorang pelabur, yang tidak mahu dikenali, berkata dia dan rakannya tidak mahu menggunakan keistimewaan tersebut kerana ianya adalah untuk ‘orang yang lemah’.
| |
Hari ini, orang Melayu yang terpelajar dan kaya, dihormati oleh semua rakyat Malaysia kerana mereka mengetuai sebilangan daripada syarikat terbesar di negara ini.
Jika ianya benar, tidakkah patut peguam, akauntan, pekerja bank dan jurutera Melayu dikecualikan daripada keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu?
Satu contoh keistimewaan yang tidak patut diperolehi oleh kumpulan ini adalah ‘diskaun bumi’ yang diberikan semasa membeli hartanah.
Dasar tersebut diperkenalkan untuk membantu bumiputera untuk membeli rumah, unit-unit komersil serta bangunan-bangunan industri.
Kini, dengan wujudnya golongan Melayu kelas profesional dan pertengahan, dasar itu akan menjadi tidak adil jika mereka terus menikmati keistimewaan tersebut.
Contohnya, kondominium mewah di sekitar Menara Berkembar Petronas dijual dengan harga RM1 juta (S$440,000) seunit. Tetapi ia juga memberikan diskaun sebanyak 5 hingga 7 peratus kepada bumiputera.
Jika seorang Melayu mampu membeli rumah bernilai RM1 juta, mengapa dia memerlukan diskaun istimewa? Jika ianya adalah untuk membantu orang Melayu yang kurang berkemampuan, mereka yang mampu tidak sepatutnya menikmati keistimewaan itu.
Kerajaan telah membantu orang Melayu pada 2003 apabila ia memperkenalkan meritokrasi yang terhad bagi kemasukan pelajar ke dalam universiti awam tempatan.
Pemimpin-pemimpin Umno merungut bahawa ia akan menutup peluang beribu-ribu pelajar Melayu. Tetapi di ambang dunia globalisasi yang mencabar, demi kebaikan orang Melayu mereka perlu untuk melepaskan keistimewaan tersebut.
Pada masa akan datang, orang Cina yang mesti disaingi oleh mereka bukannya yang datang daripada Subang Jaya yang bersetuju dengan dasar orang Melayu, untuk memelihara keharmonian antara kaum.
Orang China yang mereka perlu hadapi nanti adalah yang kasar, tidak akan melepaskan peluang dan profesional berskil tinggi daripada Shenzen atau pun Shanghai.
|