Idealis Mahasiswa
 
 

Dr Nordin Kardi tidak ciplak artikel


Hit = [ ]

oleh: Soon Li Tsin
sumber: Malaysia Kini Dec 20, 06 5:32pm

Akibat ‘kesilapan teknikal’ oleh sebuah lamanweb menyebabkan seorang bekas pemimpin pelajar menuduh Naib Canselor Unversiti Utara Malaysia (USM), Datuk Dr Nordin Kardi menciplak artikelnya.

Lamanweb tersebut – islamhadhari.net – menyiarkan artikel bertajuk ‘Mengurus Kejayaan: Isu dan Cabaran’ yang menurutnya merupakan kertaskerja dibentangkan oleh Dr Nordin di sebuah seminar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Genting pada 7 Mei 2006.

Bagaimanapun, kandungannya didapati hampir keseluruhannya sama dengan artikel yang pernah ditulis oleh bekas Presiden Majlis Pelajar Universiti Islam Antarabngasa (UIA), Muhtar Suhaili yang bertajuk ‘Mahasiswa dan Tanggungjawab Menguruskan Kejayaan’, yang telah disiarkan dalam sebuah majalah pendidikan – Bicara Siswa – pada April 2004.

Muhtar telah menulis mengenainya perkara tersebut dalam blognya dan turut disebarkan kepada lamanweb yang lain bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

Muhtar menulis, jika penciplakan itu benar-benar berlaku, beliau menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak sihat dan menjejaskan hak harta intelektualnya, di samping bercanggah dengan semangat Islam Hadhari.

Nordin yang kemudian menyedari mengenai perkara itu, terus memberi respon kepada blog Muhtar.

“Saya baru dapat tahu isu ini. Tak ada kena mengena dengan saya. Muhtar kenal saya, adakah munasabah saya sedemikian teruk tak boleh menulis lalu menciplak karya Mukhtar?” tulis Dr Nordin kepada blog Muhtar.

      

Malaysiakini tidak berjaya menghubungi Dr Nordin untuk mendapatkan komennya hari ini.

Kesilapan tidak sengaja

Artikel ‘ciplak’ itu telah dibuang dari lamanweb islamhadhari.net enam minggu lalu tetapi pemohonan maaf oleh lamanweb tersebut hanya disiarkan Isnin lalu, atas alasan berlaku ‘kesilapan yang tidak disengajakan’.

“Pihak islamhadhari.net telah memohon maaf kepada beliau akibat dari kesilapan teknikal yang tidak disengajakan dilakukan oleh pihak islamhadhari.net.

“Perkara ini seharusnya tidak perlu diperbesarkan atau dipermainkan lagi di peringkat yang lebih tinggi untuk mendapatkan publisiti dengan menjatuhkan maruah Dato’ Dr Nordin Kardi,” kata islamhadhari.net.

Muhtar juga turut memohon maaf kepada Dr Nordin dengan melahirkan rasa kesalnya terhadap apa yang telah berlaku.

Beliau juga mengucap terima kasih kepada Dr Nordin kerana telah memaklumkan sendiri perkara itu kepadanya.

Katanya, ini bermakna lawanweb islamhadhari.net bertanggungjawab sepenuhnya dalam penyiaran artikel tersebut.

Islam Hadhari adalah sebuah lamanweb yang memberi fokus kepada isu-isu mengenai Islam berasaskan kepada Islam progresif yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.





Copyright © 2006 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved