Idealis Mahasiswa
 
 

Dilema Anwar


Hit = [ ]

oleh Mohd Sayuti Omar
sumber - Malaysia-today

Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Persekutuan empat bulan lalu – 2 September 2004 yang digahkan akan memancarkan sinar baru politik di negara ini nampaknya tidak begitu menjadi kenyataan seperti mana yang diharapkan.

Sanjungan dan pengkultusan kepada Anwar sebelum ini selaku ‘wira adil’ yang akan mengorakkan gelombang baru seperti mana ketika beliau berada di dalam tahanan, berbeza sesudah beliau keluar.

Suhu dan nafsu politik orang ramai turun mendadak. Apakah ini pola arus politik orang Melayu? Sebab keadaan yang sama juga pernah berlaku kira-kira 30 tahun lampau seperti mana menimpa bekas ketua pemuda UMNO Datuk Harun Idris (Allahyarham).

Ketika di dalam tahanan, Harun Idris mendapat sambutan dan sanjungan raya daripada publik. Kemuncak kehebatan itu beliau yang dicalonkan bertanding naib Presiden UMNO, menang. Tetapi sesudah berada di luar, sokongan dan sanjungan itu mendadak turun. Akhirnya Harun Idris menjadi bintang-bintang yang berguguran di bumi, tidak sempat mengerdik untuk kali kedua.

Demikian (buat permulaan ini) apa yang berlaku kepada Anwar. Pembebasan itu tidak begitu menyerlahkan dan membawa sesuatu yang menyakinkan. Suatu suasana baru dalam kancah politik negara juga tidak menjadi. Walaupun ia mulanya nampak mengalutkan UMNO khasnya kumpulan pemuda yang cuba memanggungkan tokoh idola mereka (Najib Razak) namun akhirnya ia mereda.

Mulanya UMNO nampak cemas juga. Ada semacam kejutan dengan ‘kemerdekaan’ Anwar itu. Setidak-tidak pembebasan itu menganggu tidur dan mimpi orang tertentu yang memang mengharap Anwar akan dibebaskan pada tahun 2009. Mereka lantas terus membuat benteng, bimbang takut-takut Anwar melanggar dan bolos ke dalam parti berhantu itu (UMNO).

Sudah pasti kalau Anwar menerpa masuk ke dalam UMNO ia akan menganggu tidur lena dan mimpi indah mereka kalaupun tidak akan membangkit dan menyingkirkannya dari kasur tiduran yang asyik itu.

Apakah keredaan tentangan dan ‘percakapan’ UMNO terhadap Anwar itu merupakan satu strategi? Namun yang jelas Pemuda UMNO yang awalnya sangat gahirah seperti ditahan daripada meraung dan melaungkan prihal Anwar. Ada kuasa yang menangani pemuda agar tidak sangat menunjukkan semangat darah mudahnya untuk mengnyahkan Anwar dan serentak itu menyanjung ke langit tinggi orang lain.

Bagi saya keredaan itu satu strategi. Secara tidak langsung, tindakan itu turut mematikan angin Anwar. Kehebatan dan juga spekulasi umum kepada Anwar turut menjadi reda. Di dalam hal ini UMNO pandai memainkan angin. Umpama bermain layang-layang, mereka membiarkan layang-layang terbang mengikut arus angin ketika ribut kuat. Dan akan mengunci tali pergerakannya selepas angin kembali normal.

Selepas empat bulan pembebasan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, keadaan kini kembali normal. UMNO melayani seolah Anwar tidak ada apa-apa. UMNO semacam tidak terperasan bahawa Anwar kini sudah mula mengatur langkah dan membuka mulut cuba meraung membela masa depan politiknya.

Sesudah Anwar membuat penyataan serta pendirian mutakhir di dalam politiknya di Ipoh sempena kongres pertama PKR pada 17 – 19 Disember orang menanti apakah anjakan pada ketika itu. Apakah planning dan agenda Anwar ke atas politiknya dan juga serangan kepada UMNO. Lantas orang mengharap akan berlakulah gelombang baru.

Tetapi setelah beliau menjelajah ke beberapa tempat, nampaknya gelombang itu tidak mudah muncul. Gelombang sekuat tsunami tidak tiba memenuhi ruangan atau persada politik negara. Situasi ini – mematikan pergerakan politik Anwar. Ini menunjukkan pandainya UMNO membendung arus jadian itu.

Dan sesudah Anwar telah menjelajah hampir ke seluruh negeri; Pulau Pinang, Terengganu, Pahang, Kelantan, Johor dan Kedah, keadaan nampak tidak banyak memberi semangat. Hawa politik di negeri-negeri itu tidak berapa panas. Mungkin kerana landaan tsunami boleh dijadikan alasan kenapa kemeriahan itu mengecut!

Hanya suasana di Kelantan sahaja ada sedikit kemeriahan dan bakal mengalunkan suasana politik di negeri itu pada masa akan datang. Kalau momentum itu kekal UMNO Kelantan pasti akan bermasalah dengan kehadiran bekas TPM itu, dan biduknya yang sedang dilabuh kini di ‘21 buah pengkalan’ akan dirempuh gelombang sekali lagi.

Dari siri-siri lawatan dan tinjuan pusingan awal itu menggambarkan bahawa arus tidak seberapa goncangannya. Kehangatan tidak seperti mana yang diharapkan. Ia tidak sepadan dengan pengharapan umum ketika Anwar di Sungai Buloh. Secara terus terang dan ikhlas ditegaskan kalau tidak ada koreksi jitu ke atas hal ini suasana dan juga keadaan itu bakal memberi kelesuan kepada langkah Anwar seterusnya.

      

Di dalam penilaian saya secara umum ada beberapa perkara dan sebab kenapa keadaan itu terjadi. Di antara perkara pokok ialah sikap dan juga ‘conscience’ Anwar sendiri di dalam tindakan politiknya. Pendirian batin politiknya tidak jelas dan tidak tegas. Beliau nampaknya sangat berhati-hati seolah dirinya terkawal dan pergerakan serta percakapannya tertakluk kepada syarat-syarat tertentu (pembebasan). Inilah puncanya.

Justeru, walaupun beliau menyatakan komitmennya jelas kepada PKR dan politik pembangkang, namun, beliau persis masih dibelenggu suatu dilema. Dilema ini ‘meroyan’ di dalam diri dan fikiran Anwar sendiri. Dilema inilah menyebabkan situasi menjadi hambar dan kurang bertenaga.

Mungkin tidak benar kalau dikatakan beliau kini sedang bertapa di dalam gua dilema yang sukar untuk keluar. Tetapi itulah yang saya nampak bila setiap kali memerhati kenyataan politik dan mendengar ucapannya selepas dibebaskan.

Contohnya ucapan belau di Kota Bharu tempoh hari tidak mencerminkan ucapan dari seorang reformis yang pernah muncul sebelum ini. Apa yang ditunggu oleh lebih 50,000 orang di stadium itu ialah serangan Anwar ke atas pemimpin UMNO.

Jelas sekali di dalam ucapannya beliau waspada dan cermat di dalam memilih bahasa dan juga isu. Beliau terlalu diksi mengenai bahasa dan juga analogi tidak seperti pada era reformasi. Masih banyak yang beliau kulumkan di dalam kerongkongnya daripada dihamburkan kepada khalayak.

Sikapnya yang tenang dan tidak menyerang pihak kerajaan, seperti ada sesuatu yang sedang beliau cari dan tunggu dari dari mana-mana pihak. Situasi inilah menyebabkan pidatonya tumpul kurang menyengat. Dan kelesuan ini turut sama terbawa kepada publik. Apa yang menerawang dari dalam dirinya dapat di baca dari luar dan mempengaruhi keadaan umum.

Misalnya apabila beliau memperlahankan nada dan kritikan kepada kerajaan yang selama ini menjadi umpan dan senjata rakyat untuk bersamanya, maka keadaan menjadi lesu. Pekikkan dan hemburan yang menjadi variasi pada setiap perhimpunan tidak menyerlah.

Minat dan juga pemerhatian orang ramai turut sama mereda. Orang ramai nampaknya bersikap seperti beliau tunggu dan lihat. Kesannnya mereka malas atau berpadah-padah untuk mengikuti program Anwar atau PKR.

Ia juga turut terkesan kepada pihak Pas, rakan oposisi Anwar yang selama ini mengharapkan Anwar akan keluar sebagai wira penyemarak obor penentangan dan kritikannya kepada pihak UMNO. Pas juga kini sudah dewasa dan mengambil sikap berpadah-padah dengan Anwar dan juga tindakan PKR. Nampaknya Pas tidak mahu dipatuk ular dari lubang yang sama buat kedua kali!

Selain daripada suasana itu yang langsung dari perwatakan dan penampilan diri Anwar, kelemahan jentera PKR juga sangat jelas. Ketiadaan penggerak mengatur perjalanan dan pengembaraan politik Anwar ke tanah air menjadikan keadaannya kurang meriah dan bertenaga. Dan sebenarnya inilah masalah dan dilema kepada PKR untuk menghadapi cabaran mendatang, ketandusan pemimpin yang berwibawa.

Selain itu masih banyak fenomena dan hambatan yang melesukan suasana. Namun, itulah di antara yang dikira penting ketika ini dan perlu rawatan intensif segera. Kalau Anwar mahu mengemercingkan perang politik di antara oposisi dengan parti kerajaan, maka beliau harus menunjangkan prinsipnya sebelum ini.

Beliau wajib memacakkan sikap dan juga keyakinan dengan berani, tegas dan terang di tengah lautan pemikiran rakyat tanpa menanti sesuatu yang kabur itu.

Selagi beliau sendiri berteka-teki, berwaspada yang sukar untuk dijamah oleh minda rakyat apakah jawapan sebenarnya, maka arus gelombang kedua yang diharapkan itu tidak akan mudah bergerak, apa lagi dengan pantas. Anwar harus tulus dan berani mengambil risiko sekiranya apa yang bermain di dalam fikirannya itu kontras dengan penantian umum! Beliau tidak patut hipokrit di dalam hal ini.

Dalam masa sama PKR pula perlulah memperkasakan jenteranya, perpaduannya serta mensederapkan langkah dan slogan ke arah satu matlamat dan satu impian. Jangan mempunyai minda bercabang-cabang di antara seorang pemimpin dengan pemimpin lain.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved