|
Barisan baru kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dianggap mencerminkan betapa pengaruh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang diasaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah terhakis dalam parti pembangkang tersebut.
Bekas Setiausaha Agung PKR, Mustaffa Kamil Ayub, yang dilantik sebagai naib presiden PKR Ahad lalu, merupakan satu-satunya pemimpin yang dikaitkan dengan Abim, yang memegang jawatan tinggi dalam barisan kepimpinan parti itu.
Manakala seorang lagi pemimpin yang dikaitkan dengan Abim, Abdul Rahman Yusof, yang gagal dalam percubaannya untuk merebut jawatan naib presiden dalam pemilihan parti itu bulan lalu, dilantik sebagai ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) PKR.
Pengarah Merdeka, yang merupakan pusat bagi penyelidikan pendapat umum, Ibrahim Suffian berkata barisan baru kepimpinan PKR itu menunjukkan pengaruh Abim dalam parti itu telah ‘merosot’.
Bagaimanapun, katanya, barisan kepimpinan terbaru itu juga memberi positif kerana ia mencerminkan ‘berakhirnya pergolakan dalaman antara pelbagai faksi dalam PKR”.
“PKR telah lama berada di persimpangan sama ada mahu condong kepada nasionalisme Melayu atau untuk menarik lebih ramai penyertaan bukan Melayu. Sekarang mereka sudahpun membuat pilihan, jadi perlu melangkah ke hadapan,” katanya ketika dihubungi.
Faktor Anwar
Katanya, barisan kepimpinan terbaru ini menekankan bahawa parti itu bukan ditubuhkan semata-mata untuk memperjuangkan pembebasan Anwar yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri.
“Mereka perlu turun ke akar umbi (untuk menunjukkan) ia adalah sebuah parti berbilang kaum. Bukan setakat berjuang untuk pembebasan Anwar. Mereka perlu membuktikan mereka juga memperjuangankan kepentingan rakyat,” tambahnya.
Anwar, yang juga penasihat PKR, adalah antara pengasas penubuhan Abim. Beliau memimpin pergerakan itu selama 10 tahun sejak 1972, sebelum beliau menerima ajakan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahthir Mohamad, untuk menyertai Umno.
Bagaimanapun, peningkatan mendadak Anwar dalam Umno dan kerajaan, sehingga ke jawatan Timbalan Perdana Menteri, tersekat apabila beliau dipecat oleh Dr Mahathir pada 1998 atas dakwaan salahlaku seks.
Berikutan itu, isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menubuhkan parti Keadilan. Pada tahun 2003, Keadilan bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang melahirkan parti baru Parti Keadilan Rakyat.
Di peringkat awal penubuhan Keadilan, para pemimpin Abim memainkan peranan dalam parti tersebut. Annuar Tahir dan Ruslam Kassim adalah antara pemimpin yang dikaitkan dengan Abim yang berpengaruh ketika itu.
Bagaimanapun, puak Abim menerima tamparan sewaktu pemilihan pertama Keadilan pada tahun 2001 apabila pemimpin-pemimpin kanan Abim yang dikenali sebagai “Kumpulan Empat” gagal memenangi sebarang jawatan tinggi parti. Mereka ialah Mustaffa, Anuar, Ruslan and Mohd Nur Manuty.
| |
Anuar dan Mohd Nur kini tersama pertubuhan bukan kerajaan, manakala Ruslan telah menyertai semula Umno sejurus sebelum pilihanraya umum tahun lalu.
Puak Abim menentang penggabungan Keadilan-PRM dan ia sampai ke kemuncaknya apabila 22 perwakilan bertindak meninggalkan dewan sewaktu berlangsungnya sesi untuk mengesahkan penggabungan tersebut pada perhimpunan agung parti itu pada tahun 2003.
Meninggalkan parti
Dalam wawancara dengan malaysiakini baru-baru ini, Mustaffa enggan mengulas sama ada Abim sudah kehilangan pengaruhnya dalam parti itu.
“Saya tidak tahu. Yang lebih penting ialah perjuangan parti. Saya tidak fikir kita patut terus berfikir mengenainya(pengaruh Abim),” katanya.
Menurutnya lagi, latarbelakang para pemimpin parti itu tidak seharusnya dijadikan isu kerana ia boleh mencetuskan masalah “melabel antara satu sama lain”.
“Saya tidak fikir ialah baik untuk membawa ideologi yang kuat ke dalam parti. Tetapi mulai sekarang, latarbelakang para pemimpin tidak seharusnya dipertikaikan, jika tidak kita tidak berhenti daripada melabel antara satu sama lain,” tambahnya.
Bagaimanapun, Mustaffa mengakui masih wujud kebimbangan ‘di-Abim-kan’ dalam PKR.
“Saya tidak tahu setakat mana fobia masih wujud dalam PKR. Malah ketika Anwar masih bersama Umno, orang dalam Umno juga bimbang beliau akan ‘meng-Abim-kan’ Umno,” katanya.
Menurut Mustaffa lagi, sentimen “anti-Abim” tidak begitu kelihatan dalam pemilihan parti itu baru-baru ini, berbanding ketika berlangsungnya pemilihan pucuk pimpinan pada tahun 2001.
Mengenai kekalahan pemimpin-pemimpin Abim dalam pemilihan tahun 2001, Mustaffa berkata ia berpunca daripada “pihak-pihak tertentu” yang menimbulkan kebimbangan ahli-ahi mengenai kemungkinan “di-Abim-kan”.
Menurutnya, kebanyakan pemimpin Abim yang meninggalkan PKR mereka “yang dipaksa menyertai politik” selepas atas permintaan Anwar selepas beliau dipecat pada tahun 1998.
“Apabila mereka (pemimpin Abim) merasakan masih wujud elemen-elemen lama politik dalam parti itu, maka mereka memilih untuk meninggalkannya (parti),” katanya tanpa mengulas mengenainya.
Mengenai perlantikannya sebagai naib presiden PKR, Mustaffa berkata ianya berdasarkan kepada hubungan dan pengalamannya.
“Tentulah, saya akan terpaksa berjuang di antara idealisme dan realiti. PKR adalah sebuah parti baru, anda tidak boleh mengharapkan idealisme itu akan menjadi kenyataan dalam sekelip mata. Anda perlu banyak bersabar,” katanya.
|