|
Sikap menganggap ‘diri sendiri sahaja yang betul’ di kalangan sesetengah pemimpin muslimat PAS dikatakan adalah antara faktor utama yang menyebabkan pengundi wanita ‘beralih angin’ daripada terus menyokong parti tersebut.
Seorang pemimpin lelaki PAS parti itu dari Kelana Jaya berkata, Dewan Muslimat perlu menyalahkan diri sendiri apabila dijauhi pengundi wanita – pengundi yang membantu parti itu mencapai kemenangan cemerlang dalam pilihanraya umum 1999.
“Sikap menganggap diri mereka lebih alim daripada orang lain itulah yang menjadi punca parti itu dijauhi pengundi wanita. Misalnya, di Terengganu, ahli Muslimat memandang rendah wanita tidak memakai tudung labuh seperti mereka. Mereka sering mengasingkan diri daripada orang lain dan mereka tidak begitu menghargai sumbangan orang lain.
“Ya, orang Terengganu adalah konservatif, tetapi berapa ramai daripada mereka yang memakai tudung labuh? Jadi, tidak hairanlah jika mereka lebih tertarik menyertai Puteri dan Wanita Umno. Sikap seumpama itu mengakibatkan parti itu kehilangan kuasa di negeri itu,” katanya.
Pemimpin tersebut yang berkelulusan dari sebuah universiti didi Amerika Syarikat yang tidak mahu namanya disebut, merujuk kepada kekalahan teruk PAS dalam pilihanraya umum tahun lalu sehingga kehilangan Terengganu kepada Barisan Nasional (BN).
Beliau memberi pandangan tersebut sebagai mengulas laporan malaysiakini mengenai hasil penyelidikan Penolong Prof Bridget Welsh dari Universiti John Hopkins mengenai corak pengundian sewaktu pilihanraya umum 1999 dan 2004 yang menunjukkan peningkatan sokongan pengundi wanita kepada BN.
Hasil penyelidikan itu juga mendedahkan bahawa kaum wanita menjauhkan diri daripada parti PAS di mana ada pemimpin parti itu menyalahkan sesetengah pemimpin muslimat yang bersikap ‘lebih alim daripada orang lain’.
| |
Contohi pemimpin pusat
Menurut Welsh, sokongan pengundi wanita kepada gabungan parti pembangkang - Barisan Alternatif (BA) - dalam pilihanraya umum 2004 telah merosot, yang menurutnya, begitu jelas sekali di beberapa kawasan pilihanraya dan parti-parti politik tertentu seperti PAS.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Siti Mariah Mahmud berkata beliau tidak terperanjat dengan hasil penyelidikan itu kerana ianya sama dengan hasil kajian yang dibuat oleh pihak parti itu sendiri. Katanya, walaupun terdapat faktor-faktor luaran seperti liputan media yang berat sebelah yang menyebabkan ramai pengundi wanita yang menyokong PAS pada 1999, telah beralih sokongan mereka pada 2004, tetapi menegaskan bahawa faktor-faktor dalaman parti itu juga tidak boleh diketepikan.
“Terdapat banyak sebab mengapa kaum wanita tidak menyokong PAS, tetapi kami terpaksa mengakui, kita juga telah melakukan beberapa kesilapan. Hakikatnya ialah PAS tidak mempunyai dasar yang khusus mengenai wanita. Kita tidak ada peraturan mengenai ketrampilan muslimat PAS.
“Tetapi oleh kerana sikap sesetengah daripada kita dan mungkin laporan negatif yang kita terima, maka timbul anggapan seolah-olah ada dasar yang khusus mengenai ketrampilan muslimat dalam PAS,” tambahnya.
Dr Siti Mariah juga mengakui terdapat pemimpin-pemimpin yang berfikiran sempit yang menyukarkan parti itu menjadi daya penarik kepada umum.
“Sikap seperti itu menjadi satu masalah dalam Muslimat. Masih terdapat mereka yang berfikiran sempit dan terlalu menekannya pada perkara-perkara kecil seperti berapa labuh kain tudung seseorang itu. Saya tidak mahu menyebut nama, tetapi ia memang menjadi masalah,” katanya.
Menurut beliau lagi, isu tudung labuh sangat sensitif di tempat-tempat seperti Terengganu dan pihaknya menyedari bahawa sikap seperti itu akan menjejaskan sokongan pengundi wanita terhadap parti tersebut.
|