Idealis Mahasiswa
 
 

Kumpulan Tiga Abdul Masih Belum Serik


Hit = [ ]

oleh Tun Paduka Tuan
sumber - Marhaen

Kumpulan ‘tiga abdul’ nampaknya tidak pernah mengangkat bendera putih mengaku kalah. Walaupun dua generalnya telah syahid – apabila digugurkan daripada Badan Perhubungan Pas Kelantan, namun tragedi itu tidak menginsafkan mereka. Sebaliknya mereka terus bangkit umpama harimau luka menyerang kembali mangsanya.

Sesuai dengan keadaan (orang kalah) tindakannya kini berbeza sedikit daripada cara terdahulu. Modus operandinya juga berubah. Tiga abdul tidak bertindak sendirian, sebaliknya menggunakan beberapa broker dan pencacai kelas kaki lima yang menjadi kroninya.

Kroninya berpelesiran di kaki lima di Mutiara Conner atau kedai Jaafar Rawas di Kota Bharu dan juga Kuala Lumpur menjaja modal kehebatan tiga abdul.

Salah satu modal yang dijaja ialah mengenai kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang sudah tidak relevan. Kononnya Nik Aziz akhir-akhir ini sudah banyak melakukan kesalahan. Nik Aziz didakwa sudah banyak terlepas cakap yang merosakkan reputasi parti Pas. Ayat dan dakwaan sebegini bukan sahaja terbit dari mulut kroni tetapi keluar sendiri daripada mulut salah seorang tiga abdul.

Apabila saya mendedahkan mengenai kegiatan dan tingkah laku ‘tiga abdul’ yang cuba kembali semua, kroninya begitu marah dan bangkit mempertahankan keunggulan tiga abdul. Tetapi suatu hal yang menyedihkan di dalam tindakan mereka itu, orang yang tidak ada kena mengena telah menjadi mangsa. Kulit Buku Hikayat 3 Abdul Kulit buku Hikayat Tok Guru dan Tiga Abdul ikhsan Penerbit Tinta Merah

Khabarnya penulis buku itu (Hikayat Tok Guru dan Tiga Abdul) Saudara Mohd. Sayuti Omar telah dikecam hebat.

Tidak semena-mena penulis itu dituduh dengan pelbagai tuduhan. Kononnya beliau menjadi tali barut kepada tokoh tertentu di Kelantan dan juga tali barut UMNO untuk memecahkan kerajaan Kelantan. MasyaAllah! Tuduhan ini keluar bukan dari sembarangan orang tetapi khabarnya dari tokoh yang imigran ke dalam Pas dan dianggap intelek di dalam parti itu dewasa ini.

Saya rasa lemparan fitnah dan tuduhan itu tidak berapa baik dan menguntungkan pihak tiga abdul. Berbalah dengan penulis adalah satu kesilapan besar. Apa yang wajarnya mereka patut berbaik dengan penulis. Saya yakin keadaan menjadi lebih parah lagi kalau kroni tiga abdul cuba memburukkan keadaan dengan melemparkan berbagai tuduhan liar dan tidak berasas itu sebagai membela dirinya.

Perlu diingat penulis adalah perakam kepada setiap apa yang terjadi. Penulis juga adalah bank maklumat. Meneliti buku Hikayat Tiga Abdul, tempoh hari masih banyak yang masih belum didedahkan oleh penulis buku berkenaan. Sebenarnya penulis buku itu begitu cermat dan tidak mendedahkan semua akan skandal melibatkan tiga abdul yang saya yakin sudah berada dalam benaknya.

Misalnya, Saudara Sayuti tidak mendedahkan kes penipuan tanah dan juga peristiwa melarikan wang balak sebanyak RM2 juta oleh salah seorang abdul bersama bekas anggota Exco. Sayuti juga tidak mendedahkan bagaimana balada salah seorang abdul di zaman remajanya yang memang terkenal dengan mata keranjang. Sayuti juga tidak mendedahkan bagaimana salah seorang abdul menipu sebuah syarikat kerjasama di kampungnya dan suka berhutang dan bayar dengan cek tendang?

Bagaimana kalau Sayuti mendedahkan hal itu? Tidakkah keadaannya parah. Sikap dan fe'el tiga abdul persis sesetengah pemimpin UMNO yang ada di Kelantan sendiri.

Harus diingat, mangsa kepada seorang penulis ialah tokoh politik yang jelek dan cakap tidak serupa bikin. Apa yang menimpa diri Anwar Ibrahim hendaklah diingat oleh semua orang politik. Gara-gara ‘Buku 50 Dalil’ tulisan ‘si laknat’ Khalid Jafri itulah yang menyebabkan Anwar menangis hari ini. Soal fitnah, palsu dan sebagainya itu belakang kira. Yang penting tokoh yang menjadi sasarannya itu terkojol.

Justeru, kroni tiga abdul atau puak yang hendak mengusungnya naik semula hendak hati-hati di dalam melemparkan tuduhan. Jangan bercakap sampai boleh memedihkan telinga orang lain. Kalau mereka hendak mempertahankan kumpulan itu bertindak secara gentleman dan profesional. Atau kalau mampu nukillah sebuah karya menceritakan keagungan dan juga wawasan tiga abdul.

Berita atau laporan seperti mana yang didedahkan di laman ini beberapa minggu lalu ia bukan sesuatu yang direka-reka. Ia adalah kebenaran. Bahawa kumpulan tiga abdul cuba bangkit kembali. Mungkin bukti yang disebutkan itu tidak mencukupi dan dianggap sebagai satu permainan. Tetapi bagaimana dengan berita terbaru ini?

      

Seminggu lalu Wan Abdul Rahim Abdullah – (Datuk Speaker) salah seorang anggota tiga abdul telah memberi tahu Dewan Pemuda Pas di sebuah kawasan Pas di Kelantan, yang Ustaz Halim Abdul Rahman akan dilantik menjadi Pesuruhjaya Pas Kelantan. Apakah kuasa dan juga kedudukan Wan Rahim untuk membuat pengumuman itu?

Pengumuman itu adalah modal bagaimana beliau cuba mempengaruhi pemuda mengenai kedudukan Ustaz Halim. Usaha itu adalah untuk memberi nafas kepada kumpulan tiga Abdul. Kalau pun sungguh Ustaz Halim hendak dilantik menjadi Pesuruhjaya Pas Kelantan, namun bukan di situ dan beliau yang mengumumkan.

Cara yang dilakukan Wan Rahim itu untuk memburuk dan menjatuhkan maruah Nik Aziz sebagai Tuan Guru dan MB tidak lebih daripada itu.

Soal siapa yang bakal menggantikan Tuan Guru Nik Aziz sebagai Pesuruhjaya Pas Kelantan, bukan Wan Rahim menentukan tetapi Pas Kelantan. Bukan hanya Pas Pengkalan Chepa, Kota Bharu atau Rantau Panjang sahaja, tetapi Pas kawasan-kawasan lain juga berhak menentukannya.

Pelantikan itu juga nanti akan dibuat oleh Presiden parti bukannya Ketua kawasan mana-mana. Jadi apabila Wan Rahim memberi tahu hal itu (kononnya Ustaz Halim akan dilantik sebagai Pesuruhjaya) seolah-olah beliau cuba mengatasi kuasa dan juga melangkau prosedur yang diamalkan sebelum ini.

Wan Rahim harus sedar beliau tidak boleh terus beranggapan bahawa status dan kedudukannya di dalam hierarki Pas Kelantan tinggi dan besar. Beliau kena insaf beliau tidak lagi ahli Dewan Harian Pas. Pelantikan semula beliau sebagai speaker juga patut berterima kasih banyak. Kalau Pas (Dewan Harian) tidak melantik beliau, beliau tidak berbuat apa-apa. Jadi cubalah kenang sedikit jasa orang yang meletak beliau di tempat itu.

Hal-hal seperti inilah menjadikan tiga abdul mudah terperangkap. Tidak pandai dalam menyusun strategi. Wan Rahim sepatutnya tidak menyebut perkara itu secara terang sebaliknya mengadakan kempen di seluruh Kelantan dan juga di Malaysia. Apabila beliau sudah memberi tahu agenda kumpulannya maka mudahlah pihak musuh menyekatnya.

Kalau pucuk pimpinan Pas Kelantan hendak dirubah ia akan dibuat oleh Pas Pusat. Dalam hal ini Pas pusat sesekali tidak hanya bergantung kepada pandangan Wan Rahim dan abdul lain semata. Pas pusat akan mengambil kira pandangan kawasan lain juga serta prestasi kerja mereka itu di Kelantan.

Hari ini orang paling berkuasa di dalam Pas pusat ialah Presidennya, Haji Abdul Hadi Awang. Apakah mudah untuk Hadi Awang melantik Halim sebagai Pesuruhjaya? Apa yang berlaku semasa pilihan raya umum lalu boleh dijadikan ukuran sejauh manakah ‘betah’ atau tidaknya Hadi Awang dengan Ustaz Halim. Bantahan yang dikemukakan oleh rombongan Halim kepada Haji Hadi mengenai perpindahan (Halim) dari kerusi Kijang ke Parlimen Pengkalan Chepa tidak sedikit pun dihiraukan oleh Haji Hadi.

Apakah kejadian itu tidak dapat ditafsirkan oleh puak tiga abdul?

Satu hal yang tidak boleh dilupakan, selepas kena pecat gerak kerja mereka dari kumpulan tiga abdul nampak begitu berkurangan. Wan Rahim yang terkenal bijak merancang tetapi beliau langsung tidak turun ke bawah. Sepatutnya sesekali beliau kena juga berceramah dan membaca khutbah di masjid setidak-tidaknya untuk menunjukkan beliau pemimpin parti Islam. Begitu juga Ustaz Halim kena masuk kampung dan berceramah juga. Tidak akan jatuh martabat ‘datuk’ kalau berceramah di Lubuk Bongor atau pun Jeli.

Terlanjur bercakap fasal tiga abdul, saya sebagai orang luar, ingin mengingatkan kumpulan itu jangan cuba bergerak sendiri dan merasakan mereka kuat. Sedarlah keadaan kerajaan Kelantan hari ini sungguh kritikal. Janganlah cuba berklik dan berpuak sedarlah bahawa UMNO Kelantan sedang bekerja keras untuk menawan negeri itu.

Jangan pula asyik bergaduh, sehingga kuasa dilarikan orang. Tidak ada guna menang sorak tetapi kampung tergadai. – Reformasi.

Tun Paduka Tuan





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved