|
Fokus kita kembali kepada melihat kepentingan pembinaan sistem komunikasi efektif masyarakat dengan golongan “atasan”. Apakah takrifan sebenar golongan atas tersebut. Penulis sering menggunakan istilah golongan elite dan golongan atasan kepada “kasta” intelektualisme dan golongan celik serta golongan bijak pandai. Adakah cukup takrifan ini. Biarlah takrifan semudah ini yang cuba kita kupas. Golongan yang suka untuk penulis kupas pada kali ini adalah golongan celik atau enlightened. Golongan ini sering dikaitkan dengan ketokohan intelek atau intelegensia masyarakat. Hal ini akan menyempitkan ruang untuk penghasilan golongan celik atau penonjolan golongan tersebut sekiranya telah wujud.
Maka pemisahan ini dilakukan oleh penulis kepada beberapa pengamatan penting. Antara perbezaanya adalah, golongan intelek adalah golongan “ulul albab” yang mana penggunaan akal dan kepintaran pengamatan untuk mencari kebenaran. Pertembungan pembudayaan ilmu Pluto dan Aristotle mencetuskan kehadiran ramai tokoh intelegensia Islam yang bersemangat menggunakan kepintaran anugerah Ilahi. Namun setakat mana kerelevenan keintelektualan mereka ? Adakah prinsip dan konsep ulul albab menjadi penyebab untuk mereka wewenang (taa’ssuf) dalam mempertahan agama kononnya. Sikap Badiuzzaman Said Nursi dalam risalahnya mengenai konsep “ananiyyah” menyelar sikap wewenang tokoh-tokoh falsafah yang sesat dalam mencari kebenaran akal mereka. Sifat ulul albab sebenar adalah mencari kebenaran menggunakan akal setelah yakin dengan dalil qati’e. Inilah jalan bagi kita sebenarnya.
Manakala golongan celik adalah golongan yang mempunyai kesedaran sosial yang tinggi terhadap persekitarannya dan merasakan betapa pentingnya pembinaan masyarakat madani yang harmonis tercetus. Mengikut perspektif penulis selaku penganut Islam, penulis berkeyakinan bahawa golongan celik sebenarnya adalah golongan yang berusaha menggunakan kefahaman Islamnya setakat mampu untuk mempengaruhi persekitaran secara harmoni tanpa mencetus huru-hara. Kehadirannya cukup berkesan dan kerberadaannya terasa oleh masyarakat. Inilah peranan sebenarnya golongan celik. Penyusunan permasalahan dan faktor-faktor pendesak masyarakat dijadikan sebagai agenda untuk menggunakan segenap kehadirannya. Contoh bagi golongan ini yang patut kita teliti secara berhati-hati adalah tokoh Jamaluddin Al Afghani, Imam Hassan Al Banna, Said Nursi dan Abu A’la Al Maududi. Adakah mereka terkenal dengan gelaran intelegensia atau intelek Islam tersohor ? Adakah mereka golongan elite yang hanya memerhatikan permasalahan umat hanya dari mimbar masjid, tingkap-tingkap madrasah dan musalla-musalla ? Merekalah tokoh sosiologi Islam yang tidak wajar dinafikan kehadiran mereka dalam membina persepsi songsang masyarakat dari persepsi asal.
| |
Hakikat yang tidak perlu kita nafikan adalah kehilangan komunikasi erat antara golongan cerdik pandai dengan masyarakat. Ini berlainan dengan ketokohan golongan ulama’ silam yang bersifat penyelesai masalah dan pemberi kepuasan kepada ketidakfahaman dan kegoyahan iman akibat cabaran Yunani. Tokoh sebegini adalah seperti Imam Abu Hassan Al a’syaari yang terkenal dengan hujahnya, begitu juga Imam Al Ghazali yang cuba mengeratkan fahaman Fiqh dengan falsafah dan Ibrah (pengajaran) yang tidak dapat kita ketahui secara zahir. Sebaliknya kini ketokohan intelek moden hanya diabadikan dalam tesis yang bersifat subjektif dan kalaupun bersifat praktikal, belum lagi disentuh olah pemerintah atau pelaksana (eksekutif) sistem negara. Inilah harga ilmuan yang dibayar oleh golongan akhir zaman akibat sikap intelegensia sendiri yang memburu wang dan kepuasan pangkat, pemuasan golongan tertentu tanpa berusaha mempertahankan nilai kebebasan pengkajian ilmiah.
Golongan intelegensia ini juga mencebur diri dalam masyarakat sebenarnya tetapi masih “berkubu kuat”. Mereka hanya mencari bulu dan kalangan sekufu mereka dalam mempertahankan elitisme yang menjijikkan masyarakat marhain dan borjois(pertengahan). Sewajarnya intelektualan Islam perlu menghapuskan jurang teorikal dengan praktikal. Kebergantungan intelegensia kepada masyarakat bukan sekadar melengkapkan tesis dan kajian mereka, sebaliknya masyarakatlah menjadi “tukang rasa” atau golongan pemeriksa kepada teori yang dikeluarkan. Sikap antagonistik ini akan membantu mengharmonikan masyarakat. Sebagai contoh bagaimana graduan yang berada dalam sektor awam, perguruan dan pentadbiran rendah menggunakan peluang bersemuka dengan masyarakat sebagai punca untuk perubahan. Gerakan “silent wave” dalam pencetusan ini adalah lebih selamat dan baik. Namun ada yang menyalah gunakan peluang anugerah tuhan dengan mengenepikan bakat masing-masing anugerah tuhan.
Pemfokusan kepada golongan celik adalah sebagai penghargaan kepada pencetus gerakan social di Afrika dan Amerika Latin yang merupakan jasa-jasa golongan revolusioner yang mungkin kurang terdidik. Golongan celik tidak semestinya mewarisi kegeniusan Galileo dan Einstein dalam memepengaruhi masyarakat. Golongan berteraskan kesedaran social yang tinggi. Pewarisan sikap nabi-nabi yang berjuang mentranformasi struktur fundamental dahulu adalah unsure utama yang dizahirkan. Pergerakan konstruktif para nabi yang mengubah perspektif dan destinasi hidup merupakan perlembagaan peribadi mereka. Adakah kita tidak mampu menjadi salah seorang dari golongan enlightened ? Semestinya keazaman yang jitu membantu kita menjadi manusia celik berkesedaran social tinggi yang dalam usahanya mengenepikan persoalan remehan yang merangkul masyarakatnya.
MUHAMMAD NURUDDIN BASHAH
|