|
Tiada peribahasa yang lebih indah dan lunak untuk menggambarkan perangai dan sikap Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini kecuali - Bagai Melepaskan Anjing tersepit. Setelah habis air mata, duit dan keringat para penyokong Pas jatuh ke bumi membela kezaliman ke atas DSAI, hari ini apa yang parti kita dapat? Apa yang jamaah kita dapat? Hanyalah pandangan sebelah mata sahaja daripada DSAI. Diberi susu dibalas tuba.
Seorang pemimpin yang dibela begitu hebat oleh kita akhirnya cuba menjauhi pakatan pembangkang. Alangkah aneh bila beliau hanya memilih untuk menjadi penasihat Keadilan bukannya memimpin parti tersebut? Beliau sanggup terpacak pagi-pagi buta di rumah terbuka Pak Lah tetapi hanya beberapa hari kemudian mengunjungi rumah tuan guru.
Pertolongan kita kepada DSAI bukan sedikit. Bukan sahaja sokongan moral dan tenaga, malah imej dan kredebiliti juga kita pertaruhkan bagi membela beliau. Para penyokong kita yang kuat mengkritik DSAI seperti Ahmad Lutfi dan Mohd Sabu terpaksa menebalkan muka menukar arus sungguhpun suatu ketika merekalah yang paling lantang mengecam Anwar.
Tidak cukup itu, bukan sahaja Keadilan ditolong oleh kita, malah sebahagian orang kuat DSAI seperti Datuk Dr. Hassan Ali dan Kamarudin Jaafar diserap masuk dan diberi tempat yang kukuh dalam jamaah.
Bila keluar dari penjara, Pak Lah dulu yang diterima kasih. Sudahkah DSAI melawat kubur allahyarham Ustaz Fadzil Noor? Sehari lepas keluar penjara? Dua hari? Dua minggu? Inilah manusia bernama Anwar Ibrahim.
Jika orang lain mungkin sanggup menjadi khadam Pas sampai mati kerana pembelaan yang dilakukan, beliau sibuk mencari jalan untuk kembali ke dalam UMNO yang telah menzalimi beliau. Ke sana sini dijaja kononnya beliau tidak bersalah kepada UMNO. Apakah rayuan "sukma" ini jika bukan ingin kembali kepada UMNO?
| |
Jika kembali kepada UMNO, siapakah yang akan dicercakannya jika bukan kita? Jika suatu ketika dahulu kita dipanggil parti wal maki al hamun, apakah senario serupa akan berulang?
Suatu ketika dahulu beliau turut mempergunakan kita untuk mencipta nama kononnya pejuang Islam. Akhirnya terjun ke dalam UMNO kerana wang dan kuasa. Jadilah beliau manusia paling berkuasa hingga Allah memberi bala kepadanya, jatuh tersepuk. Kepada kita juga dipinta bantuan dan simpati.
Sekali lagi diuji nyata beliau jenis yang lupa diri. Tanda-tanda beliau akan melupakan pakatan pembangkang kian jelas.
Manusia jenis apakah ini? Mungkin kita telah melepaskan anjing yang tersepit. Dan anjing tetap sifatnya akan menghidu tahi sehingga bila-bila.
Kali ini pun DSAI tidak memberi komitmen kepada barisan pembangkang. Ini kerana sejak dahulu perjuangannya bukan perjuangan prinsip tetapi perjuangan kepentingan diri. Prinsip pada beliau hanya berguna bila tersepit.
Beliau boleh menipu kebanyakan rakyat dengan lembut lidahnya tapi bukan pimpinan Pas yang telah masak dengan asakan politik. Yang berada dalam pucuk pimpinan Pas sungguhpun tampak lemah lembut bukan jenis diperkotak-katikkan.
Jangan Anwar ingat akan dapat menggunakan isu Tuan Guru menolak penggabungan PKR-PAS sebagai alasan kembali beliau ke dalam UMNO. Tuan Guru bukan sebodoh Mahathir untuk ditipu oleh Anwar.
|