Idealis Mahasiswa
 
 

Hasmawi pasti jawab


Hit = [ ]

oleh Ahmad Saufi Mansor
sumber: Harian Metro Edisi Utara, Rabu 9/2/2005

BUKIT MERTAJAM: Segala tuntutan dikemukakan Norlida Abdul Rahman terhadap pemain bola sepak Kedah, Hasmawi Hassan hanya akan dijawab apabila pihak lelaki menerima saman terpinda yang dimeterai mahkamah.

Ini kerana tuntutan dikemukakan Norlida melalui peguamnya, Shahruddin Osman menerusi satu surat baru-baru ini, adalah saman yang dipinda tanpa dimeterai pihak mahkamah.

Peguam Hasmawi, Mohd Yusmadi Mohd Yusuff, berkata pihaknya masih menunggu tindakan selanjutnya kerana pada masa ini anak guamnya hanya menerima saman terpinda yang belum dimeterai mahkamah.

Beliau berkata, berikutan itu, pihaknya akan memberi jawapan rasmi kepada pihak berkenaan hanya selepas menerima saman yang dimeterai mahkamah.

“Pada masa ini, pihak kami masih menunggu saman (dimeterai mahkamah) itu sebelum membuat apa-apa keputusan. Apa yang pasti, pihak lelaki akan menjawab surat berkenaan.

“Saya sudah berbincang secara tidak rasmi dengan Hasmawi berhubung perkara itu pada Ahad lalu ketika dia berada di Kuala Lumpur tetapi setakat ini belum ada perkembangan,” katanya.

Beliau berkata, segala perbincangan untuk penyelesaian akan dibuat tanpa prejudis seperti dinyatakan pihak perempuan.

      

“Apabila dapat surat rasmi berkenaan kelak, barulah kita tahu apa pindaan yang diminta pihak perempuan,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Norlida mahu kesnya dibicarakan di hadapan hakim walaupun bekas tunangnya, Hasmawi Hassan, bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah.

Selepas perbincangan dengan peguamnya, Norlida hanya bersetuju sebahagian saman diselesaikan di luar mahkamah, manakala sebahagian lagi diputuskan hakim di mahkamah.

Berikutan itu, peguam Norlida mengemukakan tawaran penyelesaian sebahagian kes di luar mahkamah dan pihak lelaki (Hasmawi) mempunyai tujuh hari menjawabnya.

Selain itu, Norlida dan keluarganya mahu Hasmawi memohon maaf secara terbuka menerusi akhbar mengapa dia membatalkan perkahwinan saat-saat akhir sehingga menjatuhkan maruah diri dan keluarga pengantin perempuan.

Akhbar pada 20 Disember lalu melaporkan, Hasmawi membatalkan perkahwinan dengan a menghantar mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS)19 jam sebelum majlis pernikahan mereka di Felda Ulu Dengar, Kahang, Kluang, Johor.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved