Idealis Mahasiswa
 
 

Puja Kubur Tok Janggut


Hit = [ ]

oleh Adnan Mohamad
sumber: Harian Metro Edisi Timur, Jumaat 4/2/2005

TUMPAT: Makam pahlawan Tok Janggut di Kampung Pasir Pekan Hilir di sini, dipercayai dicemari sekumpulan `tahi judi’ yang melakukan pemujaan bagi mendapatkan nombor ekor.

Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Mat Hassan Munas adalah pahlawan terkenal Kelantan yang menentang penjajah Inggeris, akhirnya mati dalam pertempuran dengan penjajah Inggeris di Kampung Pupuh, dekat Pasir Puteh pada 25 Mei 1915.

Tinjauan Harian Metro di makam itu, semalam mendapati ada kesan dipercayai ditinggalkan pemuja nombor, berdekatan makam seperti beberapa batang paku sepanjang dua inci di dalam belindan kubur yang dikatakan digunakan untuk pemujaan.

Selain itu, pintu pagar kawasan makam yang tidak berkunci juga memudahkan pihak tertentu memasukinya pada waktu malam sehingga awal pagi bagi melakukan perbuatan khurafat berkenaan.

Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) kampung itu, Yusof Ismail, 61, berkata dia kesal selepas mendengar khabar angin mengatakan ada pihak tertentu menjadikan kawasan makam itu 'sumber' bagi mendapatkan nombor ekor.

      

Katanya, sehingga kini juga makam itu seperti tidak terjaga dan tiada pihak berkaitan yang mengambil tanggungjawab untuk memeliharanya.

“Bagi penduduk kampung, saya hanya boleh menjaganya selagi terdaya kerana tidak mahu mengganggu tugas pihak lain, seperti pihak Muzium Negeri Kelantan.

“Setakat ini, beberapa penduduk kampung hanya membersihkan kawasan makam secara sukarela seperti memotong rumput di kawasan sekitar supaya tidak ditumbuhi semak-samun,” katanya.

Yusof berkata, selepas banjir baru-baru ini, kawasan makam itu kotor dan papan tanda mengenai tokoh itu juga pecah dan berselerak.

Katanya, pada 19 Ogos 2002, Institut Teknologi Tun Abdul Razak (ITTAR) mengambil inisiatif membina pagar simen di sekeliling makam untuk melindunginya supaya ia terpelihara.

“Namun sekarang, ia seperti tidak terurus kerana papan tandanya rosak,” katanya.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved