Idealis Mahasiswa
 
 

Nik Aziz Semakin Pulih


Hit = [ ]

sumber: Metro Ahad 6/2/2005

KOTA BHARU: Tahap kesihatan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang dimasukkan ke wad kerana masalah tekanan darah tinggi sejak petang Khamis lalu, semakin baik dan mampu kembali bertugas dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

Bagaimanapun, beliau yang dibenarkan keluar dari wad petang semalam dinasihatkan menyusun jadual kerja supaya tidak terlalu padat bagi mengelak kesihatannya terjejas semula.

Pengarah Kampus Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamad, berkata keadaan Menteri Besar itu kembali stabil dan kini dinasihatkan supaya berehat secukupnya.

Menurutnya, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas dimasukkan ke wad 2 Timur di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian ketika menjalani pemeriksaan rutinnya.

Bagaimanapun ketika diperiksa doktor, tekanan darahnya tinggi.

      

“Hingga ke pagi ini (semalam), tekanan darah beliau kembali ke tahap normal dan stabil. Bagaimanapun, ketika ini beliau mengalami masalah sendi di bahu kiri, sekali gus memaksa kami mengarahnya mendapatkan rehat secukupnya,” katanya ketika ditemui semalam.

Dr Mafauzy berkata, masalah sendi itu biasa dihidapi golongan berusia, tetapi pihaknya akan memberi lebih perhatian terhadap masalah itu.

Mengulas punca masalah tekanan darah yang dialami Menteri Besar Kelantan itu, Dr Mafauzy berkata ia mungkin disebabkan tekanan kerja.

Pemimpin Pas itu pernah beberapa kali dimasukkan ke Hospital Kota Bharu (HKB), HUSM dan Hospital Pakar Perdana (HPP) kerana masalah gastrik, darah tinggi dan pendengaran sebelum ini.

Julai tahun lalu, Nik Abdul Aziz, 74, menjalani pembedahan jantung di HUSM sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dan dinasihatkan berehat.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved