|
Suasana politik dalaman Pas di negeri Cik Siti Wan Kembang semakin hari nampaknya semakin kalut. Perbalahan sama sendiri seperti tidak ada tanda-tanda akan berhenti dalam tempoh terdekat. Walaupun ada pihak tertentu cuba menenangkan keadaan, tetapi ia seperti sia-sia sahaja.
Walaupun perkara ini cuba dinafikan oleh pihak Pas Kelantan sendiri, namun tembelang ini tidak boleh diselindung dengan daun nyiru lagi. Kesungguhan kumpulan ‘tiga abdul’ misalnya, bertindak untuk membalas dendam ke atas Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan menggugat kerajaannya kerana mengambil tindakan ke atas mereka sudah menjadi bualan umum.
Sejak gerakan kumpulan desperado itu dikatakan bangkit kembali mencari ruang didedahkan di laman ini, ia mendapat perhatian umum. Mengapa orang ramai cepat peduli ialah kerana ada kebenaran di sebalik pendedahan itu.
Terbaru kini muncul pula satu lagi fraksi di dalam parti Islam itu. Fraksi ini seperti ada penyambungan (co-operate) dengan kumpulan ‘tiga abdul’. Kemungkinan juga perwujudan kumpulan baru ini adalah sebagai dokongan atau pun support group kepada kumpulan ‘tiga abdul’ berkenaan.
Kumpulan yang dimaksudkan ini ialah kumpulan WAN. Mungkin kewujudannya secara kebetulan, tetapi daripada gerak kerja kumpulan ini menunjukkan ia adalah pasukan ‘timbalan; kepada kumpulan ‘tiga abdul’. Mungkin setelah menyedari kumpulan ‘tiga abdul’ tidak berapa ‘rak nak akat bodi’ lagi maka kumpulan ini ditubuhkan sebagai memberi semangat kepada trio three stooges itu.
Kumpulan WAN kini terdiri daripada beberapa pemimpin Pas Kelantan yang berbaka Wan. Maksudnya nama mereka mempunyai marga (kufu) Wan. Apakah ini kebetulan atau dirancang sedemikian rupa (tetapi tidaklah sampai ada perlembagaan), tidaklah diketahui.
Yang nyata mereka yang namanya bermula dengan Wan ini yang menduduki barisan hadapan kumpulan ini. Mungkin kumpulan ini ditubuhkan atas semangat keturunan Wan. Keturunan Wan di sesetengah tempat di Kelantan memang dimuliakan.
Kumpulan ini memuliakan diri mereka sendiri. Bagaimana pun darjat dan status kumpulan ini jauh lebih rendah daripada keturunan Nik, seperti mana Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.
Keturunan Nik dianggap sebagai keturunan ‘ningrat’ manakala keturunan Wan ialah kuli hamba kepada keturunan Nik. (Kalau dapatan dan maklumat ini salah saya mohon maaf).
Di antara mereka yang dikatakan termasuk dalam kumpulan WAN ini ialah Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, iaitu Speaker DUN Kelantan kini yang juga bekas calon Parlimen Pas yang tertungging di Parlimen Kuala Krai. Wan Rahim juga merupakan kumpulan tiga abdul, dikatakan bertindak atau diangkat secara tidak rasmi menjadi Ketua atau master mind.
Mereka lain ialah beberapa bekas calon Pas yang tewas di dalam pilihan raya lalu, seperti Wan Ismail Wan Jusoh, bekas Setiausaha Badan Perhubungan Pas dan juga calon Pas yang tewas di DUN Melor, Wan Nik Wan Ngah, bekas calon Pas yang tewas di Parlimen Bachok, Wan Othman bekas calon Pas yang tersembam di DUN Tendong, Wan Muhammad Jamil Wan Mahmood, bekas ahli Parlimen Tumpat dan bekas Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri.
| |
Yang disebut termasuk dalam kumpulan ini juga ialah Wan Hassan penyelia DUN Semerak Pasir Putih. Selain daripada itu terdapat juga beberapa mereka yang tidak berketurunan Wan tetapi disimpulkan ke dalam pasukan ini termasuklah, bekas Exco Abdullah Yaacob, yang tewas kepada Mustapa Mohamed.
Abdullah Yaacob dikatakan tidak berapa berminat untuk berklik tetapi terheret oleh Wan Ismail Wan Jusoh.
Kumpulan ini dikatakan mempunyai cita-cita dan perasaan yang sama terhadap kepimpinan Pas hari ini. Sebelum ini mereka tidak sebulu di antara satu sama lain, seperti Wan Ismail dengan Wan Rahim, tetapi selepas mengalami kekalahan di dalam pilihan raya lepas mereka jadi sepakat semula.
Kewujudan kumpulan ini juga dikatakan berlaku selepas mereka tidak yakin lagi kepada kumpulan ‘tiga abdul’ yang sudah dihembus awal-awal lagi. Lagi pun ada di antara kumpulan di dalam ‘tiga abdul’ itu tidak boleh bersua muka dengan beberapa orang dalam kumpulan WAN ini. Namun mereka mempunyai keazaman yang sama iaitu mahu melihat kepimpinan Tuan Guru hari ini tergugat.
Dalam masa sama juga, menjelang mesyuarat cawangan dan kawasan yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat ini, kumpulan ini memastikan calon dan orang-orang mereka ‘naik’ dan menduduki jawatan penting dalam Pas kawasan. Apabila orang mereka terpilih mereka akan berusaha pula untuk ‘mendolor’ tokoh mereka untuk menjadi pengganti Tuan Guru Nik Aziz.
Tokoh yang bakal diangkat ialah seperti mana yang disebut-sebut oleh ketua kumpulan WAN ini, iaitu Abdul Halim Ab. Rahman ahli Parlimen Pengkalan Chepa dan bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan yang akan dilobi untuk menjadi Pesuruhjaya Pas Kelantan.
Kumpulan ini ada motifnya tersendiri kalau Halim menjadi Pesuruhjaya, maka semua orang mereka akan mendapat kedudukan dan mereka akan menguasai Pas. Yang menarik dan mengelirukannya, Halim bagaimana pun menafikan sekeras-kerasnya yang beliau masih berangan-angan untuk menguasai Pas Kelantan.
Bagaimana pun sejuta kali beliau menafi, tetapi orang sudah tahu apa yang tersemi di dadanya, bak ahli astronomi dapat mengenali kerdipan bintang di langit apakah ianya bintang timur ataupun bintang tiga belas.
Perkembangan kewujudan kumpulan ini bagaimana pun masih belum tersebar luas lagi. Namun mereka ini sering kali berhubung secara tidak rasmi dan membincangkan agenda mereka di kedai-kedai kopi dan nasi berlauk terpilih serta menerusi SMS.
Kendatipun kemunculan kumpulan ini akan mengalutkan lagi keadaan dalam senario Pas di Kelantan dan memberi satu lagi ruang kepada UMNO Kelantan dalam usaha parti berulat itu untuk menakluki negeri Tok Janggut itu. – Reformasi.
Tun Paduka Tuan
|