Idealis Mahasiswa
 
 

Jakim kaji halang tiga web


Hit = [ ]

oleh Manan Samad
sumber: Harian Metro Edisi KL, Khamis 3/2/2005

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang dalam proses kajian untuk menghalang tiga laman web, termasuk satu dikendalikan rakyat tempatan kerana dipercayai menyalurkan maklumat boleh mengeliru dan menyesatkan umat Islam di negara ini.

Difahamkan, tiga kes itu adalah yang terbaru diterima Jakim sejak Disember lalu.

Selepas laporan siasatan berkenaan selesai dan terbukti boleh memesongkan umat Islam, Jakim akan merujuk perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau jawatankuasa penapisan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dihalang penyebarannya.

Satu daripada tiga laman web itu bertanggungjawab menyiarkan kitab bertajuk ‘The True Furqan’ yang cuba menyaingi kitab suci al-Quran.

Pengarah Penyelidikan Jakim, Anan C Mohd berkata, kitab ‘The True Furqan’ kini dalam siasatan Jakim untuk menentukan kesahihannya sebelum laporan diserahkan kepada Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mustafa Abdul Rahman, bagi tindakan susulan.

“Pegawai Jakim sedang menyiasat dan mengkaji kitab itu. Selepas selesai siasatan, laporan berkenaan akan diserah kepada KP Jakim. Beliau akan meneliti laporan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Selain itu, ada beberapa laman web lain dalam kajian Jakim, satu daripadanya dikatakan menghina Nabi (Muhammad s.a.w). Ia semua dalam proses penyelidikan, belum ada keputusan muktamad,” kata Anan, semalam.

Muka depan Harian Metro minggu lalu melaporkan sebuah kitab bertajuk ‘The True Furqan’ yang diterbitkan di Amerika Syarikat (AS) dikesan cuba menyaingi kitab suci al-Quran bagi memperdaya umat Islam.

Antara surah yang dipaparkan dalam kitab itu ialah Al-Fateha (The Opening), Al-Mahabbah (Love), Al-Maseeh (The Messiah), Al-Salb (The Crucifixion), Al-Thalooth (The Triune God), An-Nissa (Women) dan Al-Injil (Gospel).

      

Bacaan ayat permulaannya pada setiap surah berbunyi: ‘In the Name of the Father, the Word, the Holy Spirit, the One and only True God’ sedangkan umat Islam memulakan bacaan ‘Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang’.

Antara tafsiran surah Al-Fateha menyebut ‘The True Furqan’ adalah kitab sahih dan diturunkan untuk membimbing manusia. Surah itu juga mendakwa manusia yang melakukan zina boleh menebus dosa mereka dengan mudah sekiranya berpegang kepada ajaran kitab itu.

Kitab berkenaan dijual secara ‘online’ oleh sebuah laman web berpangkalan di AS menggunakan bahasa Arab dan bahasa Inggeris sebagai terjemahan.

Selain itu, pada 13 Disember tahun lalu, Harian Metro turut menyiarkan laporan sebuah laman web didapati mempermainkan Islam menerusi debat kononnya umat Islam Malaysia dibenarkan menghina agama lain, terutama dalam setiap khutbah Jumaat.

Artikel itu yang disiarkan di laman web ‘Malaysia Today’ menerusi ruangan ‘Loony Malaysia: One Nation, Two Systems’, didahului coretan Pengarangnya, Raja Petra Raja Kamarudin.

Catatan bertarikh 25 November itu turut mengetengahkan kononnya masyarakat Islam Malaysia sememangnya dibenarkan menghina orang bukan Islam.

Anan berkata, Jakim boleh menggunakan dua prosedur untuk menghalang penyebaran bahan menyesatkan umat Islam.

Pendekatan pertama ialah menerusi kerjasama dengan SKMM) dan kedua, jawatankuasa penapisan KDN.

“Lazimnya, kalau kes biasa, kita berurusan terus dengan SKMM, kalau kes perlukan penelitian lanjut, kita rujuk kepada jawatankuasa penapisan,” kata beliau.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved