|
(Kertas ini dibentang oleh pada 10 Ogos 2002 semasa program Dialog Antarabangsa Terengganu, Terengganu Darul Iman)
“Masa hadapan tamadun Islam banyak bergantung kepada sejarah dahulu dan kini. Perancangan untuk masa depan memerlukan suatu analisis terhadap pengalaman-pengalaman yang lalu, dan mengambil kira juga pengalaman-pengalaman masa kini.” (Ziauddin Sardar, The Future of Muslim Civilization)
MUQADDIMAH
Mahasiswa merupakan anggota sebuah sistem politik yang terdiri daripada elemen pemerintah (kerajaan) dan yang diperintah (rakyat). Kepentingan golongan mahasiswa dalam pembangunan negara telah dikesampingkan sehingga bermulanya ledakan-ledakan pada tahun 1970an. Kerajaan mula memandang berat terhadap kebangkitan mahasiswa lalu meluluskan Akta Universti dan Kolej Universiti bagi mengekang ledakan tersebut. Namun, mahasiswa tetap melaksanakan agenda sebagai jurubicara masyarakat. Keadaannya yang berada di dalam kelompok ilmuan membolehkan mereka mengeluarkan pendapat serta pandangan berdasarkan ilmu dan tidak berkiblatkan mana-mana entiti politik mahupun menyebelahi pihak kerajaan. Sebagai mahasiswa yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara, adalah menjadi suatu kewajipan untuk memahami konteks politik dan pelaksanaan undang-undang yang berlaku di negara kita.
TAKRIFAN
Perkataan “politik” berasal daripada perkataan Greek “polis” yang bermaksud bandar, negara dan bijaksana. Politik kini digunakan dalam erti kata suatu ilmu memerintah yang diatur dan ditadbirkan oleh sesebuah pertubuhan siasah. Mengikut Dr Muhammad Abdul Qadir Abu Faris, siasah adalah kata terbitan bahasa Arab dari perkataan ‘saasa’ (سا س) yang bermakna penjagaan. Ahli siasah ialah orang yang memelihara urusan umat, memahaminya dengan kefahaman yang mendalam dan menyelesaikannya dengan pemikiran dan pandangannya yang betul. Dr Burhanuddin Al-Helmy ,di dalam ucapannya yang bertajuk “Agama dan Politik”, telah menghuraikan bahawa “semenjak manusia tahu berpolitik,dua soal besar telah dibahaskan; pertama, bagaimana mengatur negara supaya cara ajaran dan tujuannya dapat disempurnakan mengikut susunan dan aturan pengertian dan fahamannya?; kedua, bila dan bagaimana negara itu dapat ditimbulkan bagi mengatur jalan penghidupan masyarakat manusia aman makmur?” Persoalan kedua telah terjawab dengan tercapainya kemerdekaan, namun persoalan “bagaimana” masih tidak terjawab sepenuhnya kerana timbul tanda tanya adakah negara yang telah timbul ini memenuhi kehendak masyarakat manusia di dalamnya?
Undang-undang terbentuk apabila manusia merasakan hak-hak mereka perlu dilindungi serta untuk mengelakkan pertelingkahan sesama sendiri. Peraturan-peraturan yang wujud selari dengan perkembangan hidup manusia bertukar menjadi undang-undang yang diiktiraf oleh manusia. Penulis-penulis Barat mempunyai pelbagai tafsiran terhadap undang-undang. John Austin berpendapat bahawa undang-undang ialah peraturan hidup yang dikenakan dan dikuatkuasakan oleh pemerintah (Law is the rule of conduct imposed and enforced by the sovereign) manakala Salmond berpandangan bahawa undang-undang adalah suatu kelompok prinsip-prinsip yang dimaklumi dan dilaksanakan oleh sesebuah negara dalam mentadbir keadilan (Law is the body of principles recognised and applied by the state in the administration of justice). Al-Maududi di dalam bukunya “The Islamic Law and Constitution” meletakkan undang-undang sebagai suatu tatacara yang dikuatkuasakan oleh kuasa pengarahan sesebuah negara (Law is technically applied only to such of the rules as are enforceable by the coercive power of the state). Dari segi praktikal, terutamanya dalam pentafsiran undang-undang, terdapat dua interpretasi yang berbeza. Pertama, undang-undang mungkin bermaksud “lex”, perundangan yang diluluskan oleh Parliamen iaitu semua undang-undang yang terkandung dalam statut yang sedia ada sekarang. Kedua, undang-undang juga boleh membawa maksud “jus”, yakni perundangan yang tahapnya lebih tinggi daripada undang-undang statut iaitu undang-undang yang memenuhi syarat-syarat keadilan sejagat (natural justice). Secara amnya, pelbagai takrifan telah diberikan kepada kedua-dua perkataan ini yang akhirnya membawa kepada persepsi yang pelbagai seterusnya lahir dalam tindakan.
LATAR BELAKANG SEJARAH
Konotasi politik tidak boleh lari daripada kekuasaan. Sejarah menunjukkan bahawa kerajaan bangkit dan runtuh disebabkan peralihan kuasa. Begitu juga kekuatan empayar Islam. Walaupun sejarah Islam dihiasi dengan kehebatan zaman Khulafa’ Rasyidin, kegemilangan zaman Abbasiyyah tetapi akhirnya Islam jatuh pada zaman Khilafah Uthmaniyah disebabkan oleh umatnya sendiri. Penjajahan Tanah Melayu, bermula dengan Melaka ke tangan Potugis pada tahun 1511 menandakan bermulanya agenda Perang Salib di Nusantara Melayu. Motif 3G iaitu Gold, Gospel and Glory menjadi misi yang seterusnya disambung oleh Belanda pada tahun 1641, diikuti dengan Inggeris melalui Perjajian Inggeris-Belanda pada tahun 1825. Maka dengan ini proses sekularisasi bermula. Khalifah Umar Al-Faruq r.a. pernah berkata : “Kami adalah suatu kaum yang diberi kehebatan oleh Allah disebabkan Islam. Maka apabila kami meninggalkan Islam, hilanglah kehebatan kami.”
Rakyat yang cintakan kebebasan terutamanya yang cintakan Islam dan tanahair tidak rela melihat bumi dijajah bangkit menentang. Haji Abdul Rahman Limbung mengepalai rakyat di Kuala Berang dan Tokku Paloh di Kuala Terengganu. Sementara itu, Tok Janggut di Kelantan berjaya menyedarkan rakyat jelata untuk turut serta memperjuangkan kebebasan tanahair. Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor dan Seputum serta beberapa kerabat diraja Perak tidak ketinggalan menghimpunkan rakyat untuk menentang Residen Pertama Perak, J.W.W. Birch. Di Pahang, Tok Gajah, Dato Bahaman dan Mat Kilau anak beranak mengumpulkan bala tentera berusaha mengusir British dari bumi Pahang. Usaha-usaha gigih dan berani ini menunjukkan bahawa semenjak dari dahulu lagi umat Islam di Tanah Melayu menyedari betapa pentingnya mempertahankan kesucian agama dan kemerdekaan bangsa dan tahanair.
Melihat situasi dunia pada awal abad 19 dan 20, dunia melihatkan perubahan besar dengan bermulanya revolusi besar di Perancis, England dan Amerika Syarikat. Rasa tidak percaya kepada institusi gereja mula menular yang seterusnya melahirkan pemikiran Enlightenment dan melahirkan zaman Renaissance. Fahaman-fahaman yang tidak bertunjangkan ketuhanan mula bercambah di Eropah. Kerakusan pada harta dan kekuasaan menyebabkan Barat mula meneroka dunia. Walaupun pada asalnya misi mereka ialah untuk menyebarkan agaman Kristian namun akhirnya agama telah dipisahkan dari keduniaan menyebarkan fahaman sekularisme ke seluruh pelusuk dunia. Idea ini telah diserapkan apabila Malaysia menuntut kemerdekaan. Daripada awal lagi, anak-anak pemimpin Melayu telah dihantar ke England untuk dibentuk pemikiran mereka dan dilatih kelakuan mereka untuk menghasilkan “orang putih” dari bangsa Melayu. Mereka kelihatan daripada golongan bangsa Melayu tetapi tidak Melayu. Mereka tampak Islam tetapi akidah mereka tidak sepenuhnya mencerminkan Islam yang sebenar. Penjajahan Barat berusaha meninggalkan tapak-tapak kaki mereka sebelum benar-benar memberi kemerdekaan. Hasilnya, sebagaimana yang dilihat hari ini, walaupun ada negara-negara Islam yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara tetatpi tidak ada satu pun yang melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya sebagaimana yang dituntut oleh syara’.
NEGARA ISLAM YANG DIIMPIKAN & PERBANDINGAN DENGAN PERLEMBAGAAN MALAYSIA
Semenjak kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada tahun 1924, negara-negara Islam terjajah dan menjadi sekular dengan pemisahan agama daripada urusan negara. Demokrasi telah mengambil alih sistem syura, kapitalism mengambil tempat sistem ekonomi Islam, sistem perundangan syariah telah ditukar kepada sistem perundangan sivil manakalan nasionalisme telah menjadi ideologi negara. Syeikh Abul A’la Maududi telah menggariskan ciri-ciri sebuah negara Islam yang diambil daripada Al-Quran: pertama, tiada sesiapa mahupun kelompok atau kumpulan walaupun seluruh penduduk boleh mendakwa bahawa mereka memegang kedaulatan negara,hanya Allah sahaja yang mempunyai kedaulatan selain daripada-Nya hanyalah rakyat semata-semata; kedua, Tuhan adalah penggubal perundangan dan di tangan-Nya kekuasaan mutlak dan ketiga, sesebuah negara Islam mestilah berpaksikan undang-undang yang diturunkan Allah melalui nabi-Nya. Dalam satu analisa perbandingan dengan perlembagaan Malaysia, penulis meletakkan sembilan elemen yang perlu ada dalam sesebuah negara Islam : Kedaulatan (ketinggian) Allah, peranan kerasulan, kekhilafahan manusia, matlamat sesebuah negara, prinsip-prinsip yang membentuk, perjuangan ke arah keadilan, persamaan, kesatuan umat dan kebebasan beragama. Persoalan yang ditimbulkan oleh penulis ialah adakah Islam dan undang-undang Islam dan cara hidup Islam boleh dilaksanakan di Malaysia? Beliau melihat dari sudut positifnya bahawa ia adalah satu perkara yang boleh berlaku. Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni. Peruntukan ini memberi kedudukan istimewa kepada Islam. Terpulanglah kepada kita untuk memastikan agar ia diberi maksud sebenar untuk membolehkan Muslim di Malaysia mengamalkan ajaran Islam sebaiknya.Orang Islam di Malaysia sepatutnya menegaskan bahawa di bawah peruntukan tersebut mereka layak untk mengamalkan hidup mereka berlandaskan Islam. Sekiranya mereka enggan mengikut “Common Law”, mereka sepatutnya dibenarkan berbuat demikian. Walau bagaimanapun, Artikel 4 Perlembagaan memperuntukkan Perlembagaan Persekutuan sebagai perundangan tertinggi negara. Undang-undang Islam tidak diiktiraf sebagai undang-undang tertinggi kerana ia tidak dimasukkan dalam definisi undang-undang di bawah Artikel 160 Perlembagaan. Sungguhpun begitu, undang-undang Islam dimasukkan di bawah Senarai II (bidang kuasa kerajaan negeri) Jadual Kesembilan dalam Perlembagaan. Penulis akhirnya membuat kesimpulan bahawa undang-undang Islam tidak dilaksanakan sepenuhnya di Malaysia tetapi sebahagian daripadanya dilaksanakan dengan berkesan dan penuh keadilan. Mahupun begitu, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Che Omar Che Soh v. PP telah menggambarkan betapa sempitnya lingkungan agama Islam di Malaysia apabila Mahkamah meletakkan Islam walaupun sebagai satu cara hidup tetapi di dalam skop Perlembagaan Malaysia ia hanyalah meliputi ibadat dan amalan ritual. Dalam sudut yang berbeza, Mahkamah Syariah telah dibebaskan daripada belenggu mahkamah sivil apabila pindaan Perlembagaan telah dibuat pada tahun 1988 dengan memasukkan artikel 121(1A) yang memberikan kuasa eksklusif kepada mahkamah syariah untuk membicarakan kes-kes berkaitan orang-orang Islam di Malaysia.
MALAYSIA DAN HAK ASASI MANUSIA
Melihat dalam konteks politik dan undang-undang dalam realiti sebenar, Malaysia yang dicanangkan sebagi negara Islam baru-baru ini, bukan sahaja tidak mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam malahan menafikan hak-hak asasi manusia kepada rakyatnya. Walaupun Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan menjamin hak-hak ini terjaga, namun terlalu banyak pencabulan sehingga menimbulkan tanda tanya adakah Malaysia sebuah negara demokrasi atau sebaliknya. Artikel 10 memberikan hak-hak berpolitik seperti kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat, kebebasan mengadakan perhimpunan dan kebebasan berpersatuan kepada rakyat Malaysia sekalipun sebenarnya hak itu lebih banyak dinafikan atas sebab-sebab keselamatan negara, hubungan diplomatik dengan negara lain, keamanan dan melindungi keistimewaan Parliamen atau Dewan Undangan Negeri dan sebagainya. Artikel 10(3) dan (4) membataskan lagi hak-hak ini ditambah dengan keputusan-keputusan mahkamah yang menunjukkan bahawa hak-hak ini seolah-olah tidak wujud sedangkan ia diperuntukkan di bawah Piagam Bangsa-bangsa Bersatu 1945 dan Deklarasi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Asasi Manusia 1948 di mana Malaysia menjadi salah seorang daripada anggotanya. Antara artikel-artikel di dalam Piagam yang memperkatakan tentang hak-hak asasi manusia :
Article 1
The purposes of the United Nations are…. 3. To achieve international cooperation in…promoting and encouraging respect for human rights and fundamental freedoms for all without distinction as to race, sex, language or religion.
Article 55
The United Nations shall promote:……(c) universal respect for, and observance of, human rights and fundamental freedoms for all without distinction as to race, sex or religion.
| |
Article 56
All Members shall pledge themselves to take joint and separate action in cooperation with the organization for the achievement of the purposes set forth in Article 55. Antara artikel di dalam Deklarasi
Article 2
Everyone is entitled to all the rights and freedoms set forth in this Declaration, without distinction of any kind, such as race, colour, sex, language, religion, political or other opinion, national or social origin, property, birth or other status….
Laporan khas oleh wakil PBB, Mr Abid Hussain, pada tahun 1998 berkenaan perlindungan hak bersuara dan mengeluarkan pandangan menunjukkan bahawa Malaysia masih gagal untuk melindungi hak-hak tersebut. Beliau berpendapat wujud beberapa undang-undang yang mengekang hak untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Dadah Berbahaya 1985, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Siaran 1987, Akta Persatuan 1966, Akta Polis 1967, Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1971 (pindaan 1986). Daripada pemerhatian beliau, pihak media terkesan dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan seperti akhbar The Star, Watan dan Sin Chew Jit Poh. Mereka terpaksa mengadakan kekangan ke atas diri mereka agar selari dengan kehendak pemerintah. Akta tersebut juge digunakan untuk menyekat suara beberapa aktivis hak asasi manusia seperti Puan Irene Fernandez, Presiden Tenaganita. Hampir keseluruhan syarikat-syarikat akhbar dan penyiaran dikuasai oleh syarikat-syarikat yang menjadi sayap pelaburan parti-parti pemerintah. Contohnya, Syarikat Nanyang Press Sdn. Bhd. telah dikuasai oleh syarikat sayap pelaburan milik parti MCA pada Julai 2001. Keadaan ini menyebabkan berita-berita yang disiarkan dieksploitasi dan dimanipulasi bagi memenuhi hasrat politik individu tertentu. Sesiapa yang menunjukkan kecenderungan tidak menyokong pemerintah akan diberhentikan dan ditamatkan perkhidmatan sebagaimana yang berlaku kepada dua orang editor akhbar Melayu, Utusan Malaysia dan Berita Harian yang ditamatkan perkhidmatan sebelum peristiwa 2 September 2001. Pendakwaan secara terpilih, pertikaian tentang professionalisme polis dalam mengendalikan kes dan ketidakpercayaan terhadap sistem kehakiman menggugat keyakinan masyarakat terhadap entiti yang dikatakan sepatutnya melaksanakan keadilan. Beliau berpendapat bahawa undang-undang (sebagaiman yang disebutkan di atas) telah gagal melindungi hak-hak bersuara dan mengeluarkan pendapat sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang antarabangsa. Tiada negara akan maju melainkan kebebasan bersuara terjamin bagi setiap individu di bawah undang-undang.
Ringkasan Eksklusif oleh SUARAM menyorot tentang hak-hak sivil dan berpolitik pada tahun 2001 yang dibuat mendapati bahawa jumlah tahanan ISA telah meningkat daripada 4 orang pada tahun sebelumnya kepada 25 orang pada tahun 2001. Peristiwa 11 September 2001 dijadikan satu alasan yang kukuh bagi menghalalkan penggunaan kekerasan dan penahanan tanpa bicara atas sebab gerakan militan.Akta-akta yang digunakan, selain ISA, ialah Ordinan-ordinan dan Peraturan-peraturan Darurat, Akta Tahanan Kediaman dan Akta Pencegahan Jenayah. Keadaan bertambah buruk apabila gerakan mahasiswa turut menjadi sasaran sehingga dua orang pimpinan pelajar telah ditahan di bawah akta ‘draconian’ ISA. Seramai 400 orang telah ditahan kerana terlibat dalam himpunan secara aman. Keyakinan terhadap pihak polis terus meredum apabila laporan demi laporan tentang keganasan polis ke atas tahanan di dalam lokap sehingga menyebabkan kematian terus berlaku tanpa tindakan yang tuntas daripada pihak berwajib.
Perjalanan pilihanraya-pilihanraya kecil juga dipertikaikan apabila pihak Suruhanjaya Pilihanraya termasuk pihak polis memejamkan mata terhadap taktik-taktik kotor Barisan Nasional untuk memastikan calonnya memenangi pilihanraya tersebut dengan apa cara sekalipun. Situasi ini semakin buruk apabila persidangan Parliamen pada 8 April yang lalu telah meluluskan pindaan terhadap Akta Pilihanraya melibatkan 3 perkara penting. Pertama, kenaikan had tertinggi jumlah deposit calon daripada sebelum ini RM5,000 (peringkat Parliamen) dan RM3,000 (peringkat DUN) kepada RM20,000. Kedua, kewujudan seksyen baru yang mensyaratkan seseorang calon yang bertanding hendaklah membayar deposit kepada SPR sebelum dibolehkan bahan-bahan kempen (poster, sepanduk, risalah dsb.) diedarkan kepada khalayak pengundi. Ketiga, kenaikan had RM200 kepada RM1,000 wag pampasan yang perlu dibayar oleh pembantah kepada mana-mana pengundi yang dibantah apabila bantahan terhadap pengundi tersebut ditolak oleh SPR. Semua pindaan ini banyak menjejaskan proses pilihanraya itu sendiri apabila parti yang bertanding perlu menyediakan sejumlah wang yang begitu besar untuk bertanding.
SENARIO & HALA TUJU GERAKAN MAHASISWA ISLAM
Segala cabaran ini perlu difahami oleh gerakan pelajar sebelum terjun ke dalam masyarakat. Mahasiswa yang merupakan anggota sebuah sistem politik adalah golongan yang paling sesuai untuk menjadi jurubicara ummah. Sebelum merencana kekutan strategik ummah, gerakan mahasiswa perlu menggariskan hala tuju gerakan dan mempunyai susuk gerakan yang tersendiri agar tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan. Mantan Presiden GAMIS sessi 1999/2000, Al-Akh Borhanuddin Ahmad di dalam ucapannya semasa program Ijtima’ Pimpinan Mahasiswa pada 30 April 2000 telah menjelaskan:
“Gerakan mahasiswa seringkali dianggap sebagai ‘gurkha’ kepada pembangkang. Setiap pandangan dan tindakan yang diambil oleh mahasiswa dituduh sebagai didalangi oleh parti-parti politik tertentu. Akibatnya gerakan pelajar tidak mempunyai identitinya yang tersendiri. Suara kita disamakan dengan suara pembangkang dan akhirnya mesej dan pendirian kita ditolak oleh kebanyakan massa. Gerakan mahasiswa seharusnya mempunyai imej, penampilan, gerak kerja dan prinsip perjuangan yang tersendiri mencerminkan jatidir yang tulen. Gerakan yang membentuk suatu arusnya sendiri dan mampu menembusi kumpulan sasaran yang pelbagai. erakan kita mestilah berasaskan kepada keilmuan dan intelektualisme yang mendalam tahap da kelihatan unsur-unsur kepentingan lain. Pendirian dan tindakan mestilah ada hujah yang sah an kuat dengan perbahasan yang tepat dan relevan. Bahkan itulah tugas para penuntut ilmu sebagaimana firman-Nya.” {Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluarsemuanya (pergi berperang); oleh itu hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada setiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama, dan supaya mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)} ……
Tambah beliau lagi,
“Dasar kita dengan kerajaan ialah menyokong tindakan-tindakan yang menepati kebenaran dan memperbetulkan yang salah. Dalam erti kata lain, mahasiswa menjadi ‘watchdog’ yang berani dan tegas apabila berhadapan dengan kerajaan… Kita hendaklah sensitifdan proaktif dalam usaha memastikan kerajaan menjalankan tanggugjawabnya sebagai pemerintah… Menyentuh tentang hubungan GAMIS dengan pembangkang… walaupun tidak dapat dinafikan terdapat beberapa pendirian GAMIS yang selari dengan pendirian pembangkang….”
Gerakan mahasiswa tidak dapat lari daripada hakikatnya yang bersifat ‘pelajar’. Oleh itu, setiap perancangan, pendekatan dan pelaksanaan corak kerja gerakan tidak terlepas daripada tuntutan perkembangan fitrah, desakan pembelajaran dan akademik, pengawalan dan kongkongan keluarga, keterbatasan bergerak dan bertindak yang melingkari reality kehidupan mahasiswa. Selain dari itu, tugas yang tidak asing bagi gerakan pelajar Islam ialah menyampaikan dasar dan intisari Islam dalam hakikat dan sifatnya yang sebenar melalui penyampaian yang membina dan merangsangkan sesuai dengan prinsip Rasulullah SAW :
“Permudahkanlah dan jangan menyusahkan. Gembirankanlah dan jangan menakutkan.”
Realiti gerakan pelajar Islam juga diselubungi beberapa sindrom seperti, Sindrom ‘inferiority complex’, Sindrom lesu dan beku, Sindrom kecelaruan pengurusan dan Sindrom ketiadaan identiti. Keadaan ini dapat dilihat, sama ada di dalam atau di luar kampus, apabila mahasiswa diberikan amanah, dia meletakkan jawatan; apabila ditawarkan untuk berkhidmat dalam gerakan, dia memberikan pelbagai alasan untuk terlibat sebagai tenaga sampingan dan apa yang biasa berlaku ialah mereka saling tunggu-menunggu ‘titah-perintah’ daripada pucuk pimpinan untuk melakukan sesuatu. Kebanyakan program yang dirancang sama sahaja sejak dahulu hingga sekarang. Janganlah mahasiswa menjadi sebagaimana yang disebut oleh Ziauddin Sardar di dalam bukunya, The Future of Muslim Civilization:
“Mereka tahu mereka mahu mencapai sesuatu, tetapi mereka tidak pula tahu apa yang ingin mereka capaikan. Mereka tahu yang mereka ingin sampai ke sesuatu tempat, tetapi tidak pula tahu secara tepatnya ke mana mereka ingin pergi.”
Janji Allah sentiasa benar bagi hamba-hamba-Nya yang memenuhi syarat-syarat kemenangan. Oleh yang demikian, gerakan pelajar, perlulah menyediakan diri setiap masa untuk menjadi generasi kemenangan yang diharapkan. Dr Yusuf Qaradhawi telah menetapkan di dalam bukunya ‘Nasr Jail al-Mansyud’ bahawa generasi ini perlulah mempunyai ciri-ciri seperti:
Berpegang dengan realiti dan tradisi keilmuan,
Bekerja untuk membina masyarakat
Bersifat rabbaniyyah dan penuh keikhlasan
Menghayati Islam dengan sebenarnya dan bukan melalui keturunan atau suasana
Berdakwah dan berjihad
Mempunyai kekuatan dan rasa ‘izzah serta bersifat fleksibel dan sederhana.
Selain daripada itu, secara praktikalnya, gerakan pelajar Islam perlu merancang untuk masa hadapan dari segi politik bagi menjamin masa depan Islam yang lebih cemerlang. Dr. Umar Hassan Kasule, wakil IIFSO (International Islamic Federation of Students Organization) bagi rantau Amerika, dalam satu pertemuan dengan para pemimpin pelajar Islam tempatan pada tahun 1986 pernah menyatakan bahawa aktivis pelajar gerakan Islam mesti mempunyai visi atau gambaran tentang apa yang ingin diperolehinya pada masa akan datang. Visi tersebut akan memanduhalakan segala perancangan dan tindakan. Di samping itu, gerakan pelajar juga perlu memfokuskan gerakan kepada pentahapan kerja yang nyata dan melazimkan budaya merencana. Satu lagi kunci kejayaan gerakan ialah memahami dengan bijaksana bagaimana mengurus manusia. Pelajar adalah dai’ yang terbaik dan dalam masa yang sama pemimpin muda masa sekarang dan pemimpin matang akan datang. Oleh itu, usaha-usaha gigih perlu dijanakan bagi menghasilkan para dai’ yang bersifat, sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr Yusuf Qardhawi di dalam kitabnya, Kritikan dan Saranan untuk Para Dai’ iaitu berpandangan jauh, kreatif, inovatif, personaliti yang disenangi umum, berfikiran strategik, berketrampilan, berdinamisme dan mempuyai ketahanan diri yang tinggi.
PENUTUP
Sesungguhnya tidak ada golongan atau thaifah lain yang lebih sesuai untuk menggarap masa depan Islam yang lebih cemerlang melainkan kita yang berada di dalam gerakan pelajar Islam. Marilah sama-sama kita memohon kepada Allah Ta’al agar kita menjadi dari kalangan pemuda Ashabul Kahfi yang diberikan pujian oleh Allah di dalam surah Al-Kahfi :
“Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” Al-Kahfi: 13
Kertas kerja ini diakhiri dengan petikan kata-kata As-Syahid Hassan Al-Banna :
“Oleh itu, pemudalah yang selamanya menjadi tulang belakang kebangunan sesuatu umat, menjadi rahsia kekuatan sesuatu umat, menjadi rahisa kekuatan sesuatu gerakan dan pemegang panji-panji sesuatu fahaman.”
|