|
Teka-teki kepada persoalan pembentukan kabinet MPP bagi universiti kedua tertua negara iaitu USM kini terjawab. Perkhabaran perkembangan yang hangat diperkatakan di beberapa laman web mahasiswa terutamanya Laman Web Mahasiswa Malaysia iaitu www.idealis-mahasiswa.net telah membuka wadah baru yang dilihat semakin berpotensi tinggi dan penting dalam menyebarkan maklumat secara terus kepada penggemar-penggemar politik kampus. Hingga kini amat sukar untuk memperolehi maklumat berkisar tentang perjalanan politik kampus kecuali melalui akhbar ini.
Mengimbas kembali pilihanraya kampus 2004 yang memperlihatkan kedua-dua mahasiswa aspirasi dan pembangkang digambarkan 50-50 sahaja. Namun hakikat mutlaknya bahawa kabinet MPPUSM bagi penggal 2004/2005 ini dikuasai oleh mahasiswa aspirasi. Pengaruh perjuangan mahasiswa aspirasi dilihat kian subur di bumi minden dengan Fakhrul Razi Bin Sunip, calon umum mahasiswa pro-universiti mengetuai kabinet MPPUSM kali ini. Beliau menggantikan Haron Arip yang kini sebagai Mantan Yang Dipertua MPPUSM. Senario yang sama berlaku ketika Haron Arip berperanan dalam mengimbangi kuasa MPP dengan kemenangan tipis. Fakhrul Razi yang mewakili mahasiswa aspirasi universiti menguasai 50% sahaja kerusi perwakilan.
Situasi memperluaskan pengaruh perjuangan masing-masing bermula seawal semester 1 yang mana memperlihatkan mahasiswa pro-pembangkang mengorak langkah yang lebih drastik melalui Berita Kampus yang dikeluarkan oleh pelajar kewartawanan Pusat Pengajian Komunikasi USM. Wadah tunggal informasi mahasiswa kampus USM ini dikuasai oleh mahasiswa-mahasiwa pro-pembangkang dan turut serta mendapat sokongan daripada pihak pentadbiran Pusat Pengajian Komunikasi itu sendiri. Setiap maklumat yang dipaparkan melalui akhbar tersebut berintikan kutukan dan kritikan yang keras terhadap Dato’ TNC HEP USM dan program-program anjuran universiti serta mahasiswa-mahasiswa pro-universiti. Tindakan berani warga kerja BK ini dalam menyiarkan satu berita berkenaan kemenangan mahasiswa IDEALIS menentang mahasiswa ASPIRASI dalam pilihanraya kampus tersebut tanpa ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak BHEPP USM yang bertindak sebagai Suruhanjaya Pilihanraya Kampus menghangatkan lagi percaturan politik kampus USM ketika itu.
Proses pemilihan kabinet MPPUSM telah dibuat secara konsesus pada 28 November 2004 yang mana kesemua 37 ahli anggota perwakilan berhak memilih sesiapa sahaja dari kalangan mereka menjawat 6 jawatan tertinggi yang telah diperuntukan. Jawatan-jawatan utama kabinet MPPUSM ini adalah Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua (kampus induk), Naib Yang Dipertua (kampus kejuruteraan), Naib Yang Dipertua (kampus kesihatan), Setiausaha Agung dan Bendahari Kehormat. Mahasiswa pro-universiti berjaya menguasai 4 daripada 6 jawatan tersebut kecuali jawatan Naib Yang Dipertua (kampus induk) dan Setiausaha Agung. Berikut adalah keputusan pemilihan kabinet MPPUSM sidang akademik 2004/2005 :
| |
| Yang Dipertua | : | Fakhrul Razi Sunip |
| Naib Yang Dipertua (Induk) | : | Tuan Umar Tuan Ismail |
| Naib Yang Dipertua 2 (Kejuruteraan) | : | Muhammad Iqbal Ismail |
| Naib Yang Dipertua 3 (Kesihatan) | : | Ahmad Idris Ahmad Helmi |
| Setiausaha Agung | : | Azimin Zul-Izzi Asnil Aimi |
| Bendahari Kehormat | : | Josofina Ng Wei Lin |
Dalam perkembangan yang sama, sekretariat Yang Dipertua Majlis Penghuni Desasiswa Universiti Sains Malaysia telah ditubuhkan atas inisiatif Yang Dipertua-Yang Dipertua MPD USM yang berdiri teguh dibelakang pentadbiran universiti untuk sama-sama membantu MPPUSM dalam memperjuangkan hak mahasiswa terutamanya di peringkat desasiswa. Usaha ini telah cuba disampaikan kepada pihak Dato’ TNC HEP untuk kebenaran sebelum pembentukan MPPUSM ini dibentuk lagi. Usaha ini juga dilihat dapat mengimbangi kuasa mahasiswa pro-universiti dalam kabinet MPP agar perjalanan dan keberkesanan MPP ini adalah selari dengan hak mahasiswa dan kehendak pentadbiran universiti terutamanya Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar yang diketuai oleh Dato’ Prof. Madya Jamaludin Mohaiadin. Sekretariat ini yang masih menunggu lampu hijau dari Dato’ TNC HEP dipengerusikan oleh Yang Dipertua Majlis Penghuni Desasiswa Saujana, Shamsul Ariff Sulaiman. Sekretariat ini pernah diwujudkan pada sidang lepas yang antara anggotanya ialah Yang Dipertua Majlis Penghuni Desasiswa Gemilang 2003/2004 Khairul Eruwan Abd Halim (yang kini menjawat jawatan Penolong Pendaftar di BHEPP USM) dan Yang Dipertua Majlis Penghuni Desasiswa Fajar Bakti 2003/2004, Fakhrul Razi Sunip yang kini YDP MPPUSM.
Perkembangan positif dari mahasiswa-mahasiwa pro-universiti ini diharapkan terus berkembang di USM dan di universiti-universiti lain terutamanya yang masih dikuasai oleh golongan pro-pembangkang iaitu di UIAM dan UPSI dari terus dipengaruhi oleh pemikiran parti politik pembangkang seperti PAS, Keadilan dan DAP. Penguasaan mahasiswa pro-universiti dan kerajaan di ketiga-tiga kampus utama negara; UM, USM, UKM menyahut seruan Perdana Menteri Malaysia dalam melahirkan mahasiswa yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang yang akan mewarnai kancah pentadbiran dan pembangunan negara pada masa akan datang. Digembar-gemburkan bahawa perjuangan mahasiswa pro-universiti ini hanya mendapat sokongan dari pihak Dato’ TNC HEP dan bukannya dari Dato’ Naib Canselor USM, namun apa yang pasti, usaha-usaha mahasiswa yang cintakan kecemerlangan universiti, kegemilangan bangsa, dan agama terbilang harus disanjung tinggi dan dihargai. Tahniah dan syabas buat semua mahasiswa pro-universiti serta pro- kerajaan di USM khususnya dan seluruh negara amnya.
|