Idealis Mahasiswa
 
 

JAWI, Maksiat dan Kaedah Yang Tiada Hikmah


Hit = [ ]

sumber - Selangordaily.com

Kejadian para pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)masuk ke sebuah kelab malam dan menahan kesemua orang Islam adalah satu tindakan yang tentunya berasaskan undang-undang sedia ada.

Bila seorang ibu beragama Islam mempertahankan hak anaknya untuk berada di sebuah kelab malam sehingga jam 3 pagi, tentulah ia keluarbiasaan dan keanehan masyarakat Islam sekarang. Bertambah aneh pula, bila khabarnya, para pegawai JAWI telah menjalankan tugas dengan cara memalukan wanita-wanita yang ditangkap. Mereka dituduh cuba menjatuhkan maruah wanita-wanita yang ditangkap ini.

Jika benar tuduhan bahawa para pegawai JAWI ini tidak membenarkan wanita-wanita tadi menutup dada mereka yang terdedah dan bertanyakan sama ada alat sulit mereka ditindik seperti yang didakwa, maka para pegawai ini harus diambil tindakan. Mereka sebenarnya menjalankan penguatkuasaan berlandaskan nafsu semata-mata.

Namun siasatan harus dilakukan terlebih dahulu kerana tidak mustahil yang ditangkap mereka-rekakan cerita untuk menyelamatkan diri.

      

Cuma persoalan yang perlu dijawab oleh JAWI ialah mengapa wanita-wanita yang ditangkap ini dikendalikan oleh para pegawai lelaki ? Ajaran Islam yang mana JAWI ikuti membenarkan pegawai lelaki (pastinya bukan muhrim) menyoal pesalah wanita ? Jika JAWI mensyaratkan pegawai wanita yang menguruskan wanita yang ditangkap tentulah fitnah atau dakwaan seperti ini tidak akan berlaku.

Selebihnya, berapa ramai yang mengetahui bahawa menjadi kesalahan kepada orang Islam mengunjungi kelab malam biar pun tidak minum arak? Orang Islam wajar dimaklumkan bahawa mengunjungi Kelab-kelab hiburan ini merupakan satu kesalahan (jika ia merupakan satu kesalahan).

Akhir sekali, jika mengunjungi Kelab Hiburan seperti itu merupakan satu kesalahan, mengapa hanya pengunjung yang ditangkap ? Masalah ini lebih mudah jika lesen pengusaha kelab hiburan ini ditarik balik sekiranya membenarkan orang Islam berada di dalam premisnya.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved