Idealis Mahasiswa
 
 

Ombak Tsunami Panas... Kulit Ariffin Hampir Melecur


Hit = [ ]

oleh Niezam Abdullah
sumber: Majalah Mangga Mac 2005

Salah seorang nelayan, Ariffin Adun (37 tahun) adalah antara orang yang terselamat dalam bencana ombak tsunami di Talea Nok, Ranong kira-kira 100 kilometer dari Phuket. Ariffin menganggap peristiwa itu sebagai suatu peringatan Allah terhadap Hari Kiamat yang akan berlaku nanti.

Kata Ariffin, dia takut dan insaf terhadap apa yang terjadi dan dia juga menyedari selama ini dia banyak melakukan kesalahan terhadap Allah.

Bagaiamanapun dia bersyukur kehadrat Allah Yang Maha Pengasih itu kerana masih memberi peluang untuknya meneruskan hidup dan bertaubat.

Ikuti pengalaman Ariffin kepada Aband Niezam untuk dijadikan pedoman kepada kita semua.

Cerita Ariffin: Saya serik dan ingin bertaubat kepada Allah... saya banyak melakukan kesalahan kepada-Nya sehingga nyawa saya hampir-hampir diragut oleh ombak besar tsunami.

Biarlah saya ceritakan pengalaman ini agar peristiwa sedemikian bukan sahaja menginsafkan saya.. tapi semoga ia memberi peluang kepada insan-insan lain untuk memikirkan sendiri tentang kekuasaan Allah.

Semasa hari kejadian (26 Disember 2004)... saya berjalan-jalan di tepi pantai yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah saya.

Kira-kira pukul 8.30 pagi (9.30 pagi waktu Malaysia) saya memandang ke laut dan melihat suatu gelombang besar menghala ke pantai. Pada waktu itu air sudah melimpah dan saya terus berlari ke kawasan rumah sambil menjerit supaya orang lain keluar menyelamatkan diri.

Semasa sedang berlari itu, saya lihat datangnya ombak kedua yang tingginya dua kali ganda pokok kelapa lalu menenggelamkan saya. Ombak itu menarik saya ke tengah laut, lalu menolak saya semula ke tepi pantai dengan ganasnya. Pada waktu itu saya hanya mampu berserah kepada Allah dan berdoa supaya Dia menyelamatkan saya daripada azab itu dan memberi peluang untuk saya hidup.

Selepas ditolak sekali lagi ke tepi pantai, saya sempat mencapai dahan pokok gajus untuk berpaut dan alhamdulillah... saya terselamat.

Air laut amat panas

Ketika ditarik dan ditolak oleh ombak itu, saya dapat rasakan air laut berkenaan amat panas. Kepanasannya membolehkan kita untuk membancuh teh tarik. Keadaan panas itu juga telah menyebabkan kulit saya hampir-hampir melecur dan luka pada dahi serta sakit pada bahagian badan. Selama dua jam tersangkut di atas pokok itu, barulah saya turun untuk menyelamatkan diri kerana khuatir ombak itu akan datang menyerang saya sekali lagi.

      

Pada waktu itu saya dapati kebanyakan rumah di kampung saya itu musnah. Saya menangis melangkah kaki untuk mencari anak dan isteri bagi mengetahui sama ada mereka selamat atau tidak. Syukurlah... semasa kejadian itu mereka semua tiada di rumah. Sejurus selepas kejadian, barulah saya teringatkan beberapa peristiwa ganjil yang berlaku beberapa hari sebelum mala petaka itu melanda. Saya mendengar bunyi jeritan monyet-monyet di dalam rimba yang tidak pernah saya dengar sebelum ini.

Bunyi bising monyet-monyet seperti sedang bergaduh itu mungkin isyarat bahawa ombak besar akan meneyrang tetapi apakan daya, manusia tidak dianugerahkan Allah untuk memahami maksud bahasa haiwan itu. Malah lembu-lembu peliharaan juga berada dalam keadaan gelisah dan keluar dari kandang menuju ke kawasan tinggi bagaikan takut untuk berhadapan dengan Allah itu.

Selepas peristiwa itu saya mengalami trauma yang sukar untuk dilenyapkan. Setiap kali melelapkan mata, saya akan bermimpi peristiwa itu... bagaimana ditarik ombak, ditolak semula ke pantai sehingga tersangkut di pohon gajus dalam air yang panas. Saya gambarkan... agaknya macam itulah nanti apabila (menjelang) berlakunya kiamat ? Mungkin air pana yang saya rasai itu akan menjadi beratus kali ganda panasnya apabila kejadian kiamat sebenar berlaku.

Keadaan itu menyebabkan saya mula insaf. Saya tahu sudah banyak kesalahan yang saya lakukan kepada Allah. Antara kesalahan itu, saya tidak pernah mengambil berat untuk bersembahyang dan sujud kepada Allah. Pengalaman dilanda tsunami itu telah menyebabkan saya berubah dan mula kenal tikar sembahyang. Kalau tidak berlaku peristiwa itu, mungkin sehingga ke hari ini saya tisak beribadat (bersolat) kepada Allah. Tetapi itulah hikmahnya... saya sebenarnya takut. Takut mati dalam keadaan aib yang saya saksikan terhadap mayat-mayat orang lain. Saya akui, akibat jarang beribadat kepada Allah itulah saya menerima balasan seksaan sebegini.

Alhamdulillah... saya syukur kerana peristiwa itu telah menyebabkan saya menjadi insan yang lebih baik kini. Sesuatu yang amat penting, anak-anak serta isteri saya semuanya selamat dalam kejadian itu.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved