|
JOHOR BAHRU: Peguam Norlida Abdul Rahman, 24, masih belum menerima surat jawapan daripada peguam penyerang bola sepak Kedah, Hasmawi Hassan, 24, walaupun tempoh tujuh hari untuk menjawabnya tamat minggu lalu.
Shahruddin Osman ketika dihubungi berkata, walaupun sudah terlewat dari tarikh sebenar, pihaknya akan memberikan pihak lelaki ‘masa kecederaan’ berakhir hujung minggu ini.
“Kami faham mereka mungkin kesuntukan masa berikutan cuti panjang sempena Tahun Baru Cina dan Maal Hijrah, selain jarak agak jauh antara peguam (Kuala Lumpur) dan anak guamnya (Pulau Pinang) dan mungkin memerlukan sedikit masa.
“Sehubungan itu, kami memberikan mereka ‘masa kecederaan’ seminggu berakhir hujung minggu ini untuk memberikan jawapan, sama ada bersetuju dengan cadangan sebahagian saman diselesaikan di luar mahkamah atau tidak,” katanya.
Menurutnya, walaupun sehingga sekarang tiada apa-apa berita dari peguam wakil lelaki, pihaknya percaya sebahagian kes dapat diselesaikan di luar mahkamah iaitu tuntutan kerosakan khas sebanyak RM25,470 (kos majlis pernikahan dan persandingan).
| |
Katanya, Mahkamah Tinggi Muar sudah menyiapkan saman terpinda seperti yang diberitahu kepada peguam pihak lelaki dan ia akan diposkan kepada mereka pada bila-bila masa selepas ini.
“Pindaan dibuat itu ialah kerosakan teruk dan teladan serta tuntutan asal, kerosakan am di mana kesemua tuntutan itu diserahkan kepada mahkamah.
“Pindaan menambah dua lagi jenis tuntutan, kerosakan teruk, kerana keluarga dan anak guamnya diaibkan berikutan pembatalan perkahwinan saat-saat akhir, selain tuntutan teladan sebagai pengajaran dan kerosakan am (tuntutan asal).
Ahkbar 2 Februari lalu melaporkan Norlida tetap mahu kesnya dibicarakan di hadapan hakim walaupun Hasmawi bersetuju tawaran penyelesaian kes di luar mahkamah.
Norlida bersetuju sebahagian saman diselesaikan di luar mahkamah, manakala lain diputuskan hakim mahkamah tinggi dalam perbicaraan.
Pihak wanita menuntut tiga perkara, membayar kerosakan khas di luar mahkamah, manakala jumlah kerosakan am, teruk dan tauladan diserahkan kepada mahkamah.
|