Idealis Mahasiswa
 
 

Suburkan Budaya Intelektual Di IPTA


Hit = [ ]

oleh M.Hafiz Az Zubaidy melalui Borang Penulis Tamu

Saudara Pengarang,

Sejak akhir–akhir ini masalah jenayah menjadi satu perkara yang serius dalam Negara kita. Setiap hari pasti ada satu berita yang ‘meletup’ dan sensasi tentang gejala yang semakin membobrokan itu. Apa yang mendukacitakan ialah masalah yang kini menjadi siulan ramai turut diwarnai dengan penglibatan remaja yang berpelajaran tinggi. Kes curi motor, lumba haram, berpeleseran dan pelbagai lagi seakan direstui amalannya dikalangan mahasiswa yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Ragam anak kota ini semakin menjadi–jadi dan meresahkan semua pihak. Antara jalan penyelesaian yang perlu diambil kira oleh pihak universiti ialah menjadikan universiti sebagai pusat intelektual. Ini kerana universiti merupakan sebuah tempat yang melahirkan graduan cemerlang untuk menjadi pemimpin Negara pada masa akan datang. Di samping itu, mentaliti dan pandangan mahasiswa di universiti sering menjadi sumber rujukan masyarakat. Justeru amat rugi sekiranya mahasiswa yang berdiri di atas nama orang yang berpendidikan, goyah dan berkelakuan tidak senonoh sehingga terbabit secara langsung dalam aktiviti dan gejala kurang sihat.

Selain itu, budaya hedonisme atau budaya hiburan yang melampau semakin ‘menggila’ di kalangan penuntut universiti. Bahkan budaya hiburan sering menjadi agenda utama dalam sesebuah universiti masa kini. Fungsi universiti sebagai pusat untuk memupuk budaya berilmu semakin hilang dan tidak diyakini. Memang tidak dinafikan bahawa manusia memerlukan masa untuk berehat dan berhibur tetapi sekiranya hiburan telah disalahguna maka manusia akan lalai dan alpa. Inilah antara situasi yang berlaku di kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi. Disebabkan terpengaruh dengan rakan sebaya ditambah pula unsur hiburan berlebihan dan penekanan kepada budaya intelektual berkurangan maka hilanglah taring mahasiswa di mata masyarakat. Selain itu, sikap sesetengah artis yang berkelakuan tidak sopan tidak wajar dijadikan contoh oleh mahasiswa apatah lagi sebagai idola mereka.

      

Cukuplah konsert hiburan yang wujud disekitar ibukota. Jangan pula dicemari institusi pengajian tinggi negara. Ini bagi merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara agar terus dihayati dengan sempurna. Lantaran itu, seluruh IPTA diseru menjadikan Universiti Islam Antarabangsa sebagai contoh dalam menyuburkan konsep ilmiah dan intelektual dikalangan mahasiswa. Konsep Taman Ilmu dan Budi diperkenalkan dengan tujuan memupuk budaya berpengetahuan sepatutnya dipuji dan dijadikan model kepada IPTA lain. Namun begitu tempias dari budaya hedonisme dan hiburan melampau tetap dirasai di universiti tersebut. Justeru budaya hedonisme perlu dihapuskan dalam institusi pengajian tinggi demi mengangkat nama baik universiti. Bahkan mutu dan kualiti sesebuah universiti yang memperjuangkan budaya intelektualisme dapat mengharumkan nama negara. Tambahan pula, pihak universiti perlu menjadi perantara utama kepada rakyat dengan menganjurkan diskusi ilmiah dan forum intelektual kearah melahirkan graduan bersahsiah dan mempunyai nilai–nilai murni. Ini sejajar dengan saranan kerajaan untuk menyuburkan budaya budi pekerti dan etika kehidupan yang tersusun.

Oleh itu, diharapkan agar pihak universiti dapat memantau budaya hiburan yang semakin menjadi di pusat pengajian tinggi. Di samping itu diharapkan agar konsep Islam Hadhari dapat membendung budaya hiburan melampau dan menyuburkan budaya intelektualisme di kalangan mahasiswa.

Sekian, terima kasih.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved